Noor Kartini minta maaf, dakwa kesilapan pekerja. - Utusan Malaysia

Noor Kartini minta maaf, dakwa kesilapan pekerja.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Ibu usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, Noor Kartini Noor Mohammed, 54, membuat permohonan maaf kepada Istana Negeri Johor khususnya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kekhilafan seorang pekerja memuat naik komen berbaur sensitif menggunakan akaun Instagram miliknya.

Menurut Noor Kartini, dia menyedari isu berhubung tangkap layar daripada Instagram Story (IGS) miliknya setelah bertebaran di media sosial yang memaparkan komen mengenai sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

“Saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada akaun Instagram saya.

“Dia yang merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja telah memuat naik instastory tanpa sedar menggunakan akaun saya, @noorkartini.

“Kepada Tuanku dan seluruh ahli keluarga diraja, patik merafak sembah memohon maaf  atas kecuaian yang terjadi,”katanya.

Noor Kartini berkata demikian dalam satu kenyataan yang diberikan kepada warga media bagi menjelaskan isu tersebut yang menjadi bahan bualan ramai di media sosial.

Perkara tersebut timbul selepas ramai membuat ciapan di Twitter mengenai ibu Neelofa itu yang dikatakan berani membuat kenyataan berbaur cabaran menyentuh isu perlembagaan diraja.

Tulisan tersebut berbunyi ‘kalau prihatin suruh lah Agong batalkan darurat!! Cakap je lebih!!’ disertakan dengan video latar belakang memaparkan wajah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkara tersebut juga telah mendapat perhatian daripada keluarga diraja tersebut dan antara yang memberi tanda isyarat mengenainya ialah anakanda ketiga Sultan iaitu Tunku Idris Iskandar.

Respons yang diberikan oleh Tunku Idris menerusi akaun Instagramnya juga menerima reaksi pelbagai daripada para pengikutnya selepas dia memuat naik sebuah ayat yang dipercayai merujuk kepada perbuatan Noor Kartini itu.

“Adab yang terjelma dalam amalan seseorang itu adalah petanda bahawa amalan itu diterima oleh Allah SWT,”tulis Tunku Idris memetik ayat asal yang ditulis oleh Sayyidina Anas Ibn Malik.

Terdahulu, Tunku Idris juga memuat naik ayat berbentuk pertanyaan dalam media sosialnya sambil mengepilkan tangkap layar IGS Kartini tersebut bersama.

“Memang keluarga dia ini semua jenis macam ni?”tulisnya.

Dalam pada itu, Noor Kartini juga memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kurang lebih pukul 5.30 petang tadi berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Istana Negeri Johor berkenaan isu tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.