Fazida wanita tunggal Hazmat BBP Rawang - Utusan Malaysia

Fazida wanita tunggal Hazmat BBP Rawang

NOOR FAZIDA TINA MOHAMAD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHEBATAN wanita kelahiran Ulu Kinta, Perak ini mengendalikan reptilia, ular tedung selar tidak perlu diperkatakan lagi.

Malah, keberanian Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Noor Fazida Tina Mohamad Noor, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat di Rawang itu pernah tular dalam media sosial apabila beliau menangkap ular tersebut dengan tangan di kawasan perindustrian Rawang, Selangor pada Julai 2019.

Menjadi satu-satunya wanita dalam Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), wanita berusia 40 tahun itu juga sebenarnya ialah Pegawai Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) di JBPM Selangor.

Namun, di Balai Bomba dan Penyelamat di Rawang, beliau wanita tunggal dalam Unit Hazmat.

Menceritakan lanjut, beliau adalah salah seorang daripada 16 anggota wanita JBPM yang mengikuti Kursus Asas Hazmat yang diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 2005.

 

NOOR Fazida Tina dibantu rakan setugas memakai sut Hazmat sebelum memulakan operasi.

Katanya, sebagai salah seorang daripada dua wanita yang mempunyai kepakaran mengendalikan unit khas bagi menangani tumpahan bahan kimia berbahaya dan menangani kebocoran radiasi di negeri ini, Noor Fazida berkata, ia bukan satu tugas perseorangan tetapi melibatkan kepercayaan dalam satu pasukan.

“Kursus asas Hazmat ini sendiri sangat berat dan saya bersama para peserta bukan sahaja perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal tetapi perlu belajar untuk mengenali dan menerima setiap ahli pasukan.

“Hanya saya sahaja wanita di Balai Bomba dan Penyelamat di Rawang dan mahu atau tidak, perasaan malu serta segan perlu diketepikan kerana ini merupakan kerjaya yang saya pilih dan ceburi selama 17 tahun.

“Jadi, saya perlu saling mempercayai rakan dalam pasukan ini demi kelancaran operasi,” katanya ketika ditemui di balai bomba tersebut baru-baru ini.

Menceritakan lanjut, ibu tunggal berketinggian 158 sentimeter yang mempunyai dua anak itu berkata, untuk memakai satu sut Hazmat bersama alat pernafasan dengan berat kira-kira 25 kilogram itu, ia tidak boleh dilakukan sendiri, sebaliknya rakan pasukan perlu saling membantu antara satu sama lain.

“Anda bayangkan, bagaimana kami mahu memakai sut seperti seorang angkasawan mahu ke bulan itu sendiri. Sut itu sendiri besar dan kita mahu tunduk memakai kasut pun agak sukar.

“Jadi, dalam situasi ini, buddy system sangat membantu iaitu apabila saya sudah mengenakan separuh sut itu, saya akan membantu rakan lain pula dan begitulah caranya sehingga selesai.

“Ketika dalam kursus, antara latihan yang perlu dilakukan ialah mengambil duit syiling 50 sen, 20 sen, 10 sen dan 5 sen dalam keadaan memakai sut Hazmat.

“Ia bukannya mudah terutama mengambil duit syiling 5 sen sebab saiznya yang nipis dan kecil tetapi perlu dilakukan kerana ketika dalam operasi sebenar, ada juga yang kami perlu memutar skru.

Bayangkan saja dalam sarung tangan sut yang besar itu, memang mencabar,” ceritanya.

Ketika negara berhadapan pandemik Covid-19, Unit Hazmat JBPM Selangor antara yang dipanggil dalam operasi nyah cemar rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China iaitu dalam Ops Wuhan I dan II sehingga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) 5 dan Noor Fazida menganggap penglibatannya dalam operasi tersebut sebagai satu pengalaman berharga.

Selain operasi pandemik Covid-19, Noor Fazida juga antara anggota Hazmat JBPM yang pernah terlibat dalam operasi bersepadu bersama pasukan Polis Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), selepas laporan awal mendedahkan bahan kimia yang digunakan untuk membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dikenal pasti sebagai Agen Saraf VX pada tahun 2017.

“Pandemik Covid-19 ini mengajar kita banyak perkara dan untuk Unit Hazmat JBPM Selangor sendiri, khidmat kami berterusan sehingga kini apabila turut bersama-sama membantu melakukan proses sanitasi sekolah, pejabat kerajaan, kawasan perumahan dan banyak lokasi lagi,” ujarnya.

PAKAR TANGKAP ULAR

WANITA ini sebenarnya sama seperti orang lain, yang menggeletar tangan saat mula-mula nampak ular di hadapan mata.

Malah, ketika Noor Fazida Tina Mohamad Noor dihubungi oleh Allahyarham Abu Zarin Hussin yang terkenal dengan gelaran ‘Wira Penyelamat’ berikutan kecekapannya mengendalikan kes ular berbisa untuk menyertai Skuad King Cobra (SKC), dia menolak.

Abu Zarin meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung pada tahun 2018.

“Pada masa itu, Allahyarham mempelawa saya menyertai SKC, nak kata takut tidak juga sebab saya sudah biasa terbabit dalam operasi menyelamat dan pernah juga tangkap ular biasa.

“Allahyarham ajak juga saya berkumpul di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai untuk menghasilkan modul asas pengendalian haiwan berbisa dan pada hari akhir kursus, dia panggil saya.

“Masa itu dia kata, nampak ular itu, dia suruh saya berdiri tegak dan jangan buat apa-apa pergerakan. Dia pesan, perhati ular itu betul-betul dan saat dia suruh saya meletakkan tangan pada bahagian atas kepala ular, tangan saya menggeletar,” katanya mengimbas kejadian pada 2015 itu.

NOOR FAZIDA sering melakukan latihan bersama king cobra bagi memastikan sentiasa mahir ketika berhadapan dengan reptilia berbisa itu.

Noor Fazida ialah satu-satunya anggota wanita dalam SKC dan berpengalaman menangkap ular jenis tedung selar, sawa, rusuk kerbau, sawa burung dan kapak berkata, sejak pulang daripada kursus tersebut, dia banyak membuat pembacaan dan belajar mengenai sifat dan karakter reptilia itu.

Malah, dia juga semakin popular selepas video aksinya menangkap ular tedung selar menggunakan tangan pada 2019 menjadi viral.

Katanya, dia tidak perasan detik itu dirakam oleh orang awam kerana pada masa itu, misinya adalah untuk menangkap reptilia tersebut dan hanya fokus untuk tugasan terbabit.

“Ketika menerima panggilan, saya bersama pasukan pergi ke lokasi kejadian dan sebaik sahaja mengetahui ia ular tedung selar, anggota meminta bantuan saya untuk menangkapnya.

“Saya memang tidak pandang orang keliling dan biasanya kalau operasi tangkap ular ini, penontonnya memang ramai. Biasanya kami akan suruh mereka duduk jauh. Zaman telefon bimbit dan internet, semua benda pantas tersebar,” katanya.

Ditanya adakah dia pernah dipatuk ular, Noor Fazida memberitahu, setakat ini belum ada tetapi haiwan itu pernah mencederakan tangan kirinya.

Kejadian berlaku pada 2018 iaitu pada waktu Maghrib ketika dia mahu memasukkannya ke dalam sangkar baru.

“Saya sendiri membela seekor ular tedung selar untuk tujuan mempelajari sifat dan karakternya. Pada waktu itu, saya mahu memindahkannya dan tiba-tiba saya tengok tangan kiri saya berdarah.

“Saya mengajak seorang anggota ke Hospital Sungai Buloh dan dalam perjalanan, saya menceritakan segala-gala yang berlaku kepada anggota itu kerana bimbang jika saya pitam atau pengsan.

Saya lihat jam pada masa itu sudah 15 minit dan Alhamdulillah tiada apa-apa perubahan berlaku kepada saya.

“Dalam tempoh 15 hingga 30 minit merupakan detik yang mencemaskan sekiranya seseorang itu dipatuk ular. Jadi, apabila saya lihat tiada apa-apa yang terjadi, saya tahu kulit tangan kiri saya hanya terguris namun berada di hospital untuk tujuan pemantauan,” ujarnya yang sudah melepaskan haiwan itu ke habitat asal.

Wanita ini bukan sahaja belajar mengenal spesies ular tetapi dia juga ambil tahu mengenai tindak balas haiwan itu sehingga proses perawatan jika dipatuk ular terbabit.

Sebelum mengakhiri perbualan, Noor Fazida turut menitip pesan terutama buat para pendaki gunung sekiranya berdepan momen bertembung dengan haiwan terbabit.

“Sifat ular ini sebenarnya pemalu dan kalau boleh, ia pun tak mahu berjumpa dengan kita tetapi apabila sudah bertembung, biasanya kepala ular ini akan tegak kerana ia berasa dirinya terancam.

“Pesan saya terutama kepada para pendaki, jika nampak timbunan daun pokok, jangan diusik kerana biasanya ada ular atau telurnya dalam timbunan itu.

“Jika terserempak, tenangkan diri dan jangan bergerak. Tunggu ular itu merendahkan kembali kepala dan berlalu, baru kita meneruskan perjalanan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.