Syarat ketat untuk anggotai PPDA - Utusan Malaysia

Syarat ketat untuk anggotai PPDA

Operasi SAR memerlukan kekuatan fizikal anggota PPDA dalam membantu mengesan kedudukan mangsa lemas. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK hanya memfokuskan aktiviti pemadaman api di lokasi kejadian, kumpulan ini turut bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja menyelamat di kawasan perairan.

Dibentuk sebagai unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), team respondan ini merupakan antara kumpulan utama di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagi unit PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, sejak penubuhannya pada 2011, unit berkenaan turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di daerah Tangkak dan Segamat.

Dengan kekuatan seramai 10 anggota, Ketua BBP Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, pasukan itu sentiasa bersiap siaga 24 jam bagi panggilan kecemasan melibatkan kes lemas.

SHAHRIZAL MOKHTAR

“Sebagai anggota bomba, unit ini turut terlibat dengan kerja-kerja pemadaman api. Namun yang lebih utama adalah apabila mereka menerima laporan berkaitan pencarian mangsa lemas di perairan.

“Unit PPDA akan menjalankan SAR bagi keluasan tiga batu nautika ke bawah sahaja dan jika pencarian melibatkan lokasi yang lebih jauh, tanggungjawab itu akan dikendalikan oleh pihak yang lebih pakar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, bukan hanya kepakaran berenang dituntut dalam unit itu semata-mata, namun tahap kecerdasan serta kekuatan mental dan fizikal turut menjadi antara faktor penting dalam kumpulan PPDA.

Katanya, sebelum anggota bomba diterima menyertai unit PPDA, mereka perlu menjalani beberapa ujian sebelum menentukan kelayakan.

“Ujian pertama adalah saringan di bawah penyelia yang akan menilai kebolehan mereka seperti ujian berenang sejauh 400 meter gaya bebas tanpa henti, berenang di dasar air sejauh 25 meter, apungan selama 10 minit dan mengambil objek di dalam air pada kedalaman tiga meter.

“Sebaik terpilih, anggota ini kemudiannya akan dibawa ke hospital untuk doktor membuat penilaian bagi mengesahkan tahap stamina dan kecerdasan.

“Selesai menjalani ujian, barulah kumpulan itu akan mengikuti kursus selama sebulan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh, Perak,” katanya.

Anggota PPDA BBP Muar melakukan rutin pemeriksaan peralatan bagi memastikan sentiasa dalam keadaan baik sewaktu digunakan dalam kes kecemasan.

Tambah Shahrizal, sepanjang sebulan menjalani kursus di akademi berkenaan, tahap kecerdasan mereka akan diuji dengan lebih kental oleh doktor pakar dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Doktor khas ini yang menentukan anggota berkenaan cergas, sihat dan layak untuk menjadi penyelam. Kursus ini bukan hanya dijalankan sekali seumur hidup, namun setiap tahun anggota PPDA akan menjalani ujian di akademi berkenaan termasuk pemeriksaan kesihatan untuk tempoh sebulan.

“Mereka diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan saban tahun di bawah kelolaan doktor pakar dari TLDM setelah menjadi anggota PPDA dari JBPM.

“Kursus ini penting kerana mereka mudah terdedah dengan pelbagai risiko ekoran terlalu kerap menyelam dan berada di bawah tekanan air, anggota PPDA boleh mengalami masalah kesihatan antaranya pendengaran.

“Justeru, latihan tahunan ini akan menentukan kelayakan seseorang untuk terus kekal dalam PPDA atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai pengalaman sepanjang hampir sedekad berkhidmat bersama unit PPDA, penasihat pasukan, Pegawai Bomba Kanan II Heza Aris berkata, semangat tinggi amat diperlukan khususnya ketika melakukan SAR.

HEZA ARIS

“Dengan gelora ombak, cuaca buruk dan ancaman di air memerlukan semangat yang kuat. Cabaran melihat mayat yang telah reput kerana lemas sehingga tak kelihatan fizikal juga antara yang menguji keberanian.

“Jika berlaku keadaan begitu, kami tiada pilihan lain kecuali terpaksa juga teruskan bantuan bagi membawa naik mangsa walau apa pun keadaannya,” katanya.

Ujar beliau, titik permulaan untuk menjadi anggota PPDA yang terbaik haruslah bermula dengan minat mendalam sebelum disokong dengan daya tenaga kerana cabaran yang dihadapi sentiasa menguji diri.

PPDA yang juga satu daripada enam unit khas dalam JBPM turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melakukan selaman mencari bahan bukti di kawasan yang memerlukan kepakaran mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×