Populariti boleh hilang sekelip mata - Megat Rahim - Utusan Malaysia

Populariti boleh hilang sekelip mata – Megat Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN kali pertama dia tampil menawarkan single dalam usaha menempatkan diri dalam industri seni.

Sebelum ini, penyanyi bernama Megat Rahim ini pernah muncul dengan single berjudul Sinar dan Sudahlah.

Namun, entah mengapa kelibatnya dalam industri umpama tenggelam timbul. Ada dalam tiada, begitulah kiranya.

Sedar mana nilai populariti itu penting untuk seseorang artis meneruskan kelangsungan kerjaya seni, Megat bagaimanapun tidak meletakkan ia sebagai satu perkara pokok memandangkan masih ramai yang menilai pada keupayaan dan bakat artis itu.

“Saya percaya populariti seseorang penyanyi boleh menjadikan lagu nyanyiannya diterima. Sebab apabila sudah popular kita menjadi milik khalayak. Dari situ semua penyokong akan suka dengan apa saja kita buat.

“Sejujurnya, saya lebih memilih bakat daripada populariti. Dalam perkara ini mungkin orang lain berpendapat sebaliknya. Cuma, secara peribadi saya lihat soal bakat perlu diketengahkan kerana ia yang akan membuatkan kita kekal dalam bidang diceburi.

“Populariti itu akan datang dengan sendiri. Malah, ia juga boleh hilang sekelip mata. Apa pun, semua ini adalah rezeki Allah SWT. Saya percaya dan berpegang pada prinsip itu,” katanya.
Ditanya apabila dua single sebelum ini kurang mendapat sambutan, Megat sukar membuang rasa kecewa.

Namun itu bukanlah satu titik pemula untuk dia berputus asa kerana sedar ramai lagi penyanyi baharu yang masih berusaha kuat untuk menempatkan diri dalam dunia seni, sama seperti dirinya.

“Sejujurnya, saya agak kecewa kalau orang tak boleh terima lagu kita yang mana kita sudah berusaha sehabis baik untuk lagu itu. Sebab proses rakaman bukan mudah. Kena duduk dan ambil masa lama dalam studio dan nak menghayati lagi lagu berkenaan.

“Tetapi, saya sentiasa berfikiran positif. Saya percaya dan yakin masa saya akan tiba juga. Dalam erti kata lain, jangan cepat mengalah dan putus asa. Kena sentiasa positif dalam apa jua perkara. Selain itu, kita kena sentiasa mencuba sesuatu yang baharu untuk menonjolkan lagi bakat yang ada,” katanya.

Menurut Megat, apa yang penting ketika ini adalah strategi dan cara bagaimana dia perlu lakukan untuk memperkenalkan lagu Kuasa Dua itu.

“Untuk lagu baharu ini, saya akan terus promosikan di media sosial dan kena promo sedaya upaya apatah lagi dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan banyak aktiviti.
“Saya percaya dengan kuasa media sosial hari ini sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya yang ingin berduet dengan Hael Husaini.

Tentang Kuasa Dua

Dalam pada itu, berbicara mengenai single ketiganya yang berjudul Kuasa Dua, kata Megat ia adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Shazee Ishak dan telah dilancarkan serentak di semua platform digital sejak 4 Jun lalu.

“Lagu kali ini bergenre R&B dan pop. Kenapa genre ini, sebab sebelum ini saya ada keluarkan lagu bergenre jazz. Jadi, untuk single terbaharu ini saya nak mencuba untuk lagu genre up beat sikit.

“Lagu ini dirakam pada Februari lalu. Ia tidak ambil masa lama sebab saya sudah buat latihan sebelumnya. Kiranya, sebelum masuk studio saya sudah ada persediaan dan segalanya berjalan lancar,” katanya.

Mengenai lagu itu, Megat berkata, ia mengisahkan bagaimana perasaan cinta dan kasih sayang yang luar biasa ditunjukkan seseorang pada pasangan.

“Ia mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang mencintai seorang wanita dengan kuasa dua yang mana ia dizahirkan secara luar biasa.

“Sabab itu saya pilih tajuk ini. Lagi pun cinta yang ditunjukkan itu sangat luar biasa.

“Saya yakin dengan lagu ini ia mampu memberikan semangat kepada sesiapa saja untuk mencintai dan menyayangi seseorang itu dengan sepenuh hati. Dalam masa sama saya nak mendidik mereka bahawa cinta dan kasih sayang itu tidak boleh dipermainkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN