Terdetik hati ini untuk berkongsi tips keibubapaan buat semua. Bukan menganggap diri ini hebat atau serba tahu tetapi ingin berkongsi ilmu didikan anak melalui kaedah saintifik dan telah pun terbukti dalam melahirkan generasi berani, jiwa jitu dan daya saing tinggi.
Segalanya harus bermula dari kelahiran bayi. Mendidik anak bukanlah satu kerja mudah. Sebagai ibu bapa, kita haruslah melengkapkan diri dengan ilmu dalam mendidik anak kita.
Sebelum berkahwin saya sudah impikan untuk memiliki anak ramai. Jiwa ini memang sudah terpahat kepada kanak kanak.
Alhamdulillah kini saya memiliki enam orang anak dan berusaha memberikan yang terbaik buat semua.
Pengalaman pertama menjadi bapa adalah satu memori tidak dapat dilupakan. Saya begitu teruja melihat si bayi menangis. Siapa sangka anak yang kecil ini mampu mengubah segala-galanya.
Namun diri ini sudah bersedia. Mungkin bidang kedoktoran membantu dalam memahami perkembangan otak dan minda kanak-kanak.
Segalanya dilakukan bersama isteri Datin Dr. Halina Mohd Yunos.
Mandi, tukar lampin, menyusu, dodoi anak hingga tidur dilakukan dengan penuh semangat.
Sekurang-kurangnya dapat membantu isteri untuk berehat. Amat penting untuk ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik anak bersama.
Kajian menunjukkan anak akan lebih positif dan stabil sekiranya mendapat sokongan penuh daripada ibu dan bapa .
Umur anak dari lahir enam tahun adalah waktu paling kritikal dalam mendidik anak. Ia dipanggil waktu keemasan di mana setiap yang diajar akan diserap sepenuhnya.
Otak juga berkembang sehingga 90 peratus dan amat penting untuk ibu bapa mendedahkan anak kepada muzik, bahasa asing atau apa jua bentuk pembelajaran.
Segala informasi akan diserap seperti span. Di sini saya ingin berkongsi lima tips bagaimana melengkapkan ilmu keibubapaan dalam mendidik anak-anak.
1. Pengalaman ibu bapa kita sendiri.
Banyakkan mendapat ilmu daripada ibu bapa yang mendidik kita sebelum ini. Sekiranya kita berjaya sudah pasti kita ingin tahu bagaimana mereka mendidik kita sejak kecil.
Apakah teknik yang mereka lakukan? Adakah kita didedahkan kepada pelbagai aktiviti sejak kecil?
Setiap anak yang berjaya sudah pastinya datang dari didikan istimewa.Kupas dan kaji apakah resipi kejayaan dipraktikkan itu. Yang baik praktikkan, yang kurang ditambahkan dalam didikan anak-anak kita.
Ayah memastikan kami menulis cita-cita dan ditampal di sebelah katil dan menyebutnya 10 kali sehari. Impian saya adalah melihat semua anak menjadi doktor, Insya-Allah.
Ayah saya kurang berkata I Love You tetapi saya pastikan untuk mengucapkan Saya sayang kepada anak-anak, sekurang kurangnya 10 kali sehari. Pelukkan manja dan kasih sayang saya titikberatkan dalam mendidik anak anak.
2. Memahami Perkembangan Minda Anak
Sebagai ibu bapa amat penting kita memahami perkembangan minda anak.
Perkembangan bayi dari peringkat merangkak, bertatih, berjalan, berat badan yang sesuai, tutur kata dan sebagainya, dapat membantu ibu bapa mengawasi tumbesaran anak.
Banyak bertanya kepada doktor jika ada sebarang kemusykilan, agar segala masalah dapat segera di atasi.
3. Buku My Way Of Parenting
Banyak buku pendidikan awal boleh dibaca termasuk karya saya, My Way Of Parenting.
Cuba praktikkan penggunaan kad imbas dan tummytime dalam mempercepatkan proses tumbesaran minda anak. Banyakkan berinteraktif dan berkomunikasi dengan mereka.
4. Mengkaji kejayaan keluarga yang berjaya
Saya sering memberi penekanan terhadap keluarga yang mampu melahirkan anak anak berjaya. Apakah resipi dan teknik dilakukan sehingga anak itu berjaya dengan cemerlang?
Analisis yang sering berakhir dengan tindakan ibu bapa yang menekankan disiplin dan pembelajaran terhadap anak sejak dari kecil lagi.
5. Ibu bapa lebih mengetahui
Setiap anak mempunyai personaliti berbeza. Ada yang pemalu, pendiam dan terlebih aktif.
Sebagai ibu bapa, kitalah menjaga anak sejak lahir. Kitalah menukar lampin, menyusu, mandi dan pelbagai lagi. Kitalah yang memahami setiap ragam.
Ikut naluri dalam mendidik anak untuk memberi yang terbaik.
Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik buat anak. Untuk memberikan yang terbaik kita harus berilmu.
Ibu bapa harus memainkan peranan dalam mendidik anak. Ibu bapa harus mempunyai matlamat sama supaya anak tidak keliru.
Disiplin, kasih sayang, komitmen yang tinggi tanpa mengenal erti penat, sokongan emosi dan berkomunikasi adalah antara ciri-ciri penting dalam menghasilkan anak yang stabil, bahagia dan cemerlang dunia akhirat.









