NOR ASMAH DAUD, 47, hampir hilang salah satu jari apabila tali tangsi yang diikat pada wau menjerut jarinya. Ia berlaku semasa menyertai pertandingan di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang, Johor beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut tidak membuatkan wanita tersebut serik atau patah semangat untuk terus berkecimpung dalam permainan wau yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki.
Malah, dia yang juga merupakan pelayang wanita tunggal negara tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan tersebut sejak 2009.
Ibu kepada tujuh orang anak berusia lapan hingga 27 tahun itu memberitahu, permainan wau adalah salah satu sukan lasak. Ia memerlukan kekuatan pada tangan untuk mengawal wau semasa di udara.
“Sebenarnya semasa kita mengawal dan menarik tali tangsi itu memerlukan teknik yang betul. Jika tali kendur maka perlulah ditarik balik supaya wau dapat naik dengan elok.
“Saya pernah tersilap menarik tali sampai menjerut jari. Saya sudah jatuh masa itu dan nasib baik tidak terputus jari.
“Walau bagaimanapun, pengalaman itu tidak pernah mematahkan semangat saya terhadap permainan ini kerana saya memang gemarkan aktiviti lasak dan mahu menunjukkan bahawa wanita juga mampu menjadi pelayang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, permainan wau tersebut kurang diminati kaum wanita kerana memerlukan tenaga yang kuat dan ketangkasan semasa melawan angin ketika mengawal wau.
“Bila main wau ini memang caranya agak kasar terutamanya apabila kita berlawan dengan angin yang agak kuat. Tenaga kena lebih, mungkin ada sesetengah wanita yang lemah agak sukar untuk mengawal situasi ini,” katanya.
Sementara itu, wanita yang berasal dari Batu Gajah, Perak ini pernah memenangi pertandingan wau sobek tercantik dalam Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2019 dan menjadi pengadil di festival sama tahun sebelumnya.

Menantu kepada Adiguru Kraf Wau, Samat Man, 74, itu juga bertekad untuk membawa satu pasukan pelayang wau wanita untuk menyertai festival layang-layang pada suatu masa nanti.
Katanya, ramai wanita yang terlibat dalam aktiviti lasak ketika ini dan wau adalah satu daripada permainan yang boleh diterokai oleh kaum wanita bagi memastikan seni tradisi tersebut terus mempunyai pelapis pada masa depan.
“Bagi menyertai pertandingan satu pasukan itu perlu dianggotai lima orang peserta. Impian saya adalah untuk bawa satu pasukan yang semuanya dianggotai kaum wanita.
“Jika ada yang berminat dengan sukan lasak, permainan wau boleh dijadikan salah satu pilihan. Malah, saya sanggup mengajar mereka yang betul-betul berminat untuk mempelajari permainan seni warisan tradisi ini.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada lagi kaum wanita yang betul-betul berminat untuk menceburi bidang ini.
“Saya rasa mungkin ada yang berminat tetapi tidak berani untuk ke depan dan bergiat secara aktif,” ujarnya.
Mahir buat wau sobek
Bakat wanita yang tinggal di Kampung Tok Kaya, Kuala Perlis itu bukan sahaja sebagai pelayang, malah dia juga sudah 20 tahun terlibat dalam pembuatan wau sobek.
Anak bongsu dari dua beradik ini mula mengasah bakatnya dengan lebih mendalam dalam seni pembuatan wau setelah berkahwin dan berguru dengan bapa mertuanya yang diangkat sebagai Adiguru Kraf Wau oleh Kraftangan Malaysia pada 2018.
“Terdapat tiga jenis wau yang popular di negara ini iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jala Budi yang juga dikenali sebagai Wau Malaysia. Wau jenis ini akan digunakan semasa pertandingan.
“Selain itu, terdapat juga jenis wau berbeza setiap negeri antaranya Wau Lang di Perlis, Wau Puyuh di Kelantan, Wau Kapal di Selangor, Wau Merak di Johor, Wau Kang Kang di Kedah dan Wau Seri Bulan di Perak,” katanya.
Menurut Nor Asmah, Wau Merak dan Wau Bulan adalah kegemarannya apabila bermain kerana dia suka melihat bentuk wau serta bunyi yang dikeluarkan ketika ‘menari’ di udara.
Bagaimanapun, Wau Lang adalah jenis yang paling digemari untuk dihasilkan kerana bentuknya seperti burung helang dan merupakan wau kepada negeri Perlis.
“Buluh duri menjadi pilihan kami untuk membuat rangka wau kerana lebih tahan lama dan anjal selain mudah didapati di Perlis.
“Buluh yang matang akan ditebang sebelum dipotong mengikut saiz wau yang ingin dibuat.
“Peringkat yang paling saya minat adalah menghasilkan wau sobek iaitu rekaan tradisi daripada kertas dengan menggunakan kaedah meretas dan menebuk sehingga boleh mencapai lima lapisan kertas.
“Penghasilannya melibatkan beberapa lapisan kertas yang mana lebih banyak lapis kertas itu, lebih halus dan rumit pembuatannya kerana kami perlu menebuk setiap lapisan kertas bagi menampakkan warna dan corak yang menarik,” ujarnya.

Tambahnya, pihak Kraftangan Malaysia banyak memberi sokongan dalam menjaga seni tersebut serta membantunya dalam memasarkan produk wau termasuk di platform digital seperti mycraftshoppe.com terutamanya semasa musim pandemik ini.
Jelasnya, dia mampu untuk menghasilkan antara lima hingga enam wau sobek sebulan.










