Kebas kaki berulang tingkat risiko kaki kena potong - Utusan Malaysia

Kebas kaki berulang tingkat risiko kaki kena potong

Penghidap berasa sakit terutama di bahagian paha dan betis seperti ditekan. –Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN situasi ini.

Anda bangun pagi dan tiba-tiba kaki anda rasa kejang dan kebas.

Lebih buruk lagi, anda tidak boleh meluruskan kaki kerana sakit tersebut semakin terasa seperti dicucuk.

Awas! Anda mungkin diserang penyakit arteri periferal (PAD) yang berpunca daripada penyumbatan salur darah pada kaki.

Kaki kebas sering terjadi kepada individu duduk dalam posisi tidak selesa. Ini kerana, jika kaki berada pada posisi yang salah, ia akan menyebabkan saraf di bahagian kaki terhimpit dan menyebabkan kebas tersebut berlaku.

Sekiranya sakit tersebut berterusan sehingga menyebabkan kaki sentiasa terasa kebas, ia mungkin disebabkan beberapa jenis penyakit.

PAD atau bahasa mudahnya saluran darah kaki tersumbat mungkin tidak popular dalam kalangan masyarakat kita seperti mana serangan jantung atau angin ahmar.

Bagaimanapun, jika ia tidak diubati, penyumbatan darah di bahagian kaki boleh menyebabkan penyakit vaskular periferi yang mana, kaki pesakit akan dipotong kerana tidak lagi boleh diselamatkan.

Sehingga kini, penyakit arteri periferi menyerang hampir 204 juta orang di seluruh dunia. Dalam kebanyakan kes, penyakit ini dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan penyakit arteri koronari dan diabetes.

SEMPIT
PAD dikategorikan sebagai penyakit berpunca daripada salur darah menjadi sempit kerana tersumbat pada bahagian kaki.

Sten pembedahan invasif minimal – Percutaneous Transluminal Angioplasty (PTA).

Ia sama seperti penyumbatan salur darah ke jantung atau otak yang meng­akibatkan serangan jantung atau angin ahmar (strok).

Pakar Bedah Am dan Vaskular Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Saravana Kumar Selvanathan berkata, PAD ialah saluran darah pada bahagian kaki tersumbat dan ia boleh berlaku secara tiba-tiba.

Dr. Saravana Kumar Selvanathan.

Ia disebabkan oleh plak aterosklerotik, sama seperti yang berlaku di jantung atau kepala cuma PAD berlaku di bahagian kaki yang boleh menyebabkan gangren.

“Ia boleh berlaku dengan cepat, dalam tempoh sehari hingga dua hari disebabkan darah beku. Kaki akan bertukar warna dan jika dibiarkan, ia akan jadi hitam malah saiz kaki juga akan mengecil.

Ini paling bahaya sebab ia sama seperti serangan jantung,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang berisiko tinggi untuk diserang PAD adalah mereka yang mengamalkan amalan gaya hidup tidak sihat seperti tabiat merokok.

Selain itu, mereka yang menghidap diabetes, darah tinggi, buah pinggang dan masalah paras kolesterol tinggi paling mudah diserang PAD.

“Antara gejala penyakit ini termasuklah kekejangan, sakit dan lesu di bahagian kaki atau otot pinggang ketika berjalan mahu­pun memanjat tangga. Penghidapnya mungkin berasa sedikit selesa ketika berehat, namun kembali sakit. Mereka yang diserang PAD biasanya mengalami simptom seperti kaki kejang, sakit dan berasa dingin. Jika tidak dirawat segera, lama-kelamaan keadaan bertambah buruk seterusnya menjadi hitam menandakan kematian sel. Lebih parah apabila kaki pesakit terpaksa dipotong,” ujarnya.

Dr. Saravana memberitahu, apa yang menakutkan, ada antara pesakit PAD yang awalnya tidak mengalami sebarang gejala atau tanda, namun kemudian berkembang secara perlahan-lahan tanpa disedari.

Risiko kaki kena potong
Di Malaysia, statistik menunjukkan lebih 10,000 pesakit terpaksa menjalani amputasi yang mana 40 peratus daripada kes ini boleh dielak jika mereka menerima rawatan awal.

Mereka yang kehilangan anggota selepas dipotong mempunyai peratusan tinggi untuk meninggal dunia kerana mengalami jangkitan kuman di bahagian jantung apabila berlakunya pergerakan.

“Rawatan awal dapat membantu pesakit dan membolehkan mereka sembuh sepenuhnya bagi menjalani kehidupan normal.

“Selain itu, langkah pencegahan paling berkesan adalah dengan menjalani gaya hidup sihat iaitu mengambil makanan dengan zat seimbang dan sering bersukan atau melakukan senaman. Selain itu bagi perokok, segeralah hentikan tabiat buruk itu kerana ia antara punca utama PAD,” katanya.

Tidak ketinggalan, penyakit ini juga menyebabkan jantung tidak dapat berfungsi dengan baik kerana penyumbatan di bahagian tertentu.

Bagi menghilangkan kesan tersumbat, beberapa rawatan dilakukan iaitu memasukkan belon atau besi khas ke dalam bahagian berkenaan yang akan membuka ruang untuk pengaliran darah dengan betul.

Rawatan ini membantu pesakit sembuh dan bahagian luka itu akan hilang dalam masa ditetapkan. Malah jika menjaga kesihatan dengan baik, teratur dan sering mengikut nasihat pakar perubatan, penghidap PAD boleh membebaskan diri daripada penyakit ini.

Paling penting, masyarakat perlu ada kesedaran mengenai penyakit ini kerana ramai tidak tahu penyakit ini boleh dirawat pada peringkat awal apabila kaki dapat diselamatkan tanpa dipotong.

“PAD dihidap 204 juta individu di seluruh dunia. Bagaimanapun, ramai pesakit tidak menyedari mereka penghidap PAD dan tidak mempedulikan sakit kaki yang dialami serta tidak berjumpa pengamal perubatan.

Selanjutnya, Dr. Saravana menjelaskan, pada peringkat awal rawatan, pakar akan melakukan pemeriksaan fizikal dan indeks jisim tubuh (BMI); ujian makmal dan gula dalam darah serta ujian indeks brakial pergelangan kaki (ankle brachial index atau ABI) atau iaitu kaedah segera mengesan PAD.

“Untuk merawat penyumbatan akibat PAD, terdapat prosedur invasif minimal dipanggil Percutaneous Transluminal Angioplasty (PTA) dengan memasukkan sten membantu membuka saluran darah tersumbat,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan menjalani pembedahan kaedah ini maka pembedahan secara sternotomy tidak perlu dilakukan. Ini dapat mengurangkan trauma dan kesakitan yang dikaitkan dengan pembedahan secara terbuka.

Di samping itu, ia dapat mengurangkan ketidakselesaan pesakit selepas menjalani pembedahan pintasan dan dapat mempercepatkan tempoh sembuh pesakit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×