HANRUH perkukuh hubungan ATM, masyarakat - Utusan Malaysia

HANRUH perkukuh hubungan ATM, masyarakat

ISMAIL SABRI Yaakob diberi penerangan mengenai pembinaan jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Peranan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bukan setakat di medan peperangan menentang musuh.

Sebaliknya, peranan dan sumbangan mereka semakin ditagih oleh masyarakat terutama ketika mereka berdepan pelbagai musibah.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, anggota ATM sememangnya sentiasa bersiap siaga membantu masyarakat dan usaha itu diperkukuh melalui kerjasama awam-tentera demi pertahanan menyeluruh (HANRUH).

Katanya, melalui konsep HANRUH, anggota tentera banyak menyertai tugas membantu penduduk yang ditimpa bencana seperti banjir dan ribut yang mengakibatkan pemindahan, kerosakan rumah dan kemudahan awam, manakala terkini tugas penting apabila pihak berkuasa beruniform itu berada di barisan hadapan membantu kerajaan mengawal dan mencegah penularan wabak pandemik Covid-19.

Menurutnya, terkini di Pahang, anggota tentera dari Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) menyiapkan sebuah jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat di Jerantut pada 28 April lalu.

“Jambatan besi yang hanya disempurnakan pembinaan dalam tempoh 17 jam melibatkan seramai dua orang pegawai dan 58 anggota dari skuadron ke-9 RAJD dan ke-11 RAJD (Mekanize) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kementerian Pertahanan cakna dengan kesulitan perhubungan kira-kira 1,000 orang penduduk keluar ke bandar Jerantut berikutan kerosakan jambatan asal, iaitu separa konkrit di Sungai Beletir berikutan musim pejur dan banjir melanda pada awal tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat dekat sini semalam.

Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain; Panglima Medan Darat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Jurutera, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir. Chapiti Redzwan.

Menurut Ismail Sabri, pembinaan jambatan itu akan membantu menghubungkan semula jalan utama dengan penduduk di tiga kampung terbabit dapat memunggah hasil kampung ke bandar Jerantut dan kemudahan bagi pelajar ke sekolah di Felda Padang Piol.

“Jambatan ini berukuran 24 meter panjang dan lima meter lebar merupakan (jambatan) pegangan Tentera Darat dipasang sebagai sementara dan akan dibuka semula selepas jabatan kekal dibina oleh pihak JKR.

“Sebelum ini, Tentera Darat telah melakukan usaha yang sama pemasangan jambatan besi di Kampung Lechar (Raub) dan Kampung Belimbing (Maran) bagi membantu jalan perhubungan terputus akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, pembinaan kemudahan tersebut menyelesaikan kesulitan penduduk berulang alik ke bandar dan kawasan berdekatan.

“Kerajaan negeri mengemukakan permohonan pembinaan jambatan besi ini kepada Menteri Kanan Pertahanan (Ismail Sabri) setelah jambatan lama separa konkrit rosak akibat banjir musim pejur dan penduduk berdepan kesulitan untuk keluar,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri merancang membina jambatan kekal dengan kos kira-kira RM700,000 memandangkan tiga perkampungan Melayu di pinggir Sungai Pahang itu berpotensi membangun dalam sektor pertanian dan pelancongan.

 

PENDUDUK bergotong-royong membina jambatan sementara menggunakan batang kelapa dan kayu hutan menggantikan jambatan lama yang rosak dan mendap akibat banjir pada 10 April lalu. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

Dalam pada itu, penduduk di tiga kampung terlibat bersyukur menerima jambatan baharu berkonsep struktur ‘Compact Bailey 100’ yang dibina oleh anggota RAJD.

Tiga kampung terbabit ialah Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Mansok/Sungai Putat, Mohamad Saidi Din, 56, berkata, pembinaan jambatan itu dapat menyelesaikan masalah perhubungan antara tiga buah kampung di bawah pengurusan JKKK tersebut ke bandar Jerantut dan Felda Padang Piol.

“Kerosakan dan struktur bawah jambatan separa konkrit mendap akibat banjir sebelum ini menyebabkan kegiatan harian penduduk tergendala malahan mereka terpaksa melalui laluan yang jauh di kampung berdekatan untuk memunggah hasil kampung dan pelajar ke sekolah.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan, kerajaan negeri, Pejabat Daerah Jerantut yang cukup endah dengan masalah perhubungan penduduk di sini dengan membina jambatan besi bagi kemudahan berulang alik ke bandar dan sekolah berdekatan,” katanya.

Suri rumah, Amira Yusoff, 29, turut bersyukur dan berterima kasih kepada RAJD kerana pembinaan jambatan itu memberi keselesaan kepada penduduk yang sebelum ini menggunakan jambatan daripada batang kelapa dan kayu hutan.

“Hari ini saya sempat ke bandar Jerantut untuk berbelanja pakaian hari raya dan barang keperluan membuat kuih merentasi jambatan ini dengan selamat malah perjalanan ke bandar pun lebih dekat,” katanya.

Ahli JKKK Sungai Putat, Mohd. Zain Awang, 50, pula berkata, pembinaan jambatan besi itu membantu penduduk berulang-alik dalam membuat persediaan Hari Raya dan memunggah hasil pertanian untuk dipasarkan.

“Walau bagaimanapun, kita berharap kerajaan dapat membina jambatan konkrit dua hala pada masa akan datang memandangkan jumlah pertambahan penduduk semakin ramai termasuk perluasan kawasan tanaman sawit, getah dan sayur-sayuran sebagai sumber pendapatan di sini,” katanya.

Pengerusi JKKK Labu, mukim Tembeling Tengah, Hamdan Ismail, 53, pula berkata, pembinaan jambatan itu bukti kerajaan negeri dan Kementerian Pertahanan mengambil berat masalah penduduk.

“Dengan siap jambatan besi ini, ia memudahkan penduduk berurusan di luar di samping agensi kerajaan pula datang memberikan pelbagai perkhidmatan untuk menjana kemajuan kampung berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya