KEJAYAAN yang diukir penyanyi bersuara emas, Datuk Nash adalah sesuatu yang harus dibanggakan dan dikongsi dengan generasi muda. Pengorbanan dan perjuangannya dalam industri seni adalah satu kewajipan.
Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil kesempatan menjemput penyanyi Lefthanded itu untuk berkongsi pengalaman dan cerita-cerita yang mencipta kejayaannya menerusi program Wacana Figura.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, Wacana Figura adalah sebuah program yang berunsurkan inspirasi bertujuan memberi suntikan semangat kepada generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni.
Malah, pemilihan Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias sebagai figura jemputan adalah bertepatan dengan objektif wacana tersebut sementelah penyanyi itu merupakan anak seni yang cukup dikenali dan masih menjadi dambaan ramai peminat.
“USIM mempunyai enam Karyawan Seni yang dilantik mengikut kepakaran bidang dan saya yakin perkongsian ini serba sedikit memberi gambaran sebenar kehidupan anak seni yang tidak lekang dari cabaran bersesuaian dengan gaya Covid-19 kini.

“Pembudayaan seni juga harus seiring dengan kreativiti dan teknologi. Kita mahu memberi suntikan semangat kepada generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni tidak terhad kepada persembahan malah bidang profesional yang lain seperti penulisan lirik, komposer, pengacara dan lain-lain,” katanya.
Program Wacana Figura yang berlangsung secara virtual di Facebook itu mendapat perhatian ramai peminat yang mahu mendengar perkongsian penyanyi yang cukup berbakat itu.
Berkongsi cerita pembabitannya dalam dunia muzik, anak jati kelahiran Muar Johor ini pernah berkhidmat di Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad sebelum bergelar penyanyi.
Ruang dan peluang yang ada tidak pernah disiakan. Minat mendalam terhadap seni suara dan bermain muzik membuatkan dia terus berusaha. Setelah tugasnya selesai di pejabat, Nash menyambung rutin sebagai sebagai seorang penyanyi.
“Saya pernah merasai pengalaman tidur di tepi jalan landasan kereta api dengan bau minyak tanah, menaiki bas daripada Subang Jaya ke Bangsar di waktu pagi hari dan terpaksa berhimpit di dalam bas untuk menuju ke tempat kerja di LLN Bangsar.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak remaja dan menganggotai kumpulan pertama Easy Livin’ seterusnya Step Closer sebagai vokalis dan akhirnya sebagai penyanyi utama kumpulan Lefthanded,” ceritanya.
Kongsi Nash, ketika dirinya mencipta nama dalam industri seni muzik, dia diuji dengan kehilangan keluarga tersayang ketika itu.
“Saya sangat sedih kehilangan seorang ibu. Pada mulanya ibu sukar menerima keputusan saya untuk terlibat dalam nyanyian, tetapi saya tetap berusaha untuk membuktikan bahawa penyanyi juga mempunyai masa depan.
“Setelah ibu tercinta mengadap ilahi, kenangan yang masih tidak dapat dilupakan apabila menjumpai koleksi keratan akhbar dan majalah mengenai saya yang dikumpul oleh ibu. Perasaan sedih belum habis, seminggu selepas itu pula dijuji dengan kehilangan ayah,” ceritanya sebak.
Nash yang dilantik sebagai Karyawan Seni USIM dalam bidang persembahan sejak 2016 menyumbang tenaga dalam beberapa penganjuran program anjuran Pusat Kebudayaan USIM seperti USIM Street Dakwah @ Kembara Patriotik, Konsert Munajat Untuk Rohingya, Malam Puisi GAZA, dan banyak lagi.
“Saya melahirkan rasa terharu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai Karyawan Seni USIM dan menganggap sebagai bentuk sumbangan berterusan dalam mendidik masyarakat untuk menghayati seni.
“Setiap kerja yang kita lakukan hendaklah lahir dari keikhlasan sejati yang kita terjemahkan kepada mereka yang ada di depan kita. Jangan laksanakan amanah atau kerja hanya kerana nama atau merasakan diri kita hebat, kerana hakikatnya tiada yang lebih hebat melainkan Allah SWT,” katanya mengakhiri Wacana Figura.










