fbpx

Sedar Ku, bukan lagu biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Ramadan dalam tempoh pandemik ini disambut berbeza setiap insan. Melihat ini sebagai antara ujian yang akan terus menguatkan kita, empat artis baharu naungan Indigital Music hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Sedar Ku.

Yakin kehadiran lagu ini sebagai tepat pada masanya, kongsi Syahmi Irfan, Syafiq Naser, Aliff Iskandar dan Killa Driz, Sedar Ku bukan sekadar memberi nasihat namun dalam masa sama turut memberi sebab mengapa kita perlu sentiasa bersyukur.

“Memang benar, perjalanan hidup kita berbeza dan apa yang dilalui juga tidak sama antara satu sama lain. Apabila membaca dan ‘menghadam’ sendiri kisah yang ditulis melalui lagu ini, membuatkan saya terfikir banyak perkara.

“Apa yang telah kita buat selama ini? Adakah cukup amalan dan kebaikan kita? Semua ini bermain di fikiran dan membuatkan saya perlu melakukan sesuatu sebelum terlambat,” kata Syafiq yang popular dengan lagu Lenggang.

Bagi Syahmi pula, sebagai seorang penyanyi penghayatan ada perkara pertama yang perlu dikuasainya. Berpeluang menyampaikan lagu Sedar Ku, jelas Syahmi apa yang memberi kesan kepada dirinya bagaimana setiap lirik dalam lagu ini cukup menginsafkan.

“Kita mungkin terlalu sibuk mengejar banyak perkara, tetapi dalam masa sama terlupa dengan kekurangan dan kekhilafan yang dilakukan. Jadi, dengan adanya ‘ingatan’ melalui lirik sebegini, ia dapat memberikan kesedaran kepada semua.

“Saya gembira dapat bersama rakan-rakan yang lain menyanyikan lagu ini. Ini memang satu penghormatan besar untuk penyanyi baharu seperti kami,” katanya yang turut bersyukur diberikan peluang menyanyikan lagu yang mendapat sentuhan Iman Imran dan Killa Driz ini.

Sementara itu, Sedar Ku yang mengisahkan mengenai nafsu, amarah dan noda yang biasanya bersembunyi di sebalik perkataan cinta. Lagu berentak balada ciptaan Natasyah, Mazlan Setapa dan Hafiz Dot sudah dilancarkan secara rasmi pada 9 April lalu di semua platform digital dan boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.