Masyarakat Orang Asli secara umum terkenal dengan ilmu perubatan tradisional menggunakan tumbuh-tumbuhan hutan. Ilmu yang diwarisi sejak bergenerasi hanyalah bersandarkan kepada lisan dan penceritaan oleh nenek moyang sahaja tanpa sebarang rekod bertulis yang diterbitkan.
Masyarakat Orang Asli mempunyai hubungan yang erat dengan hutan belantara dan secara uniknya mereka boleh mengenalpasti ratusan spesies serta berkebolehan dalam menggunakan sumber hutan secara lestari.
Kebergantungan mereka terhadap sumber hutan adalah tinggi, bukan sahaja sebagai asas perubatan, malahan juga sebagai sumber makanan, ekonomi dan spiritual.
Menyedari dunia kini berhadapan dengan era globalisasi dan modenisasi, masyarakat Orang Asli juga tidak ketinggalan terutamanya dalam penjagaan kesihatan seperti mendapatkan rawatan di klinik dan hospital serta pengambilan ubat-ubatan moden.
Penyertaan masyarakat Orang Asli terutamanya daripada generasi muda dalam sektor ekonomi baharu seperti pertanian dan perindustrian membawa perubahan besar terhadap cara dan gaya hidup serta memberi kesan positif terhadap ekonomi dan pendidikan anak-anak mereka.
Perubahan gaya dan cara hidup ini memungkinkan ilmu perubatan tradisional yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka semakin kurang diamalkan, malah boleh pupus jika tidak dipelihara.
Ditambah dengan kurangnya dokumen-dokumen yang merekodkan secara spesifik ilmu yang mereka miliki. Justeru, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerbitkan buku Meneroka Rahsia Rimba Warisan Orang Asli Semenanjung Malaysia Jilid 1.
Ia sebagai satu inisiatif merekodkan tumbuhan ubatan dan kegunaannya oleh masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia.
Maklumat dalam buku ini adalah sebahagian daripada hasil projek ‘Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi (PT) Orang Asli berkenaan Tumbuhan Ubatan di Semenanjung Malaysia’.
Projek ini mendokumentasi tumbuhan yang digunakan dalam amalan perubatan tradisional bagi 18 suku kaum orang asli di 23 perkampungan terpilih.
Kegunaan tradisional bagi 100 spesies tumbuhan ubatan hasil daripada pendokumentasian tersebut telah diketengahkan dalam buku ini.
Buku ini dibahagi kepada dua bab di mana bab Pengenalan memperincikan usaha dan kaedah yang digunakan untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisi yang dimiliki oleh Orang Asli.
Seterusnya, bab kedua iaitu Spesies Tumbuhan Ubatan dan Beraroma serta Pengamalan, menyenaraikan nama saintifik, nama tempatan Orang Asli (mengikut suku kaum) serta nama tempatan dalam Bahasa Melayu.
Bahagian tumbuhan yang digunakan dalam perubatan serta penggunaannya secara tradisional turut dihuraikan dalam bab ini. Buku ini berjaya memaparkan kekayaan ilmu masyarakat orang asli dan Melayu kerana spesies yang sama diguna tetapi mempunyai pelbagai panggilan nama tempatan dan penggunaannya yang berbeza.
Contohnya spesies Chromolaena odorata (L.) R.M.King & H.Rob., daripada famili Asteraceae/Compositae, nama panggilannya ialah pokok kapal terbang oleh masyarakat Melayu dan nama yang sama turut digunakan juga oleh suku kaum Semelai, Kensiu, Jahut dan Orang Kanaq.
INFO
Tajuk: Meneroka Rahsia Rimba Warisan Orang Asli Semenanjung Malaysia Jilid 1
Penulis: MN Madihah, AL Tan, B Intan Nurulhani, N Amizan, M Dionysia, J Fadzureena, MS Abdul Hayat, BA Amelia & Z Nurul Husna
Penerbit : FRIM
ISBN No: 978-967-2149-49-1
Pengulas: Madihah Muhammad Nawi