BERTAHUN lamanya dia menyimpan rahsia di sebalik kerjaya yang nampak gah dan tentunya dicemburui ramai, Siti Saleha sedar barangkali ramai mampu tertipu.
Tetapi, jangan pula salah sangka, apa yang dikongsikan oleh wanita ini bukanlah mengenai sisi dirinya di dunia sebenar.
Sebaliknya, ia adalah gambaran kehidupan watak Amy lakonannya menerusi drama berjudul Scammer arahan Norhanisham Muhammad yang telah pun bersiaran di saluran Astro Ria sejak 24 Mei lalu.
Kongsi Saleha, naskhah Scammer sebenarnya dekat dengan sosio kemasyarakatan kita kerana terlalu banyak kes berkaitan penipuan kewangan yang berlaku dengan yang paling ketara menerusi apa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
“Terus-terang, saya dulu pun tak pernah tahu scam itu apa. Rupanya pasal penipuan dan kemudian saya dapat tahu menerusi isu-isu semasa yang berlaku juga sampai ada yang dipanggil pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Bila dapat terlibat dalam naskah ini, saya rasa teruja juga sebab secara tak langsung, saya didedahkan dengan pelbagai maklumat dan modus operandi golongan penipu ini, sesuatu yang tak pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Menurut Saleha lagi, Scammer juga bukan bertujuan memberi idea kepada penonton untuk melakukan jenayah, tetapi dia percaya menerusinya, ia dapat mendidik masyarakat mengenai kesan buruk yang menimpa.
“Lagipun, kita tak naklah tunjuk drama tempatan kita ini asyik-asyik dengan penceritaan cinta yang klise sahaja. Menariknya, untuk drama ini, saya belajar macam-macam perkara tentang bagaimana menjadi seorang penipu.
“Termasuk cara cuci duit haram sampai ke luar negara. Saya sendiri pun kagum dengan perincian yang dipaparkan dalam drama ini.
“Kalaulah saya kenal atau tahu mana-mana scammer di luar sana, rasa macam nak temubual mereka saja sebab nak tahu macam mana taktik mereka buat kerja ya,” katanya.
Ditanya sama ada dia pernah terlibat menjadi mangsa mana-mana scammer dalam hidup, pelakon berusia 31 tahun ini menidakkannya.
Kata Saleha, sebagai seorang individu, tentulah dia tidak berharap perkara seperti itu terjadi kepada dirinya sementelah enggan terjebak dengan masalah yang rumit atau memberi kesan kepada dirinya.
Dipaparkan sebagai seorang wanita yang ‘classy’, profesional dan jelita, Saleha tidak menafikan, untuk membawakan watak Amy dalam drama ini dengan baik secara keseluruhan, aspek imej menjadi titik fokus buatnya.
Ia juga merupakan sesuatu yang berbeza yang pernah dilakukan olehnya memandangkan sebelum ini, kebanyakan watak yang dilakonkan tidak memerlukan dia untuk bersiap lama di sesebuah set penggambaran.
“Amy memang berdandan dan bersolek tebal. Pakaian-pakaian yang disarungnya juga semua cantik-cantik. Pendek kata dia memang seorang yang menyerlah dan bergaya. Orang akan nampak dia cantik sentiasa, tetapi sayalah yang kena hadap bersiap lama di set.
“Saya tak pernah pakai kuku palsu, bersolek tebal mahupun pakai bulu mata palsu untuk sesebuah watak. Tetapi demi Amy, saya buat.
“Memang saya bersungguh-sungguhlah demi Amy sebab saya tak nak nampak sama saja macam mana-mana watak dan lakonan yang pernah dibawakan sebelum ini,”katanya.
MAHU BUKTI BAKAT
Dalam pada itu, menarik minatnya untuk berkongsi mengenai progres dan kepelbagaian watak yang pernah dibawakan, kata Saleha, dia sedar selama ini sudah terlalu sering dia diberi peranan seorang wanita yang terkait dengan soal cinta.
Sebagai seorang pelakon, bahkan kalau ditanya pada mana-mana sekali pun, tentulah enggan dibandingkan dengan lakonan yang pernah dibawakan dalam mana-mana naskah lain.
“Ia juga satu sebab mengapa saya terima tawaran Scammer ini. Saya nak berikan satu persembahan lain untuk penonton, lagi pula ia adalah watak antagonis.
“Walaupun saya bukan jenis pelakon yang suka ambil banyak tawaran lakonan setiap tahun,tetapi saya suka jika watak-watak yang dibawakan itu tidak sama setiap kalinya,”katanya.










