AR-RAUDHAH
Sering kali kita mendengar perkataan takwa, baik melalui ruangan komen di laman media sosial, ceramah agama atau dalam pergaulan kita dengan teman yang mengingatkan kita untuk bertakwa.
Perkataan ini mudah disebut namun sangat berat dilaksana dan diaplikasikan. Takwa adalah wasiat Allah kepada seluruh hamba-Nya dan tiadalah Allah berwasiat takwa melainkan meletakkan kepercayaan kepada hamba tersebut agar dapat menunaikannnya.
Kebiasaannya wasiat akan ditujukan kepada mereka yang dipercayai akan menjalankannya dan mampu untuk menyempurnakannya. Oleh kerana itu, Takwa adalah amanah dari Allah kepada seluruh hamba-Nya.
Setiap Jumaat, khatib Jumaat akan mengingatkan akan takwa sebagai rukun khutbah, termasuklah dalam khutbah dua hari raya, gerhana, dan lain-lain. Ia menjadi ingatan selalu bagi hamba agar tidak alpa dan lalai.
Takwa memiliki definisi yang pelbagai pada bahasa namun mempunyai maksud yang sama, iaitu dua cabang: melakukan perintah Allah kerana Allah dan mencegah diri dari larangan Allah demi Allah SWT semata-mata.
Puasa ibadah penting yang membawa kepada takwa. Perkara demikian telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran. Oleh kerana itu, setiap muslim yang berpuasa hendaklah meraih ketakwaan yang menjadi tujuan dari menjalani ibadah tersebut.
CIRI ORANG BERTAKWA
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (ali-‘Imran: 133)
Tanda-tanda orang bertakwa:
Pertama, orang yang mendermakan harta saat senang dan susah. Mudah untuk bersedekah ketika senang, namun sukar bila susah. Lalu apakah maksud bersedekah bila susah?
Bersedekah saat senang sebagai tanda syukur nikmat, bersedekah saat susah sebagai tanda harapan agar diangkatkan segala kesusahan.
Antara faedah bersedekah ialah; sedekah itu akan meredakan murka Allah dan menjauhkan seseorang daripada mati dalam keadaan su’ul khatimah (penghujung yang tidak baik) dan dengan bersedekah akan menjadi sebab orang yang sakit akan diberi kesembuhan.
Kedua, orang yang menahan marah. Bukanlah menjadi satu kesalahan bagi seseorang memiliki sifat marah, kerana itu sifat semula jadi manusia. Namun yang dituntut adalah menggunakan kemarahan mesti tepat pada tempatnya. Telah diriwayatkan tentang satu orang yang mencaci Saidina Abu Bakar di hadapan Rasulullah SAW dan Rasululah tersenyum sementara Saidina Abu Bakar diam menahan marah.
Namun, apabila orang tadi melampau dalam kata-katanya maka Saidina Abu Bakar membalas kata-kata lelaki tersebut. Lalu Rasulullah SAW berdiri dan meninggalkan tempat itu kemudian dikejar oleh Saidina Abu Bakar untuk menanyakan sebab Baginda meninggalkan tempat tersebut.
Baginda menjawab, “Saat engkau diam di situ ada yang membela engkau (dari kalangan malaikat) dan ketika engkau membalasnya maka syaitan datang, dan aku tidak akan duduk di suatu tempat di mana syaitan berada.
Ketiga: memaafkan orang lain. Memaafkan bererti melupakan kesalahan orang lain. Sungguh perkara ini tidak mudah, namun, ia akan menjadi mudah andai seseorang itu apabila hendak memaafkan tidak melihat betapa besar kesalahan orang kepadanya, akan tetapi melihat betapa besar kelebihan yang kita dapat dari Allah apabila kita memaafkan orang lain.
Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang itu memberi maaf melainkan ia akan bertambah mulia. (Riwayat Muslim)
Keempat, melakukan ihsan. Melakukan ihsan bererti bersikap tekun dalam amalan dengan cara yang terbaik. Ini perlu diaplikasi sama ada dalam ibadah, pergaulan dan akhlak.
Bukanlah perbuatan ihsan itu dilakukan terhadap orang yang berbuat baik kepada kita sahaja namun kepada orang yang berbuat jahat juga.
Tiadalah balasan kepada orang yang berbuat buruk kepada seseorang yang lebih baik daripada membalas dengan ihsan kepadanya. Kerana dengan itu, dia telah meneladani sifat Rasulullah SAW yang selalu membalas keburukan dengan kebaikan.
Seorang Badwi pernah meminta sedekah dengan cara menarik selendang di atas bahu Nabi sehingga memerahi kulit leher Baginda. Nabi bersabda: “Bukankah perbuatanmu ini boleh menghalang engkau untuk diberi? Badwi tadi berkata: “Yang aku tahu tentang sifatmu adalah engkau tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan malah dengan kebaikan”.
Kelima, istighfar dan bertaubat kepada Allah apabila tergelincir berbuat dosa. Di antara rahmat Allah adalah membuka peluang kepada orang yang berdosa untuk bertaubat kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: Wahai sekalian manusia, beristighfarlah dan bertaubat kepada Allah, kerana sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat setiap hari sebanyak 70 kali. (Riwayat Bukhari).

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










