SETIA bersama suami dan sentiasa memberi sokongan tidak apa jua keadaan sekali pun. Itu adalah gambaran yang diberikan kepada Wanita Pertama Indonesia, Iriana iaitu isteri kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Media Indonesia menyifatkan wanita berusia 58 tahun itu sebagai sosok yang mudah membiasakan diri mengikut keadaan walaupun perkara itu asing buat dirinya.
Iriana yang dilahirkan di Surakarta, Jawa Tengah pada 1 Oktober 1963 itu merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik.

Ibu bapanya, Noto Mihardjo dan Sudjiatmi merupakan pasangan guru. Nama Iriana berbeza dengan adik-beradiknya iaitu Anik, Anto, Andi dan Anjas.
Hal ini kerana, namanya diberikan oleh datuknya yang juga merupakan seorang guru di Irian Jayapura, Papua sebelum tahun 1960-an.
Menurut media tempatan, datuknya pulang ke Jawa ketika Iriana dilahirkan namanya diambil sempena Irian Jayapura.
Rendah diri sejak kecil
Ketika di Solo, Iriana tidak pernah menggunakan kelebihan bapanya yang berkhidmat sebagai guru di tempat beliau bersekolah untuk menerima layanan istimewa.
Sebaliknya, Iriana mengharungi fasa persekolahannya sama seperti pelajar lain, malah turut merekodkan keputusan peperiksaan cemerlang.
Perkenalan dengan Jokowi
Ketika menginjak usia remaja, Iriana sering ke rumah rakannya yang bernama Iit Sriyanti.
Iit merupakan adik kepada Jokowi dan perkenalan Iriana dengan cinta hatinya bermula sejak itu.
Ketika itu, Jokowi melanjutkan pengajian di Fakulti Perhutanan di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta.
Tidak mudah tawan hati Iriana
Jokowi sebelum ini pernah memberitahu tidak mudah untuk beliau menawan hati Iriana.

Presiden Indonesia itu memberanikan diri mengajak wanita idamannya melakukan aktiviti berbasikal dan mengambil masa selama enam bulan untuk Iriana jatuh hati kepadanya.
Pada usia 23 tahun, Iriana akhirnya menerima cinta Jokowi dan mereka melangsungkan perkahwinan dengan mas kahwin cincin berharga 24,000 rupiah (RM6.82).
Cinta sejati Iriana terhadap Jokowi terbukti apabila cincin tersebut masih tersarung pada jari manis kirinya sehingga kini.
Berpindah ke Aceh
Selepas berkahwin, Jokowi yang ketika itu bekerja di PT Kertas Kraft membawa Iriana berpindah ke Aceh.
Sewaktu Iriana hamil anak sulung, pasangan itu kemudiannya berpindah ke Solo dan Jokowi meninggalkan pekerjaannya di Aceh untuk menemani isterinya.
Iriana akhirnya menetap di Solo bersama anak-anaknya.
Sokongan tidak berbelah bahagi
Sejak berkahwin, Iriana taat menjaga kebajikan suaminya, termasuk ketika Jokowi berdepan kesukaran ketika terlibat dalam perniagaan perabot.
Sebagai isteri, Iriana tidak jemu memberi sokongan serta nasihat kepada suaminya untuk terus bangkit daripada kegagalan.
Dorongan wanita itu berhasil apabila kerjaya Jokowi mula berkembang dan berjaya dan Iriana juga semakin membiasakan diri dengan perusahaan yang dilakukan suaminya.
Sewaktu Jokowi dilantik menjadi wakil Solo, Iriana dengan segera dapat membiasakan diri sebagai isteri ahli politik.
Beliau juga bergerak aktif menerusi pelbagai program sosial dengan masyarakat setempat termasuk memberi perhatian kepada masalah kemiskinan.
Hal ini kerana, Iriana dan Jokowi juga pernah melalui saat sukar selepas mereka berkahwin sehingga pernah diusir dari rumah sewa.
‘Pemergian’ diratapi
Selepas Jokowi dilantik sebagai Gabenor Jakarta, Iriana mengikut suaminya berpindah ke bandar raya tersebut.
Perpindahan itu memberi kesan besar terhadap penduduk Solo yang sentiasa menghormati Iriana atas sumbangan dan jasanya.
Namun, wanita itu tidak pernah melupakan penduduk Solo dan setiap kali kedatangannya di sana, pasti akan disambut meriah.
Terus jadi tumpuan
Liputan terhadap Iriana terus memuncak apabila Jokowi memenangi pilihan raya presiden dan dilantik sebagai Presiden Indonesia ketujuh pada 20 Oktober 2014.

Biarpun bergelar Wanita Pertama Indonesia, Iriana masih mengekalkan personaliti yang bersahaja dan disenangi pelbagai pihak.
Baik dari segi berhias, gaya rambut dan pakaian, Iriana lebih gemar tampil secara sederhana berbanding isteri pegawai kerajaan lain.
menyayangi keluarga
Walaupun bergelar isteri Presiden Indonesia, keluarga tetap menjadi keutamaan Iriana dalam kehidupan sehariannya.
Malahan, wanita itu lebih selesa melakukan kerja rumah sendiri biarpun mempunyai pembantu rumah.










