'Yah Kuchai' mahu bergelar guru - Utusan Malaysia

‘Yah Kuchai’ mahu bergelar guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat rezeki dalam bidang lakonan sebagai suatu yang tidak terjangka, bagi pelakon muda ini bukan populariti yang menjadi keperluan. Tidak meletakkan harapan yang tinggi, kongsi Afea Deanna Baharudean sebagai pendatang baharu dia lebih senang bersikap realistik.

Masih meneruskan usaha untuk bergelar seorang pendidik pada masa hadapan, kata pelakon yang terkenal dengan nama panggilan Yah Kuchai ini, dia akan sentiasa menghargai peluang yang diberikan.

“Bila orang lebih kenal saya sebagai Yah Kuchai, sebenarnya tiada masalah pun. Memang sekarang juga ada yang tidak tahu nama betul saya. Mungkin watak yang dibawa itu berkesan jadi itu lebih dekat dengan saya.

“Apa pun saya perlu berterima kasih kepada uncle Mamat yang memberi kepercayaan saya untuk membawakan watak tersebut. Malah sehingga kini juga saya tidak tahu bagaimana watak itu dicipta memandangkan hanya uncle Mamat mempunyai sebab,”katanya kepada Hits.

Merupakan pemilik Diploma Bahasa Inggeris dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ketika ini Afea tidak meletakkan kerjaya lakonannya sebagai eksklusif. Mahu membuka peluang menimba ilmu dalam bidang ini, namun ada syarat yang mahu dikekalkan.

“Jika ada produksi lain yang mahu mengambil saya berlakon tidak ada masalah. Buat masa ini saya terbuka. Memandangkan menjadi harapan saya untuk dapat menimba lebih banyak ilmu dalam bidang ini.

“Cumanya kalau produksi lain itu masih mahu mengekalkan watak Yah Kuchai ini saya tidak bersetuju. Sebab watak ini dicipta uncle Mamat, jadi mereka yang lain tidak ada hak untuk menggunakannya
Dalam keadaan ini saya mahu mengambil kira keperluan saya untuk membawakan watak lain juga,” tambahnya.

Mengakui ada yang berbeza mengenai kehidupannya kini, ternyata watak dalam Kampong Pisang Bersiri-siri dan 18 Puasa Di Kampung Pisang arahan Mamat Khalid ini membawa tuah pada dirinya. Mengakui semakin dikenali, balas Afea dia juga masih dalam situasi membiasakan diri dengan perhatian yang diberikan.

“Memang ada yang berbeza, buat masa sekarang saya masih bekerja seperti biasa di Sarang Art Hub, walaupun mengenakan pelitup muka, memang ada yang cam saya. Cuma mereka memang tidak panggil nama saya tetapi Yah Kuchai.

“Selain itu di laman sosial juga memang ada peningkatan pengikut. Kalau dahulu sekadar 300 orang sahaja sekarang sudah meningkat hampir 10,000 pengikut,”katanya.

Bukan cari populariti, tapi ilmu lakonan

Ketika ada penerbit dan pengarah drama di negara ini mendambakan populariti dan pengikut di Instagram sebagai syarat untuk berlakon, perjalanan karier lakonan Afea cukup berbeza. Bermula sebagai pekerja biasa dan pelajar, siapa sangka wataknya kini menjadi jenama terkenal dalam kalangan penonton.

“Itu yang mahu saya sampaikan kepada mereka yang mungkin mahu menjadi seorang pelakon ataupun anak seni. Sebab perjalanan kita ini berbeza-beza, jadi jangan anggap apa yang mungkin kita lihat sebagai tradisi itu satu-satunya jalan.

“Rezeki itu datang dalam pelbagai cara dan apa yang penting jangan pernah berputus asa untuk sentiasa mencuba,”kongsi Afea yang sebelum ini turut aktif dalam pementasan teater sebagai ruang utamanya untuk mempelajari teknik lakonan.

Bukan sahaja dirinya, malah tidak pernah terlintas dalam fikiran keluarganya untuk dia bergelar seorang pelakon. Bersyukur dengan sokongan yang diterima, jelasnya walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi namun dia akan tetap berusaha.

“Kali pertama beritahu keluarga yang saya akan muncul dalam drama Kampong Pisang Bersiri-siri keluarga memang tidak percaya sebenarnya. Sebab pada mulanya memang saya hanya bermula sebagai pelakon tambahan sahaja tidak sangka diberi peluang sebesar ini.

“Alhamdulillah mereka sangat gembira selain banyak memberi sokongan. Cuma buat masa ini agak sedih sedikit terpaksa berjauhan dalam tempoh yang agak panjang. Mujur di Tanjung Malim ini saya ditemani adik. Aidilfitri tempoh hari juga hanya berdua dengan dia,”katanya.

Mahu jadi guru
Masih dalam perancangan untuk menyambung pengajian, ternyata impian untuk bergelar seorang guru tidak pernah dilupakan dirinya. Melihat profesion seorang pendidik sebagai sesuatu yang mencabar, bagi anak ketiga daripada lapan adik beradik ini ada fokus berbeza yang mahu dicapainya.

“Saya sendiri tidak tahu sejauh mana dunia lakonan saya akan bertahan. Buat masa ini saya hanya akan teruskan dan dalam masa yang sama menunaikan impian saya untuk melanjutkan pengajian. Cuma buat masa ini agak tergendala dengan keadaan pandemik.

“Ikutkan memang saya tidak akan sia-siakan peluang untuk bergelar seorang guru. Sebab dalam tempoh sekarang tidak ada salahnya untuk saya merebut peluang yang ada. Walaupun saya mempunyai Diploma Bahasa Inggeris, tetapi impian saya sebenarnya adalah untuk menjadi seorang guru pendidikan khas,”jelasnya.

Tidak melihat ada kepayahan untuk dia berhadapan dengan dunia pendidikan suatu hari nanti, Afea memberitahu ramai yang beranggapan dia adalah seorang yang kelakar. Mendedahkan dirinya adalah seorang yang serius, ternyata watak Yah Kuchai itu sendiri cukup berbeza daripada dirinya.

“Saya bukanlah seorang yang kelakar, jujurnya saya bukan seorang yang suka bersembang pun. Mempunyai sikap yang suka memerhati keadaan sekeliling, dari situ sebenarnya saya cuba mendalami watak yang diberikan.

“Cuma sekarang apa yang saya pelik bila ada yang lihat muka saya juga sudah ketawa. Bagi saya mungkin watak itu sendiri yang membuatkan orang bayangkan saya seorang pelawak. Saya tidak tahu bagaimana saya akan bergelar seorang guru kelak, cuma kerjaya itu pada pandangan saya sangat mulia. Bagaimana seorang guru itu mampu menjadi inspirasi selain menjadi saluran untuk menyampaikan ilmu,”kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN