“Jujur hati itu masih ada” - Bekas pembantu Datuk Seri Vida - Utusan Malaysia

“Jujur hati itu masih ada” – Bekas pembantu Datuk Seri Vida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu peribadi, Ahmad Iqbal Zulkefli tidak menafikan dia masih menaruh hati pada bekas majikannya, usahawan sensasi, Datuk Seri Vida.

Biarpun jarak usia 22 tahun antara mereka, Iqbal tidak melihat perkara tersebut sebagai penghalang.

“Dari saya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), menjadi pembantu peribadi, hingga dibuang kerja dan sampailah saya ada rangkaian perniagaan sendiri hingga disebut sebagai Orang Kaya Baru olehnya, saya masih Iqbal yang sama. Jujur hati itu masih ada menaruh kepadanya.

“Malah saya pun tidak melihat seperti bertepuk sebelah tangan. Cuma nak kata bercinta itu tidak berani. Perasaan itu seolah-olah tergantung sepi tanpa ada kesudahan. Lagipun dia sudah pernah berdepan kegagalan rumah tangga dan perasaan keluarga juga perlu dijaga.

“Masa dia bercerai pun, saya ada disisinya. Ikutkan saya pernah membawanya berjumpa dengan keluarga di Kelantan dulu. Jujur kami pernah hampir nak berkahwin, tapi atas beberapa sebab tidak jadi,”katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan Vida tidak menolak jodoh baharu namun menetapkan kriteria calon suami yang mahu setaraf dengannya.

Sejak itu, kisah hubungan antara Vida dan Iqbal kembali hangat diperkatakan selepas sesi siaran langsung antara Vida dengan Datuk Seri Aliff Syukri yang turut memetik kisah jodoh mengenai Iqbal. Malah Aliff sendiri mahu Vida berkahwin saja dengan Iqbal.

Bahkan Iqbal, 27, sendiri turut memuat naik sebahagian klip video berkenaan dan dikongsi di laman Instagramnya. Kata Iqbal lagi, hubungan dan perasaan itu terus dilihat terbatas.

“Perasaan anaknya, Cik B pun perlu dijaga. Cik B sendiri tidak mahu ibunya bercinta dengan sesiapapun. Barangkali sebagai anak, Cik B tidak mahu ibunya terus terluka.

“Jadi selepas ditimbang tara, mungkin kami lebih sesuai berkawan. Bercinta itu juga tidak semestinya memilikikan? Dalam sehari kami boleh berborak dua tiga jam bercakap soal bisnes.

“Malah kalau ada masalah itu ini termasuk perihal staf, dia akan luah. Saya suntik semangat kepadanya jika dia ‘down’. Kalau dia nangis pun, nangislah jika itu membahagiakan,” katanya yang pernah menuntut di Aswara dalam penulisan kreatif.

Bagi Iqbal yang turut meneroka dunia niaga produk penjagaan kulit, Iba Skin Care dan minyak wangi (Iba Perfumes), kisahnya dengan usahawan berusia 49 tahun berkenaan agak merumitkan.

“Ikutkan ketika saya masih menjadi pembantu peribadinya lagi, persoalan jodoh dan kahwin sering diajukan. Malah dulu sampai satu tahap saya dianggap ‘anak ikan’nya apabila ada yang tidak tahu hubungan kami antara majikan dan pekerja.

“Tapi sejak itu juga, ia bagai berlalu pergi. Tak sangka pula Datuk Aliff petik balik kisah ini. Sebagai lelaki, kalau cakap soal hati dan selama mengenali insan bernama Datuk Seri Vida itu, saya mengakui terpaut hati dan sayang kepadanya.

“Tapi saya tahu kenyataan sebegini akan menjerat diri. Siapalah saya ketika itu nak mendekatinya yang dianggap berpengaruh. Saya pasti dianggap mahu menumpang populariti dan kekayaannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN