Tenang dan damai. Itu yang dapat digambarkan apabila melihat kediaman comel milik Amnan Mohd. Nor yang terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi.
Rumah separa kayu dan batu dikelilingi kehijauan sawah dan tali air itu, pasti menangkap mata yang memandangnya. Dekorasi dan reka bentuknya yang bercirikan moden tradisional itu lain daripada biasa.
Saiznya yang kecil atau tiny house itu, memberikan efek minimalis namun cukup mempesonakan.
Pemilik kediaman Mohd. Amnan, 37, berkata, pada awalnya dia hanya mahu membina sebuah rumah rehat untuk bersantai dan beriadah bersama isteri dan anak-anak.
“Namun perbincangan demi perbincangan dilakukan bersama isteri dan bertukar idea dengan kontraktor yang dilantik, akhirnya konsep tiny house menjadi pilihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tiny house adalah rekaan rumah yang semakin menjadi trend di negara ini. Ia merupakan sebuah kediaman kompak namun praktikal dengan keluasan di bawah 600 kaki persegi.
Sesuai dengan ruangnya yang kecil, kos pembinaannya juga lebih murah. Malah ia mampu milik mengikut penggunaan material dan reka bentuk diidamkan pemilik kediaman comel itu.
Mohd. Amnan memperuntukkan kira-kira RM60,00 untuk upah, hiasan serta barangan dalam rumah berkenaan.
“Perancangan asal adalah berkonsepkan studio dengan keluasan 14 x 4 kaki (4.3x 4.3 meter) dengan satu ruang dapur kecil seluas 5 x 8 kaki (1.5 x 2.4 meter) serta sebuah bilik air berukuran 5 x 6 kaki (1.5 x 1.8 meter).
“Selepas berbincang dengan isteri, kami menukar idea untuk turut membina menara tinjau di bahagian atas rumah sebagai kawasan untuk bersantai,” katanya.
Rumah kecil berkeluasan 368 kaki persegi (112 meter persegi) itu turut dilengkapi beranda seluas 10 x 10 kaki (3.04 x 3.04 meter). Kolam ikan tilapia di bawahnya melengkapkan lagi rumah idaman pasangan ini.
Buaian dan landskap bunga hiasan di kawasan tepi rumah menambah lagi keindahan panorama di sawah bendang tersebut.

KECIL DAN PRAKTIKAL
Menjenguk ke ruangan dalam, rumah yang terletak di Kampung Belukar, Pasir Mas, Kelantan ini memilih gabungan rona coklat lembut dan putih untuk mengekalkan konsep moden minimalis.
Menepati ciri-ciri tiny house iaitu kecil namun praktikal, ia turut mempunyai sebuah tangga. Rekaan tangga dengan laci pada bahagian tepi bertujuan memanfaatkan ruang.
Tangga itu adalah laluan ke loteng yang dijadikan sebagai tempat tidur, membantu mewujudkan ruang lebih luas pada bahagian bawahnya.
Hiasannya pula cukup minimal dengan hanya dua kerusi ringkas yang tidak memakan ruang banyak untuk bersantai. Lampu kuning menerbitkan pencahayaan lebih elegan.
“Biarpun ruang agak terhad, namun rumah ini tidak terasa sempit kerana tidak dipenuhi perabot. Kami selesa di sini,” kata bapa kepada empat orang cahaya mata ini.

KECIL TAPI SELAMAT
Menyentuh mengenai aspek keselamatan, Mohd. Amnan berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah kerana konsepnya sama seperti rumah biasa cuma saiznnya yang lebih kecil.
Menitikberatkan aspek keselamatan, katanya, rumah itu turut dijadikan rumah penginapan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Ada yang sanggup berhenti di tepi jalan semata-mata mengambil gambar. Malah ramai juga yang bertanya di media sosial untuk menginap selama beberapa hari.
“Oleh itu, kini saya jadikan ia sebagai rumah penginapan. Antara kemudahan saya sediakan ialah bot kayuh, basikal untuk orang dewasa dan kanak-kanak, peralatan memancing dan motosikal klasik untuk kegunaan riadah.
“Kos saya kenakan ialah RM250 satu malam. Mungkin kedengaran agak mahal namun dengan kelengkapan dan panorama memukau kami hidangkan, pasti akan memuaskan hati setiap pelanggan yang menginap di sini,” katanya.
Dalam perancangan akan datang, Mohd. Amnan bercadang membina beberapa lagi rumah kecil tidak lama lagi.











