“Ada apa dengan bulan Syaaban? ialah judul kitab yang sangat lengkap membahas tentang keistimewaan bulan Syaaban oleh salah seorang ulama besar di kota Mekah al-Mukarramah, Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki (w. 2004M).
Beliau mengarang kitab penting ini untuk menjawab tohmahan beberapa orang yang memandang serong umat Islam sejak dahulu yang memuliakan bulan Syaaban.
Menurut beliau, ada beberapa kajian penting yang berlaku pada bulan Syaaban sehingga menjadi sebab utama mengapa sebahagian ulama berpendapat bulan ini adalah bulan yang mulia walaupun ia bukan termasuk empat bulan haram di dalam Islam. Lebih istimewa, salah satu malam yang disebut dengan Malam Nisfu Syaaban.
Salah satu peristiwa mulia yang berlaku pada Syaaban adalah kisah yang diriwayatkan oleh Imam al-Qurtubi (w. 671H) bahawa Abu Hatim al-Busti (w. 354H) meriwayatkan peristiwa perpindahan arah kiblat solat umat Islam. Sebelum itu, menghadap ke Masjid al-Aqsa di Palestin dan berpindah ke Masjidilharam di Mekah berlaku pada Selasa, setengah dari bulan Syaaban.
Bulan Syaaban juga adalah bulan di mana lembaran amalan umat Islam diangkat oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’i (w. 303H) bahawa bulan Syaaban adalah bulan di mana lembaran-lembaran amal diangkat kepada Allah SWT. Hadis ini juga direkodkan oleh al-Hafiz al-Mundhiri (w. 656H) di dalam al-Targhib.
Dengan beberapa kejadian penting ini, dapat kita fahami mengapa ulama al-Salaf al-Salih sangat mementingkan umat Islam untuk beramal pada malam Nisfu Syaaban. Menurut al-Hafiz Sidi Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1993M), seorang ulama hadis terkenal di Maghribi, ulama al-Salaf al-Salih dari Syam sangat memuliakan Malam Nisfu Syaaban dengan ibadah di masjid-masjid.
Bahkan beliau meriwayatkan sebuah khabar yang juga disebutkan oleh beberapa ulama seperti Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795H) dalam Lataif al-Ma’arif bahawa Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (w. 101H) pernah mengirim sebuah titah kepada bawahannya yang berada di Basrah agar menghidupkan empat malam ini dengan sunnah; iaitu malam awal Rejab, Malam Nisfu Syaaban, malam Eid al-Fitri dan malam Eid al-Adha.
Lebih menariki, Imam al-Syafie (w. 204H), seorang mujtahid dan tokoh mazhab fikah umat di alam Melayu ini berkata di dalam kitab al-Umm yang juga diriwayatkan oleh Imam al-Bayhaqi (w. 458H) di dalam Sunan al-Kubra: “Telah sampai kepadaku (dari ulama salaf sebelumnya) bahawa dikatakan: doa disunatkan pada lima malam; malam Jumaat, malam Eid al-Adha, malam Eid al-Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban”.
Bahkan al-Tabarani (w. 360H) dan Ibn Hibban (w. 354H) meriwayatkan sebuah hadis di dalam Sahihnya dari Sahabat Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah melihat kepada seluruh makhluknya pada malam Nisfu Syaaban, maka dia mengampuni seluruh makhluknya kecuali yang musyrik dan yang suka membuat gaduh”.
Daripada beberapa sumber inilah yang membuatkan banyak ulama Islam sejak berzaman menilai bahawa malam Nisfu Syaaban adalah malam yang mulia. Malam yang sepatutnya dijadikan motivasi kepada umat Islam untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah mereka.
Di pelbagai lokasi dunia Islam, sama ada hujung Timur mahupun hujung Barat, terkenal ada anjuran (bukan kewajipan) membaca Yasin sebanyak tiga kali dengan doa agar dikabulkan oleh Allah SWT. Sebahagian ulama membidaahkan amalan ini.
Bagaimanapun, Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki menjelaskan bahawa mana-mana bahagian al-Quran yang dikhususkan sama ada Yasin atau lainnya adalah diharuskan. Syaratnya, ia tidak beriktikad bahawa hanya Yasin yang sah dibaca menurut syariat secara khusus. Maka tidak kisahlah sama ada tiga atau 30 atau 300 sekalipun, ia tetap disunatkan!
Selain beliau, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor juga telah mengeluarkan sebuah fatwa pada tahun 2015 tentang keharusan membaca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban. Maka tidak seharusnya ada umat Islam di negara ini yang memburuk-burukkan amalan yang sangat positif dalam mendidik keluarga kita kepada kebaikan.
Menurut salah seorang ulama nusantara yang juga tenaga pengajar di Masjidilharam, Sheikh Abd al-Hamid Kudus al-Makki (w. 1335H), dianjurkan bagi seorang muslim untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan qiyam al-layl (solat malam) seperti solat Sunat Tasbih dan sunat-sunat yang lain.
Ada pula yang menganggap bahawa disunatkan solat sunat malam Nisfu Syaaban. Pendapat majoriti, tiada solat khusus dengan nama solat sunat malam Nisfu Syaaban.
Bahkan Imam al-Nawawi (w. 676H) menghukumnya sebagai bidaah kerana hadisnya palsu. Walau bagaimanapun, menurut Sheikh Abd al-Hamid janganlah diniatkan solat ‘sunat malam Nisfu Syaaban’ akan tetapi diganti dengan ibadah qiyam al-layl iaitu solat-solat sunat seperti solat tasbih, hajat dan lain-lain atau cukup dengan niat solat snnat mutlak.
Kesimpulannya, walaupun mungkin hadis yang diriwayatkan tentang keutamaan (fadhilat) malam Nisfu Syaaban ada bermacam-macam antara yang kuat dan tidak, ia secara hakikatnya saling menguatkan antara satu dengan yang lain seperti yang disebutkan oleh Prof. Dr. Abu Laith dari UIAM.
Justeru ia tidak menjadi penghalang kepada al-Salaf al-Salih sebagai generasi yang terpilih untuk menghidupkan malam ini dengan ibadah dan doa seperti mujtahid kita Imam al-Syafie. Maka bagaimana dengan kita pula?
Apakah kita masih tidak penat bergaduh tentang bidaah atau sunnah, sedangkan amalan kualiti dan kuantiti amalan kita ketinggalan jauh daripada para al-Salaf al-Salih?
————
Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM dan Felo Kehormat IKIM










