Radu Sirbu menanti peluang - Utusan Malaysia

Radu Sirbu menanti peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Nu ma, nu ma iei.’ Baca sahaja lirik ringkas ini, pasti para pembaca terus dapat menangkap melodinya. Lagu berjudul Dragostea Din Tei ini pernah menakluki carta utama lagu-lagu di seluruh dunia.

Penggunaan bahasanya yang unik dan alunan melodinya yang rancak membuatkan para pendengar menjadi lebih teruja. Lagu yang membawa maksud ungkapan-ungkapan cinta ini keluar secara rasmi Ogos 2003.

Kumpulan ini terdiri daripada tiga pemuda yang dikenali sebagai Dan Balan, Arsenium Todiras dan Radu Sirbu. Namun persoalannya di sini, dari manakah asalnya mereka? Bahasa apakah yang digunakan dalam nyanyian tersebut? Pastu ramai yang tertanya-tanya.

Maka di sini penulis bawakan anda berkenalan dengan salah seorang penyanyinya, Radu Sirbu. Penulis merasa teruja kerana dapat berhubung dengannya secara tidak langsung.

RADU SIRBU

Berasal dari perkampungan Perescina, Moldova, Radu kini menetap di ibu kota Romania, Bucharest. Dia seorang penyanyi, penulis lirik dan penerbit lagu. Kerjayanya dalam dunia muzik bermula pada 1994 seawal umur 16 tahun lagi dengan menjadi seorang penyampai DJ dan penyanyi.

“Pada 2001, saya menjadi salah seorang anggota O-Zone. Beberapa buah lagu kami menjadi sangat terkenal di Moldova dan Romania. Bahkan setelah beberapa rahun kemudian, kami berjaya menembusi pasaran dunia!” Jelasnya sewaktu dihubungi melalui telefon.

Antara lagu mereka yang terkenal ialah Despre tine dan Disc O-Zone. Pada 2004, lagu Dragostea Din Tei berjaya berada di anak tangga pertama carta lagu di kebanyakan negara Eropah. Mereka juga telah telah berjaya menjual lebih 15 juta album di seluruh dunia, paling banyak terjual di Jepun.

Lagu mereka yang unik itu turut berjaya merangkul tempat pertama selama 25 minggu berturut-turut di pelbagai negara. Namun, di United Kingdom, mereka sekadar berada di tempat ketiga. lagu Dragostea Din Tei mempunyai ratusan versi dalam pelbagai bahasa dan pernah dinyanyikan oleh Rihanna sekaligus kembali membawa lagu ini dalam senarai 100 lagu terhangat pada lewat 2008.

Pada 2011, Radu dan rakan perniagaannya, Sianna menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Rassada Muzik, mereka menulis dan menerbitkan lagu-lagu terkenal kepada penyanyi tempatan dan antarabangsa. Memandangkan O-Zone tidak lagi aktif seperti dahulu, maka Radu kini aktif sebagai penyanyi solo.

PERMULAAN
Menurut Radu, permulaannya bersama O-Zone agak menarik. Salah seorang rakannya memaklumkan kepadanya bahawa O-Zone sedang mencari seorang penyanyi baharu. Pada awalnya, dia agak skeptikal tetapi setelah berfikir panjang dia mengambil keputusan untuk bersama mereka.

Radu dan rakan-rakannya merasa sangat teruja apabila lagu mereka masih dikenali walaupun setelah hampir 20 tahun berlalu. Lagu ini juga secara tidak langsung membantu mereka mempromosi bahasa Romania dan budayanya ke seluruh dunia.

Dia juga tidak melepaskan peluangnya menceritakan tentang tanah airnya, Moldova.

“Moldova merupakan sebuah negara yang indah, masyarakatnya peramah dan alam semula jadinya begitu memukau.

“Saya menjemput anda semua untuk melawat Moldova! Anda pasti tidak akan merasa kecewa.

“Sekalipun kini saya menetap di Romania, Moldova ternyata sentiasa di hati saya memandangkan di situlah tempat saya menghabiskan masa muda,” katanya.

KERJASAMA
Walaupun tidak aktif, O-Zone masih bergabung bagi program-program tertentu seperti sambutan tahun baharu di dataran Bucharest, Romania pada 2020. Khabar baik kepada penggiat muzik tanah air kita, pihak Radu Sirbu sentiasa terbuka untuk menjalankan apa-apa kerjasama dengan penyanyi Malaysia.

“Saya berminat untuk mengadakan kerjasama, sekiranya terdapat penyanyi-penyanyi Malaysia yang membaca artikel ini, anda boleh mencari dan berhubung dengan saya!” katanya.

Radu dan O-Zone telah pun sedia maklum dengan penerimaan lagu mereka di Malaysia sejak 2003 lagi dan mereka sangat berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia.

“Saya mengirimkan salam kepada anda semua dari Romania. Saya berharap, satu hari nanti saya dapat melawat negara anda memandangkan ia turut merupakan salah satu perancangan saya pada masa
hadapan. Buat masa ini, saya berharap anda semua sentiasa berada dalam keadaan sihat, positif, menebarkan kebaikan dan menolak segala kejahatan serta bertindak untuk memelihara bumi kita, ayuh kita pastikan bumi ini selamat untuk anak-anak kita!”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN