Setiap tahun, Mac disambut penuh istimewa untuk golongan wanita di seluruh dunia. Semua orang tahu wanita namun tidak ramai mampu mengerti insan bergelar wanita. Mereka sangat istimewa. Lemah lembut tetapi sangat kuat dan mampu menanggung beban serta menahan diri untuk bersabar.
Sempena Hari Wanita Sedunia, pengendali penginapan dalam talian, Airbnb meraikan wanita menerusi komuniti tuan rumah (hos) di Malaysia, Asia Pasifik dan seantero dunia.
Pada peringkat global, Airbnb telah lama dikuasai wanita. Ia merangkumi 55 peratus daripada empat juta yang terlibat. Walaupun wabak pandemik Covid-19 dilihat memberi kesan kepada semua di seluruh dunia, namun dapat dilihat berlaku peningkatan wanita dalam perniagaan ini sebagai punca pendapatan. Airbnb, menyumbang RM3.9 bilion kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Malaysia dan menyokong lebih dari 52,100 pekerjaan tempatan pada 2019.
Di Malaysia, sebanyak 42 peratus wanita terlibat dalam lapangan ini sejak Mac 2020.
Walaupun berhadapan pelbagai kekangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri, mereka memperoleh pendapatan secara purata RM1.4 juta sepanjang tahun.
Airbnb menyenaraikan kisah wanita yang memberikan inspirasi kepada masyarakat menerusi cabang perniagaan ini.
Malaysia – Online Experience
Marini Ramlan antara wanita sangat dikenali dalam kalangan komuniti seni lukisan. Lebih mesra disapa Nini Marini, pelukis sepenuh masa dan juga usahawan. Beliau melancarkan Online Experience sebagai cara untuk dirinya mendekati golongan yang berminat dengan seni kreatif.

Dilancarkan ketika pandemik melanda tahun lepas, ia menyediakan pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelbagai jenis seni dan kraf sebagai tarikan. Nini yang mula melibatkan sebagai host di
Airbnb sejak tahun 2014, memberitahu walaupun Online Experience dilakukan secara maya, namun ia memberi peluang kepada orang ramai dari pelbagai lokasi untuk meneroka sisi seni yang ada dalam diri masing-masing.
Marini pernah terbabit dalam bidang industri media selama 20 tahun termasuk pernah menjawat jawatan sebagai ketua pengurus besar inovasi kandungan syarikat media tempatan.
“Saya bergelar pelukis sepenuh masa pada tahun 2000 dan mahu membangunkan bisnes dalam bidang seni. Saya menikmati melukis di atas kanvas kosong sehingga bertukar menjadi produk yang indah.
“Namun saya juga suka mencari idea baharu dalam seni seperti mural, reka bentuk corak, tekstil, batik dan mencipta sesuatu dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence). Menerusi Online Experience di Airbnb, saya menganjurkan kelas bagaimana menenun menggunakan t-shirt lama,” katanya.
Manakala bagi bekas pembuat roti dan pencinta makanan, Afiza yang mula sertai sebagai hos Airbnb sejak tahun 2015, telah menerima ratusan tetamu dan mendapat pelbagai ulasan yang memuaskan.

Bukan sekadar menjadi hos, Afiza turut berkongsi pengalaman menikmati makanan lazat yang ada di Malaysia dengan pencinta makanan di luar sana.
Taiwan – Rumah Hsu Hsu untuk ketenangan
Pada peringkat awal, Hsu Hsu, seorang ibu muda dan ahli seni, menerima tentangan daripada keluarganya untuk terlibat sebagai hos Airbnb dan menjalankan perniagaan minsu atau rumah tumpangan.
Namun hasil kerja keras dan usaha tanpa mengenal penat lelah membantunya menjadikan rumah tumpangannya popular dalam kalangan pelancong. Beliau kini bukan sahaja memenangi hati keluarga tetapi turut mendapat sokongan penuh daripada mereka.
India – Homestay Vali Ben
Jauh dari pedalaman Gujarat, tidak pernah terlintas di fikiran Vali Ben bahawa dia mampu menjalankan perniagaan sendiri tanpa sebarang pendidikan formal. Malah beliau tidak pernah meninggalkan rumah untuk mencari pekerjaan. Vali hidup seperti wanita lain di India.

Namun semuanya berubah apabila dia diperkenalkan kepada Persatuan Wanita Bekerja Sendiri (Sewa), sebuah organisasi memberi fokus kepada memperkasakan wanita menerusi pekerjaan dan mendapat hak.
Melalui SEWA, Vali mewujudkan homestay ValiBen dan ia terus berkembang dengan jaya sehingga Vali mendapat keyakinan untuk mengetuai dan menguruskan aktiviti berkaitan. Vali adalah wanita pertama di Sewa yang menjadi hos di Airbnb.
Vali kini bergelar usahawan kecil menjalankan perniagaan sendiri yang mana mampu menyara keluarga dan menyediakan kemudahan dalam memberi tunjuk ajar buat wanita lain yang ingin mengikuti jejak langkahnya.
Korea Selatan – Helen dan kaligrafi
Jika sebelum ini, hidup Helen hanya berkisar sebagai pengurus kewangan di sebuah bank di Korea Selatan. Namun perjalanan kerjayanya terhenti kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga.

Meskipun begitu, Helen menemui cinta baru iaitu mempelajari tulisan kaligrafi menerusi tenaga pengajar di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Wanita. Helen kini bergiat sebagai penulis sepenuh masa.
Beliau pernah menerima Hadiah Galakan pada Pertandingan Kraf Wanita Seoul pada 2013, Hadiah Kecemerlangan Pertandingan Perusahaan Wanita 2014 dan pernah memenangi anugerah dalam tiga kategori berbeza pada Pameran Kaligrafi Namdo pada 2016. Beliau mula terlibat sebagai hos pengalaman Airbnb pada 2018.
Helen kini sibuk menguruskan perniagaan kaligrafi dan menganjurkan pelbagai pengalaman kaligrafi popular menerusi saluran Airbnb.
Australia – Ladang Aunty Alice
Ibu tunggal kepada tiga anak perempuan, Alice mula menjadi tuan rumah sejak lima tahun lalu apabila berdepan dengan masalah kewangan. Menerusi pendapatan tambahan diperolehnya ia membantu dia mengatasi kesukaran tersebut dan seterusnya dapat menjaga ladang warisan sendiri.
Hari ini, ladang Alice memberikan pengalaman baharu buat pelancong yang menginap di rumah tamunya yang menawarkan tarikan alam semulajadi dan pusat perlindungan untuk hidupan liar Tasmania.










