Pendirian Syafinaz Selamat - Utusan Malaysia

Pendirian Syafinaz Selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA mulanya dia juga tidak melihat keperluan untuk menjadi salah seorang pengguna laman sosial. Namun siapa sangka perubahan masa dan kepelbagaian khidmat yang ditawarkan aplikasi itu kini sedikit sebanyak mula membuka ruang untuk dirinya turut aktif.

Mengakui agak ketinggalan, namun ujar penyanyi, guru vokal dan juri program realiti, Datuk Syafinaz Selamat sentiasa terbuka untuk mempelajari satu lagi ilmu baharu.

Bagaimanapun tidak mahu terlalu kemaruk dengan teknologi ini, katanya ada batas yang perlu dipatuhinya dalam mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Pada mulanya saya tidak melihat ia sebagai satu keperluan tetapi lama-kelamaan dan atas nasihat rakan-rakan juga saya akhirnya cuba belajar menggunakan media sosial. Kita perlu akur laman sosial adalah salah satu cabang untuk mengembangkan lagi bakat seni yang dimiliki.

“Namun faktor umur kan, kadang sudah sampai rumah baru teringat nak muat naik gambar dan sebagainya. Namun bagi saya, untuk belajar satu lagi ilmu baharu bukanlah sesuatu yang memalukan.

“Laman sosial adalah cara yang digunakan semua orang kini. Malah sekarang saya juga banyak mendapatkan bantuan pelajar dalam memahami penggunaan laman sosial.

“Tetapi memandangkan saya cerewet dan sangat berhati-hati, laman sosial saya kini diuruskan sendiri sahaja,”katanya.

Masih berkisar mengenai laman sosial, ada trend terkini yang tidak dinafikan Syafinaz sendiri sebagai suatu perubahan besar dalam industri seni. Melihat ramai penyanyi baharu yang muncul melalui populariti yang diraih secara maya, jelasnya ada yang menyedihkan. Bercakap melalui jiwa pendidik, ini nasihatnya.

“Sedih bila kita buat ini semua adalah kerana mahu memartabatkan nilai seni.

“Ramai penyanyi yang popular kerana kemampuan menarik perhatian di laman sosial sedangkan ada yang lain terpaksa berhempas pulas. Bukan menidakkan rezeki tapi pada saya kamu perlu bekerja keras untuk sesuatu yang dimahukan.

“Lebih menyedihkan bagaimana bila ada yang sudah mempunyai peluang tetapi tidak menggunakannya dengan baik. Sayang bila popular di YouTube dan Instagram serta sudah ada duit yang banyak tetapi tidak dilaburkan untuk asah skil nyanyian. Saya mengeluarkan duit sendiri untuk belajar opera di luar negara. Kita perlu berlaku adil kepada peminat, janganlah menipu mereka.

“Skil nyanyian adalah sesuatu yang boleh diasah, jadi kenapa tidak memperbaikinya. Kita manusia tidak lari dari membuat kesilapan tetapi kalau tidak memperbaiki kesilapan itu adalah satu kesilapan besar sebab dalam pekerjaan kita perlu ikhlas,” katanya.

Sentiasa jujur dalam menyampaikan penilaiannya terhadap penyanyi muda kini, ketika ini bukan sesuatu yang mengejutkan untuk wanita berusia 48 tahun ini mengakui industri seni kita akan terus ketinggalan. Realiti penyanyi yang hadir kini hanya disogokkan dengan populariti dan keuntungan semata-mata akan terus melahirkan pemain industri yang sama.

“Saya sokong sekiranya ada syarikat rakaman yang memperketatkan syarat untuk menjadi penyanyi.

Ini tidak, apa yang dilihat sesetengah pihak, berapa banyak pengikutnya di laman sosial, selain memikirkan kemampuannya untuk tular sahaja. Ini bukan cara yang betul.

“Kita kena faham progres bergantung kepada individu. Ada orang akan ambil masa sehingga 10 tahun, ada juga yang singkat. Tetapi ilmu dan persiapan itu adalah sesuatu yang sangat penting buat seorang penyanyi.

“Apa yang saya tidak faham bagaimana netizen yang selalu merungut tentang kualiti penyanyi kita namun dalam masa yang sama terus memberi sokongan.

“Sekali gus akan menyebabkan industri kita berada dalam ekosistem yang sama sahaja sampai bila-bila,” katanya yang turut membandingkan kebangkitan muzik K-pop kini yang berjaya menakluki dunia melalui kemampuan mereka melahirkan ramai penyanyi yang baik.

Persis Salju penawar rindu menyanyi

Muncul dengan lagu baharu berjudul Persis Salju, ternyata puluhan tahun bergelar seorang anak seni, ada yang sudah melupakan status penyanyi yang dimilikinya. Tidak sedih jika ada yang mengenali sebagai juri mahupun seorang guru vokal sahaja, jelasnya ini adalah kenyataan yang perlu diterima.

“Saya tidak kecewa kalau ada yang lupa saya seorang penyanyi, mungkin bagi peminat muda mereka hanya nampak saya sebagai guru vokal dan juri sahaja. Bukan salah mereka sebab saya masih menyanyi cuma ada persembahan yang dijayakan adalah majlis tertutup. Jadi tidak semua boleh menonton.

“Malah saya juga tahu ada yang mengatakan saya tidak boleh menyanyi dan hanya tahu mengkritik sahaja. Jadi bila ada peluang ini bukanlah sekadar mahu buktikan saya sebagai penyanyi. Tetapi dalam masa yang sama lagu Persis Salju ini juga adalah cara saya untuk melepas rindu selain menunaikan janji kepada mereka yang selama ini sering bertanyakan mengenai lagu baharu saya,” kata anak seni kelahiran Pontian, Johor ini.

Terus mengekalkan sikap cerewet yang dimilikinya, sehingga kini bukan kepuasan orang lain yang menjadi kayu pengukur setiap pilihan yang dibuat. Sebagai seorang yang berpengalaman, apa yang ditanam dalam setiap produknya adalah sikap tanggungjawab.

“Saya seorang yang cerewet dan sangat kompleks dalam melakukan apa kerja sekali pun. Sebagai seorang pensyarah vokal, saya perlu hasilkan sesuatu yang terbaik seperti apa yang diajarkan kepada anak murid. Tidak bolehlah sekadar tangkap muat ,” ujar pensyarah vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mengakui Persis Salju sendiri mempunyai elemen teknikal yang mungkin agak sukar untuk disampaikan namun dia yakin ada golongan pendengar yang masih menyukai genre seperti ini.
“Sebagai artis adakalanya kita lakukan kerana seni bukan kerana orang semata-mata.

“Jujurnya saya tahu lagu ini sangat susah. Tapi saya rasa pada zaman sekarang orang suka cabaran dan dan lagu ini akan mencabar penyanyi lain.

“Saya faham memang kalau kita dengar sekarang ini kebanyakan lagu yang popular adalah lagu-lagu yang mudah dinyanyikan .

“Malah saya juga pada mulanya tertanya juga bagaimana sesebuah lagu seperti itu boleh diterima dengan baik. Tetapi kenyataan anak-anak muda kini menyukai lagu seperti itu.

“Namun kita jangan lupa ada juga kalangan pendengar yang masih suka akan lagu yang mempunyai elemen teknikal. Memang saya juga suka dengar lagu yang mudah tetapi pada kebiasaanya saya tidak melihat lagu seperti ini mempunyai cabaran untuk dinyanyikan dan saya yakin masih ada golongan seperti saya,” katanya.

Persis Salju ciptaan Ku Sham, lirik oleh Zaira sudah dirakamkan 10 tahun yang lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×