Meroyan di media sosial petanda jiwa kacau - Utusan Malaysia

Meroyan di media sosial petanda jiwa kacau

Konsep THINK membantu mengelakkan individu meluahkan perasaan di media sosial secara membuta tuli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau buka sahaja media sosial ketika ini banyak perkara negatif dapat dilihat. Perbalahan, kata-kata kesat malah cacian bagaikan sudah menjadi lumrah. Mengapa makin ramai netizen yang sebegini? SERI dapatkan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Daniella Mokhtar berhubung isu ini.

Dr. Daniella Mokhtar.

SERI: Dari segi psikologi adakah meroyan dalam media sosial tanda jiwa kacau?
JAWAPAN: Meroyan lebih merujuk kepada postpartum depression. Namun begitu, penggunaan ‘meroyan’ dalam konteks ini mungkin bermaksud ‘kemarahan’ atau ‘kebencian’ disebarkan melalui platform sosial media. Sebenarnya tingkah laku ini dikenali sebagai buli siber.

Individu ini mungkin hidup dengan masalah kesihatan mental yang berkaitan dengan tingkah laku mereka. Contohnya termasuk masalah tingkah laku agresif, hyperaktif atau impulsif serta penyalahgunaan bahan.

Pembuli siber selalunya mempunyai ciri-ciri peribadi menyerupai narcissist dan psychopath dan cenderung untuk mempunyai tahap empati rendah terhadap orang lain di mana tingkah laku memburuk-burukkan orang lain digunakan sebagai cara untuk meningkatkan rasa kekuatan atau nilai mereka.

Namun begitu, tidak semua individu yang berkelakuan seperti ini, mempunyai masalah kesihatan mental. Individu ini juga boleh berada dalam kalangan yang mengalami kesunyian atau rasa diabaikan.
Mereka mungkin menganggap aktiviti di sosial media sebagai cara melampiaskan atau meluahkan kemarahan mereka pada masyarakat.

Faktor individu gemarkan perhatian?
Daripada perspektif psikologi, kemarahan dan kegiatan membuli di media sosial, berpunca daripada pelbagai perkara.

Antaranya, individu tersebut mempunyai masalah tersendiri, perasaan cemburu melampau, perasaan bosan ataupun lawak jenaka yang disalahguna di platform media sosial untuk ‘membahan’ suatu isu atau seseorang.

Kebanyakan orang cenderung ‘meluahkan’ perasaan tidak berpuas hati atau marah di sosial media. Ada yang sengaja menyerang seseorang secara terbuka ataupun menggunakan sindiran yang sebagai tanda meluahkan perasaan ataupun sebagai cara menangani stres.
Namun begitu, sama seperti yang diulas sebelum ini, tidak semua individu yang berlakuan seperti ini mempunyai masalah kesihatan mental.

Apakah elak luah perasaan membuta tuli di media sosial?
Belajar untuk mengawal diri dan emosi. Manusia akan bertindak tidak rasional apabila berada dalam keadaan emosi yang sangat marah. Namun, mereka akan mula menyesal apabila perasaan kembali tenang dan mereka sudah boleh berfikir secara rasional. Amalkan konsep THINK:

T: True
H: Helpful
I: Inspiring
N: Necessary
K: Kind

Semudah menarik nafas dengan dalam, sebelum meluahkan perasaan marah di sosial media. Berhenti seketika dan cuba lihat daripada perspektif orang yang akan bakal membaca muatnaik anda seperti rakan, keluarga atau majikan.

Dapatkan khidmat nasihat ahli psikologi atau kaunselor jika anda mempunyai masalah yang berat, ataupun tidak tahu cara untuk mengawal kemarahan anda.

Kini, ada pelbagai platform yang boleh didapati secara atas talian. Sebagai contoh, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM ada menyediakan khidmat perundingan dan sesi kaunseling (Facebook: @UKMPKPK)

Bagaimana peranan rakan dalam menangani hal ini?
Semestinya rakan memainkan peranan yang penting membantu menangani hal ini. Jika tahu rakan anda berpotensi meluahkan marah di media sosial, bawa berbincang dan cuba nasihat.

Bukan menggalakkan lagi perbuatan tersebut. Bukan sahaja rakan, tetapi ahli keluarga mahupun orang ramai boleh bersama-sama menggunakan cara yang baik untuk menangani hal ini. Orang ramai juga seharusnya tidak menggalakkan lagi posting yang bersifat ‘meroyan’ dan sekiranya tiada yang memberi komen atau reaksi, pasti kemarahan itu boleh terhenti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×