Isu buli siber dalam media sosial ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan umum, tapi golongan artis juga tidak terlepas. Maklum sajalah, setiap pergerakan mereka diperhatikan. Silap langkah dan pertuturan, tular satu dunia.
Pelakon terkenal, Elfira Loy antara bintang tempatan yang pernah dikecam hebat oleh jabatan netizen. Usah dibangkit dan mengimbas episod aib, namun atas kapasiti pengaruh media sosial, Elfira menyambut baik Kempen Anti Buli Siber oleh Himaya Premium Hijab Medical Mask.
“Dulu saya tak pernah tahu pun orang ada mengata belakang saya. Tapi sekarang, mengutuk atau membuli dengan kritikan tidak menyenangkan menerusi media sosial, seakan-akan sudah menjadi norma baharu.
“Jadi kempen ini adalah satu perkara yang bagus untuk diketengahkan kepada umum supaya khayalak ramai ada kesedaran dan tahu bagaimana caranya untuk mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Saya juga difahamkan bahawa segelintir pembuli siber ini mempunyai masalah gangguan mental. Bukan lagi tabiat tetapi juga penyakit,” jelasnya yang mempunyai jumlah pengikut 5.1 juta orang di Instagram.
Menyelami sanubari pelakon filem Rentap itu, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri yang dilantik sebagai duta kempen itu berkata, dia lebih suka memberi kefahaman dan menyelesaikan sesuatu perkara dengan sebaik-baiknya agar tidak tergantung.
Tetapi jika individu tersebut ada niat menjatuhkan dan memalukan, Elfira senang untuk terus kunci mulut kerana sedar tiada gunanya menjawab kecaman itu.
“Jadi, saya lebih suka mematikan perbalahan itu dengan tidak memberikan sebarang komen balasan pun, supaya hal itu tidak berpanjangan.
“Saya juga percaya sebarang bentuk cerita ke arah gosip atau komen negatif tidak akan kekal, lama-kelamaan pasti orang akan lupa juga. Justeru, saya hanya mampu bersabar sahaja dalam tempoh seminggu dua,” tuturnya.
Mengakui dirinya seperti manusia lain, amarah yang terbit perlulah disulami dengan kata-kata yang boleh meredakan api kemarahan.
Barangkali tidak semudah kata kalau belum terpalit dengan diri sendiri bukan?
Pun begitu, pembabitan 15 tahun berkecimpung dalam dunia glamor pastinya telah mendewasakan ibu kepada seorang cahaya mata itu. Seperti peribahasa, sudah makan garam.
“Alhamdulillah saya bersyukur sebab ada orang sekeliling yang sangat positif.
“Kalau saya rasa marah saja, mesti akan ada salah seorang daripada anggota keluarga akan cuba redakan dan tenangkan saya. Jadi tidaklah ianya ibarat menyemarakkan lagi api yang sedang membara.
“Siapa saja yang suka bila dirinya marah-marah. Difikirkan semula takkan ada hasil. Diamkan diri dan beristighfar,” akhirinya.










