LEBIH sedekad dalam industri, sudah banyak badai seni yang ditempuh wanita ini. Namun dia tegar berdiri, masih dalam acuan yang sama. Tidak berubah sifat dan ragam, dia kekal penuh santun.
Bagi Amyra Rosly, pengalaman 12 tahun dalam industri seni belum cukup memuaskan hatinya. Masih banyak yang harus dia belajar. Walaupun namanya kini dalam barisan wajah pilihan, namun dia tidak mahu mendabik dada.
Bakal muncul dengan drama baharu, Sabarlah Duhai Hati, Amyra tidak meletakkan harapan tinggi. Dia sudah memberi sebaik mungkin untuk mewarnai watak Fira. Apatah lagi, selepas enam tahun, dia kembali ke slot Akasia.
“Ramai yang tidak sabar sebenarnya menunggu Sabarlah Duhai Hati ini. Kalau kata gementar tidaklah, saya sudah berikan yang termampu. Akasia ketika bulan Ramadan memang panas, semua menunggu.
“Watak Fira ini unik. Dia tegas, garang dan suka melawan. Degil pun ada juga. Tetapi bila berkahwin nanti, sifat kewanitaannya akan terserlah. Kalau hendak cakap soal cabaran, mestilah ada,” katanya membuka bicara.
Bergandingan dengan Saharul Ridzwan dan Izzue Islam, Amyra cukup menghormati mereka. Apatah lagi syarat tidak bersentuhan yang diamalkan dua pelakon itu banyak mengajar Amyra teknik lakonan baharu.
Mungkin kedengaran janggal untuk segelintir kita apabila pasangan suami isteri tidak berpegangan tangan atau bermesra, namun bagi Amyra ada cara dan teknik yang mampu mewujudkan romantis itu.
“Saya bertanya kepada Saharul kalau dia ada syarat atau batas, dia bagitahu tiada sentuhan. Jadi saya sahut cabaran itu. Kalau baca skrip memang banyak adegan romantis, pening juga macam mana nak buat kan.
“Tapi kita banyak guna camera trick dan teknik lakonan yang berbeza untuk mewujudkan babak suami isteri itu. Ada satu scene dia terjatuh. Macam mana saya nak angkat tanpa sentuhan? Kena tunggu,” selorohnya.
Hormat dengan pendirian dua pelakon lelaki itu, Amyra sedar seorang pelakon atau selebriti tidak perlu bersentuhan untuk melakonkan watak mesra. Malah dia akui, untuk menjadi muslimah dan berlakon itu bukan satu masalah.
“Saya cukup respek dengan Saharul dan Izzue. Mungkin sebab itu, rezeki mereka sangat murah. Kita dapat lihat bagaimana mereka menjaga batas pergaulan dan sentuhan dalam lakonan.
“Malah saya suka dengan kehidupan mereka. Tetap di landasan Islam walaupun bergelar pelakon. Heliza Helmi juga mampu kekal dalam imej muslimah walaupun bergelar penyanyi,” katanya.
Raya sederhana
Ketika saya menghubungi Amyra, dia sedang dalam perjalanan membeli belah untuk persiapan raya. Alang-alang berbual, saya bertanya juga raya tahun ini berapa ribu ringgit dia habiskan.
Tergelak besar lantas dia menjawab: “Kami raya sederhana sahaja. Seperti tahun-tahun sebelum ini. Apa yang penting adalah memori Aidilfitri itu sendiri. Itu yang saya terapkan kepada anak-anak.”
Tidak mahu berbelanja besar, Syawal yang dirai tahun ini lebih untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan terutama yang dekat. Dengan keadaan pandemik, lebih baik mereka beraya dalam norma baharu.
“Alhamdulillah, saya beruntung kerana keluarga sendiri dan mentua duduk dekat-dekat sahaja. Jadi dapatlah beraya dengan kedua-dua keluarga. Raya tahun ini juga sederhana sahaja.
“Seperti kebiasaan, saya akan bergambar dengan keluarga pada raya pertama atau malam raya sebagai kenang-kenangan. Itu adalah rutin tahunan keluarga saya. Malah, untuk ziarah pun kami pilih yang terdekat sahaja,” katanya.










