Resipi singgang tulang rusuk, kuah merah - Utusan Malaysia

Resipi singgang tulang rusuk, kuah merah

Singgang tulang rusuk, kuah merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masak singgang mudah untuk disediakan. Kalau tekak terasa pahit atau kurang sihat, sajian singgang inilah selalu menjadi pilihan untuk dimakan.

Kalau jemu makan ikan singgang, apa kata tukar kepada tulang rusuk gaya Kelantan.

Menurut Afy AL Habibi terdapat dua jenis singgang cara masak orang Kelantan. Jenis yang pertama adalah kuah singgang berwarna cerah. Manakala satu lagi jenis adalah kuah singgang berwarna merah seperti resipi yang dikongsikannya ini.

Perbezaan kedua jenis singgang ini adalah dengan menambah cili kering sebagai salah satu bahannya.

Mana lagi sedap? Semuanya terpulang kepada citarasa setiap individu. Lagipun antara kedua-dua jenis ini tidak ada jauh bezanya. Satu pedas dan satu lagi tidak pedas. Singgang tulang rusuk ini sedap dimakan dengan daging goreng kunyit dan ulam budu.

Singgang tulang rusuk

Bahan-bahan:

½ kilogram (kg) tulang rusuk lembu

Bahan-bahan kisar:

1 sudu besar ketumbar ( tumbuk lagi sedap)
½ inci halia
½ inci lengkuas
1 ulas bawang putih
2 biji bawang merah – saiz syiling 20 sen
2 hiris nipis serai
1 tangkai cili kering (dibuang biji – nak tumbuk pun boleh)

Bahan hiris:
2 biji bawang merah – saiz syiling 20 sen
1 ulas bawang putih -dihiris memanjang
2 inci halia – dihiris memanjang
2 inci lengkuas – dihiris memanjang
2 tangkai cili kering (dikerat dua)
2 tangkai cili padi merah dan hijau

Bahan perasa:

½ keping nise / nira kelapa
Gula, garam dan ajinomoto – ikut citarasa sendiri
1 sudu teh serbuk perencah Hilal
2 keping asam gelugor

Cara penyediaan:

1-Bersihkan tulang rusuk sebelum dimasak. Selepas tulang dibasuh bersih, masukkan air hingga ke paras menutupi tulang. Bubuh banyak pun tidak mengapa sebab proses melembutkan daging memakan masa satu jam lebih atas api dapur.

2-Kemudian sediakan bahan kisar. Tuangkan bahan kisar ke dalam air rebusan tulang rusuk itu.

3-Biarkan kuah mereneh hingga daging jadi lembut.

4-Selepas itu tambahkan bahan hirisan tadi. Lengkuas, halia serta bawang putih dihiris memanjang.

5-Masukkan bahan-bahan perasa. Kacau seketika dan sambung mereneh kuah singgang sehingga daging betul-betul empuk. Gunakan api perlahan sewaktu mereneh ini.

6-Sebelum api ditutup, masukkan keratan cili kering, cili padi merah dan cili padi hijau. Siap singgang tulang rusuk.

Terima kasih : Afy AL Habibi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×