Keberanian Valentina Tereshkova takluk angkasa lepas - Utusan Malaysia

Keberanian Valentina Tereshkova takluk angkasa lepas

ANGKASAWAN Valentina Tereshkova berada dalam simulator kapal angkasa Vostok dalam satu sesi latihan pada Januari 1964. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jangan pandang wanita sebelah mata. Di sebalik kelembutan dan keayuan wanita, tersemat cita-cita yang tinggi untuk setanding dengan kemampuan lelaki.

Mungkin nama-nama angkasawan seperti Yuri Gagarin, Neil Amstrong dan Alexei Leonov sudah biasa ditonjolkan.

Namun siapa sangka Valentina Tereshkova merupakan wanita pertama ke angkasa lepas.

Wanita dari Soviet Union mengembara ke angkasa lepas pada usia 26 tahun sekali gus mencatatkan sejarah dunia dalam bidang angkasa lepas yang biasanya dimonopoli oleh kaum lelaki pada suatu ketika dahulu.

Tereshkova yang kini berusia 84 tahun, merupakan satu-satunya wanita yang mengembara secara solo ke angkasa lepas.

Siapa sangka, minat dan semangat Tereshkova terhadap aktiviti sukan payung terjun membawa beliau ke perhatian program angkasa Soviet.

Pada 1960-an, kerajaan Soviet berhasrat menghantar wanita ke angkasa lepas yang dilihat sebagai salah satu cara untuk mencapai ruang pertama sebelum Amerika Syarikat (AS).

Selepas berjaya menempuh latihan intensif selama 18 bulan termasuk 126 kali lompat payung terjun, latihan graviti dan juruterbang jet pejuang, akhirnya Tereshkova dipilih untuk mengembara ke angkasa lepas.

Angkasawan paling muda itu berlepas ke angkasa lepas menerusi roket Vostok 6 pada 16 Jun 1963. Beliau berjaya mengorbit di sekeliling Bumi sebanyak 48 kali dan menghabiskan masa lebih 70 jam di angkasa.

VALENTINA TERESHKOVA menjalani sesi latihan di kosmodrom Baikonur pada Jun 1963.– AFP

Misi angkasa lepas Thereshkova mengambil masa selama dua hari, 22 jam dan 50 minit.

Beliau dikatakan menghabiskan lebih banyak masa di angkasa lepas berbanding jumlah jam terbang semua angkasawan dalam program Merkury AS sehingga tarikh itu.

Setelah selesai misi tersebut, Tereshkova tidak mengembara semula ke angkasa lepas walaupun masih layak.

Tereshkova mengajar bakal angkasawan sehingga beliau bersara pada 1997.

Angkasawan yang juga dari Rusia, Svetlana Savitskaya merupakan wanita kedua mengembara ke angkasa pada 1982 dan juga wanita pertama berjalan di angkasa dua tahun kemudian.

AS menghantar angkasawan wanita pertama dari negara itu, Sally Ride ke angkasa pada 18 Jun 1983, kira-kira 20 tahun kemudian selepas Tereshkova.

Semangat Tereshkova menjadi batu loncatan kepada semua wanita untuk terus maju ke depan.

Malah, keberanian dan pencapaian Tereshkova tidak boleh dipandang remeh sama sekali dengan melihat kembali sejarah yang sudah tercipta.

INSPIRASI DARI YURI GAGARIN

Selepas Yuri Gagarin menjadi manusia pertama ke angkasa lepas pada tahun 1961, kerajaan Soviet berminat untuk menghantar wanita pula ke angkasa.

Tereshkova pada ketika itu menyertai program angkasa Soviet.

Meskipun Tereshkova tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai juruterbang, beliau diterima masuk program itu kerana berjaya melakukan 126 kali aksi lompatan payung terjun.

Ketika itu, angkasawan hanya perlu melakukan aksi lompat payung terjun dari kapsul mereka beberapa saat sebelum mendarat di tanah ketika pulang ke Bumi.

ANGKASAWAN, Yuri Gagarin bersama Valentina Tereshkova di Soviet Union pada tahun 1963. – AFP

CABARAN

Tereshkova bersama empat wanita lain menjalani latihan intensif selama 18 bulan.

Antara latihannya adalah perlu menjalani ujian mengetahui reaksinya ketika bersendirian untuk tempoh lama serta dalam keadaan graviti melampau dan sifar.

Daripada lima wanita tersebut, hanya Tereshkova yang berjaya ke angkasa.

Tereshkova dipilih menjadi juruterbang Vostok 6 manakala angkasawan, Valery Bykovsky pula menerbangkan Vostok 5. Ia merupakan dua misi penerbangan.

Vostok 5 dilancarkan pada 14 Jun 1963 dan dua hari kemudian Tereshkova berlepas ke angkasa.

Dua kapal angkasa melalui orbit berlainan dan berada pada perbezaan 5 kilometer (km) jarak antara satu sama lain, membolehkan kedua-dua angkasawan saling bertukar komunikasi ringkas.

Tereshkova berada di ruang angkasa lebih 70 jam malah berjaya mengorbit Bumi sebanyak 48 kali.

Pada 19 Jun 1963, pesawat Tereshkova memasuki semula atmosfera Bumi dan beliau berjaya melakukan aksi lompat payung terjun sejauh 20,000 kaki.

PENGLIBATAN POLITIK

Beliau belajar di Akademi Tentera Udara Zhukovsky.

Tereshkova merupakan lepasan jurusan kejuruteraan angkasawan dan meraih ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan.

Tereshkova merupakan ahli politik terkemuka di Parti Komunis Kesatuan Soviet.

Beliau memegang pelbagai jawatan termasuk menjadi anggota Presidium Soviet Tertinggi dari 1974 hingga 1989.

Beliau kekal aktif secara politik berikutan kejatuhan Kesatuan Soviet tetapi dua kali kalah dalam pilihan raya Duma Negara pada tahun 1995 dan 2003.

Tereshkova kemudian dipilih pada tahun 2008 untuknya parlimen daerah, Yaroslavl Oblast Duma.

Pada tahun 2011, dia terpilih menjadi Duma Negara mewakili anggota Rusia Bersatu parti dan dilantik semula pada tahun 2016.

PENGIKTIRAFAN

Tereshkova diberi penghormatan gelaran Wira Soviet Union, antara anugerah paling berprestij di Rusia.

Beliau juga menerima anugerah tertinggi Order of Lenin, Pingat Bintang Emas dan Pingat Emas Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

VALENTINA TERESHKOVA menerima anugerah daripada bekas presiden Rusia, Dmitry Medvedev dalam satu majlis di Kremlin, Moscow pada 2009. – AFP

KEHIDUPAN PERIBADI

Tereshkova berkahwin dengan angkasawan Andriyan Nikolayev pada 3 November 1963.

Pasangan itu dikurniakan anak perempuan bernama Elena yang merupakan anak pertama dilahirkan oleh ibu bapa yang pernah ke angkasa lepas.

Tereshkova dan Nikolayev kemudian bercerai pada 1980. Beliau kemudian berkahwin dengan seorang pakar bedah, Shaposhnikov.

LEGASI TERESHKOVA

Tereshkova masih aktif dalam komuniti angkasawan dan legasinya terkenal dalam segala-galanya dari bahan ilmiah hingga muzium.

Pada 2017, Muzium Sains London menganjurkan pameran ‘Valentina Tereshkova: Wanita Pertama di Angkasa’ yang meraikan sumbangan beliau menerusi artifak dan gambar.

Pada tahun yang sama, sebuah persembahan Broadway berjudul The Promised Her the Moon disiarkan.

Satu lagi persembahan diadakan pada 2017-2018 oleh Theater Unspeakable dikenali Moonshot turut memaparkan Tereshkova sebagai salah satu wataknya.

Stesen BBC juga menyiarkan dokumentari dikenali Cosmonaut: How Russia Won the Space Race.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×