Sphynx Cat, si togel terlebih manja - Utusan Malaysia

Sphynx Cat, si togel terlebih manja

Manja dan Sugar memerlukan belanja lebih RM200 sebulan untuk pasir, makanan dan rawatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCING adalah haiwan peliharaan yang sangat manja dan sering digelar ‘si bulus’ kerana mempunyai bulu yang nipis atau lebat mengikut baka masing-masing.

Tetapi pasti ramai yang berasa janggal jika melihat kucing yang tidak berbulu atau togel menjadi haiwan peliharaan. Malah ada yang beranggapan pemilik kucing telah sengaja atau sanggup mencukur bulu haiwan itu.

Hodoh dan menggelikan. Itu yang biasa digambarkan apabila melihat kucing jenis ini. Bagaimanapun, kucing yang togel itulah sebenarnya keunikan baka kucing Sphynx. Ia bukanlah dicukur.

Kucing Sphynx dikatakan berasal dari Toronto, Kanada yang beriklim sejuk dan baka jenis ini ditemui pada 1960-an.

BELA SPHYNX CAT SELEPAS ANAK ALAMI MASALAH KULIT

Pemilik dua ekor kucing baka Sphynx, bernama Manja dan Sugar, Noor Lyziana Zahari, 33, membeli kucing jenis Sphynx pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei tahun lalu.

Katanya, dia tidak pernah terfikir untuk membela kucing togel dengan raut wajah seakan alien. Namun terpaksa berikutan anaknya, Liyana Husna Mohd. 4 berdepan masalah alahan kulit yang berkemungkinan besar berpunca daripada bulu kucing.

Demi kepentingan kesihatan anak, Guru Prinsip Akaun dan Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Menjalara di Kepong, Kuala Lumpur ini membuat keputusan berhenti membela kucing yang berbulu dan memilih Sphynx Cat.

“Kami sekeluarga memang pencinta haiwan terutama kucing. Sebelum bela Sphynx Cat saya dan suami membela kucing yang berbulu iaitu kucing baka Maine Coon.

“Tapi disebabkan terlalu banyak, sehingga satu tahap saya berhenti bela kucing dan beri kepada orang lain. Terakhir, tinggal dalam sembilan ekor dan saya beri kepada kawan-kawan pada 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Noor Lyziana Zahari bersama Manja (kiri) dan Sugar.

Tambah Noor Lyziana, pengasuh anaknya ada memberitahu mungkin masalah kulit itu berpunca daripada bulu kucing.

“Alhamdulillah, sejak kami tidak membela kucing berbulu, masalah kulit anak menjadi bertambah baik dan kian pulih,” katanya.

Menyerlahkan rasa cinta terhadap haiwan, Noor Lyziana berkata, pada PKP tahun lalu mereka sekeluarga seolah-olah tidak boleh hidup tanpa kucing.

“Kalau burung, tidak boleh dipeluk tetapi kalau bela kucing kita boleh peluk dan sayang ia. Rasa lain bila dapat peluk kucing,” katanya.

Menceritakan detik ketika membeli kucing baka Sphynx, Noor Lyziana berkata, dia melihat gambar pelbagai jenis kucing di laman Instagram dan dengan tidak sengaja tertarik dengan Sphynx Cat ini kerana ia tidak berbulu dan mungkin sesuai dibela kerana anak mempunyai masalah kulit.

Sphynx Cat betina dibeli pada harga RM3,000 yang diberi nama Manja berusia enam bulan ketika itu.

 

SPHYNX CAT BERBULU HALUS

Ujar Noor Lyziana, ramai yang salah faham dan beranggapan kucing jenis Sphynx tidak mempunyai bulu langsung pada kulitnya, namun ada tetapi halus.

“Ia mempunyai bulu halus. Pendek-pendek kecil dan tidak rapat seakan permaidani yang halus. Bila kita pegang, seakan pegang permaidani, bukan seperti pegang kulit manusia yang ramai gambarkan. Ramai yang geli sebab ingat seperti kulit manusia.

“Yang masih kecil, ya rasa seperti pegang kulit tetapi kalau yang dewasa, bila kita pegang, kita boleh rasa bulu-bulu,” katanya.

Malah katanya, suaminya juga geli untuk memegang Manja buat pertama kali namun lama-kelamaan, seronok memegang kucing itu kerana seperti menyentuh permaidani yang halus.

MANJA

Noor Lyziana mengakui sebelum membeli Sphynx Cat, dia tidak mengkaji sifat kucing itu.

“Selepas membelanya baru tahu ia sejenis kucing yang terlebih manja. Kucing ini lain daripada kucing yang saya bela sebelum ini.

“Rutin ‘manja’ kucing ini adalah ia akan pergi dekat kita untuk tidur sekali. Suka mengurut-urut paha dan perut kita kemudian membuat bulatan untuk landing dan tidur di situ.

“Saya tidak ajar kucing untuk tidur sekali dalam bilik pada waktu malam. Saya menyediakan tempat khas di ruang tamu untuk kucing peliharaan saya. Tetapi lain sikit bagi Manja. Sebab itu namanya manja,” katanya.

Perbezaan lain kucing berkenaan ialah ia sangat aktif pada waktu malam hingga perlu disediakan mainan untuk bermain sehingga keletihan.

SUAMI HADIAHKAN SPHYNX CAT

Selepas Manja, ia kini bertambah lagi seekor, diberi nama Sugar, hasil pemberian suami tercinta, Mohd. Hasraf Mohd. Yazid, 34.

“Pada awalnya risau juga dengan Manja dan Sugar takut mereka tidak serasi. Ambil masa dalam sehari dua jugalah untuk proses kenal. Jadi, saya letakkan dalam sangkar dahulu di ruang tamu. Kemudian Manja akan berlegar-legar dulu ambil bau.

“Apabila Manja sudah boleh lalu depan sangkar, barulah kami keluarkan Sugar. Bila kedua-duanya serasi, ibarat Manja ini ibu kepada Sugar sebab biasanya kucing kecil kurang ‘pandai’ menjaga diri dan Manja kerap membersihkan Sugar dengan caranya,” katanya.

Noor Lyziana Zahari bersama suami Mohd. Hasraf Mohd. Yazid dan anak, Liyana Husna Mohd selalu melayan Manja dan Sugar.

PEMAKANAN DAN ASPEK PENJAGAAN SPHYNX CAT

Kata Noor Lyziana, Sphynx Cat adalah kucing yang sangat sensitif dan tidak boleh makan sebarang makanan kerana berisiko mempunyai masalah pada perut.

“Jadi, kalau bagi makanan yang tidak sesuai, ia akan cirit-birit. Saya ada baca mengenai kucing seperti ini memang mempunyai masalah perut. Ia tidak boleh terlebih protein dan makan banyak.

“Kuantiti makanan perlu dikawal kerana bimbang berisiko cepat gemuk. Sphynx Cat mudah gemuk jika kita tidak kawal pemakanannya,” katanya.

Namun, penjagaan Sphynx Cat lebih senang berbanding kucing jenis lain terutama aspek kutu.

“Saya hanya letak ubat kutu enam bulan sekali sahaja berbanding kucing berbulu yang kerap mempunyai kutu dan perlu sediakan ubat tambahan,” katanya.

Manja dan Sugar juga mudah dibersihkan.

“Walaupun ‘dramanya’ sama dengan kucing jenis lain namun ia agak mudah diuruskan kerana jirus sahaja dengan air, syampu dan bilas serta keringkan dengan tuala.

“Sekejap sahaja. Kalau kucing berbulu panjang perlu pastikan kotoran keluar daripada bulu dan mengambil masa yang lama. Nak kena kering dan ‘blow’ juga bagi cantik,” katanya.

Noor Lyzaian berkata, disebabkan Sphynx Cat mudah berpeluh dan sangat aktif, kulit badannya akan mudah berminyak.

“Kalau berminyak pada kulitnya, tidak perlu dimandikan, cukup sekadar lap dengan tisu basah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN