"Masih dahagakan karya lakonan" - Utusan Malaysia

“Masih dahagakan karya lakonan”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGHAMPIRI satu dekad, puluhan drama sudah dilakonkan. Malah pelbagai anugerah juga telah dirangkul.

Pelakon Syafiq Kyle, satu nama yang tidak asing lagi dalam industri seni hiburan tempatan. Sekali gus meletakkan dirinya dalam liga tersendiri.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, kata jejaka berusia 29 tahun itu, dia masih belum rasa puas untuk berkarya sebagai seorang pelakon.

Namun dia percaya bahawa satu hari nanti dia akan duduk di kerusi pengarah.

“Sejujurnya saya belum terfikir untuk ke bidang pengarahan. Saya masih belum rasa puas berlakon.

“Masih banyak pengalaman lain untuk diterokai menerusi drama, telefilem dan filem dalam menghidupkan watak.

“Jadi saya tidak mahu untuk terlalu terburu-buru bergelar sebagai pengarah atau pun penulis skrip dan penerbit.

“Insya-Allah, satu hari saya akan berjinak-jinak dalam bidang pengarahan pula. Buat masa ini, terus mendoakan kebaikan pada saya,” ujarnya yang percaya pada rezeki Allah.

Berbicara mengenai proses perkembangan kerjaya seni pula, kongsi pelakon yang melonjak naik menerusi drama rantaian islamik, Nur dan Nur 2, dia merindui suasana kerjasama antara pemain seni di lokasi penggambaran.

“Terlalu banyak momen yang suka untuk dikongsikan, tapi proses dalam menghasilkan atau menghidupkan sesuatu watak dan jalan cerita. Rasanya adalah ketika mana berada di lokasi penggambaran.

“Setiap kali penggambaran dijalankan, kerjasama seperti berbincang sesama pelakon, pengarah dan kru belakang tabir, tidak pernah senyap. Produktiviti sebegitu tidak dapat dinafikan telah membentuk siapa saya hari ini.

“Malah suasana proses itu juga amat saya rindui. Sejak aktiviti penggambaran dikekang dengan piawaian prosedur operasi standard (SOP), segalanya berubah.

“Tambahan lagi, sebarang bentuk penggambaran terhenti di kala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan,” luahnya.

Bukan mahu menjulang siapa Syafiq Kyle, tetapi penulis pernah terdengar kru belakang tabir selalu memuji sikap keterbukaannya untuk belajar perkara baharu.

Buktinya, dia bukan sahaja berlakon di kaca TV, tetapi pernah menonjolkan bakatnya di pentas teater muzikal arahan Erma Fatima, Pawana Isabella. Rata-rata pelakon teater dan peminat teater kagum dengan kebolehannya beraksi di pentas besar itu.

Rujukan BBNU

Di kala ‘kolam’ hiburan terus dipenuhi dengan kehadiran pelapis baharu, Syafiq melihat senario itu sebagai satu persaingan sihat.

Katanya, dia mahu menjadi tempat rujukan ‘budak baru nak up’ (BBNU) agar saling bertukar pandangan dan ilmu lakonan.

Sebagai seorang yang pernah berada di awal garisan permulaan, Syafiq memahami isi hati yang terbuku dalam diri setiap BBNU. Pendek kata, dia bagaikan abang sulung yang sudah makan garam.

“Setakat hari ini saya berpuas hati dengan hasil kerja yang dipersembahkan, walaupun biasa-biasa saja. Saban hari memang ada sahaja bakat baharu yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

“Dari pengamatan dan pengalaman bekerja dengan mereka, ramai yang berkualiti. Saya meraikan kehadiran mereka dan mengharapkan persaingan sihat, di mana kami dapat berkongsi buah fikiran sekali gus menjadi tempat rujukan buat BBNU.

“Sebagai pelakon lama, kita kena beri pendedahan dan peringatan tentang disiplin diri. Bagi populariti pula anggaplah sebagai bonus. Saya sendiri tidak pernah menempatkan diri di atas mahu pun berada di bawah, itu penerimaan masing-masing.

“Saya mahu terus fokus ke hadapan dengan pengalaman baharu yang bakal saya tempuhi. Enggan juga memikirkan perkara yang tiada dan ada, kerana populariti akan datang dan pergi,” jelasnya.

Pemilik nama Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya untuk drama Suara Hati, baru-baru ini.

Jika diimbas lipatan sejarah pencapaiannya, hampir semua artis hebat sudah pernah dia bekerjasama. Namun sikap membumi dan tidak sombong itulah menjadikan dia antara selebriti disenangi penggiat seni, pengamal media dan orang ramai.

Suara hati

Muncul dengan drama rantaian terbaharu di slot Tiara, Astro Prima, berjudul Suara Hati, kongsi pelakon itu, watak yang dibawa sebagai Harris sedikit sebanyak menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon.

Pun begitu, watak Harris mempunyai persamaan dalam diri Syafiq sebagai seorang pemain bola dan disebabkan itu, dia berasa bebas untuk beraksi dengan gaya tersendiri.

“Daripada bacaan skrip dan sinopsis, naratif Suara Hati agak memberi tekanan pada emosi, bukan saya tetapi watak Harris. Selain itu, rasanya yang memudahkan lakonan, ada persamaan perwatakan yang mana kami (Syafiq dan Harris) ini seorang kaki bola. Jadi bolehlah saya gunakan gaya di atas padang ke dalam drama ini.

“Dari segi karisma bersama para pelakon lain tiada masalah sebab semuanya memang berpengalaman. Bahkan, penggambaran pun hanya mengambil masa kurang sebulan sahaja,” ujarnya.

Secara ringkasnya Suara Hati mengisahkan Hani lakonan Hanna Aqeela, seorang pelajar universiti bercinta dengan Harris yang juga aktif dalam aktiviti sukan.

Hani kemudian diperkenalkan ibu bapanya dengan Naim (Aidil Aziz), seorang pensyarah sambilan di universitinya. Hani dan Naim mula mesra apabila Naim mula menolong Hani untuk projek universitinya.

Kebahagian Hani dengan Harris tidak berpanjangan apabila Harris dengan tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita dan terus membuatkan Hani kecewa.

Hani kemudian membuka pintu hatinya kepada Naim, yang juga baru gagal dalam percintaan.

Meskipun Harris muncul semula dapatkah dia memujuk semula hati yang pernah dilukai selepas Hani sudah pun mengikat tali perkahwinan dengan Naim?

Saksikan drama itu pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 petang.

Selain Syafiq, Hanna, dan Aidil, Suara Hati dibintangi oleh barisan pelakon yang terdiri daripada Afzan A.Rahman, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×