Didi & Friends jalin kerjasama dengan WWF Malaysia - Utusan Malaysia

Didi & Friends jalin kerjasama dengan WWF Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Animasi lagu popular ciptaan anak tempatan, Didi & Friends menjalin kerjasama dengan WWF Malaysia dalam usaha memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menyelamatkan orang utan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Digital Durian, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian, sebuah lagu baharu berjudul What Would You Do telah dilancarkan sempena sambutan Hari Orang Utan Antarabangsa pada 19 Ogos ini bagi tujuan meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

“Sebelum ini pada tahun 2020, Didi & Friends buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar yang berjudul, Even I Know That bersama dengan Takkan Tak Tahu.

“Kedua-dua lagu tersebut telah menyaksikan penerimaan menggalakkan dan ditonton ramai rakyat Malaysia khususnya, dengan merekodkan jumlah tontonan sebanyak 14 juta di saluran YouTube Didi & Friends,”katanya.

Selain itu, menurut Hairul, pihaknya menaruh harapan yang besar agar lagu What Would You Do dapat mendidik dan mendorong kanak-kanak untuk turut sama menyedari akan hakikat bahawa ‘rumah’ kita ini turut merupakan ‘rumah’ kepada hidupan liar lain seperti orang utan.

“Kanak-kanak perlu diberikan pendidikan awal untuk sama-sama bergandingan memelihara haiwan-haiwan yang hampir pupus dan kita tidak boleh memusnahkan habitat sedia ada mereka.

“Lagu ini turut didatangkan dalam Bahasa Melayu, Buatlah Sesuatu dengan objektif utama untuk menyeru peminat-peminat Didi & Friends khususnya, turut sama membantu memelihara orang-utan.

“Kami akan menggunakan watak animasi kami, Pak Atan sebagai duta untuk mendidik peminat-peminat cilik kami mengenai kempen ini.” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Didi & Friends, Khairul Ammar, berkata, elemen rancak digunakan sebagai latar lagu agar ia senang untuk diingati selain disertakan dengan lirik yang ringkas dan animasi yang penuh dengan warna-warni, menepati citarasa kanak-kanak yang menonton.

“Kami menggunakan karakter seekor anak orang utan, agar ia mampu memudahkan penonton kanak-kanak memahami dengan lebih jelas isu yang dihadapi orang-utan, dari kaca mata haiwan ini sendiri.

“Lagu ini menyeru kanak-kanak untuk berfikir dan bertindak sama membantu memulihara haiwan liar ini. Menerusi kolaborasi bersama WWF-Malaysia ini, kami berharap agar dapat menyasarkan lebih banyak pihak, dan mudah-mudahan di masa hadapan, kita akan memiliki persekitaran yang lebih hijau, segar, dan mampu menyelamatkan lebih banyak haiwan untuk tatapan generasi akan datang.”katanya.

Lagu Buatlah Sesuatu akan dilancarkan secara rasminya pada 16 Ogos 2021 di saluran Astro Ceria (CH611) manakala pelancaran di platform YouTube untuk kedua-dua versi akan diadakan pada 19 Ogos, di saluran YouTube Didi & Friends.

Untuk menggalakkan peminat turut sama bertindak dalam usaha menyelamatkan ‘rumah-rumah’ orang-utan, bersempena dengan pelancaran lagu terbaru ini, Didi & Friends juga mengadakan pertandingan #PokokPakAtan.

Peminat cilik dijemput untuk menanam sebatang pokok untuk diri masing-masing atau untuk Pak Atan dan tag penganjur ketika dalam durasi pertandingan serta berpeluang untuk memenangi hadiah barangan cenderahati menarik dari Didi & Friends dan WWF-Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan #PokokPakAtan, nantikan pengumuman seterusnya di laman-laman rasmi media sosial Didi & Friends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya