“Eee geramnya tengok anak ko ni. Gebu gebas pipi dia. Rasa nak gigit-gigit je!”
Tersenyumlah mak ayah bila anak masing-masing dipuji comel. Namun begitu, ibu bapa seharusnya menyedari betapa pentingnya peranan mereka dalam memantau berat badan anak-anak.
Lazimnya anak montel memiliki berat badan melebihi tahap normal dan ia bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan, sebaliknya harus dipantau dengan serius.
Pakar Pediatrik Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr. Senthil Kumaran, berkata, masalah obesiti atau kegemukan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin membimbangkan.
Katanya ia berpunca daripada pengambilan kalori melebihi penggunaannya.

“Obesiti terjadi akibat pengambilan kalori melebihi penggunaannya. Secara umumnya ia berpunca daripada gaya hidup seperti tabiat pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada peringkat global, lebih 42 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun, obes.
Di Malaysia, satu dalam empat kanak-kanak atau remaja, berlebihan berat badan dengan Malaysia berada di tangga teratas dalam senarai negara (di rantau ini) dengan 30 peratus kanak-kanak direkodkan sebagai obes.
Kes obesiti berpunca daripada masalah perubatan seperti penyakit hormon atau sindrom adalah kurang dari satu peratus.
Dr. Senthil berkata, apabila ibu bapa mengalami masalah kegemukan, anak mempunyai risiko lebih besar mengalami masalah sama.
Di mana kanak-kanak dengan berat badan berlebihan, biasanya akan menjadi obes atau gemuk ketika dewasa.
Meskipun faktor genetik memainkan peranan, faktor luaran seperti pengambilan kalori berlebihan dan kurangnya aktiviti fizikal memainkan peranan yang lebih besar.
Jadi, memupuk tabiat pemakanan sihat dan gaya hidup aktif sejak kecil adalah sangat penting.
Latar masyarakat pengaruhi insiden obesiti
Faktor budaya masyarakat turut menyumbang masalah kegemukan dalam kanak-kanak.
Malaysia ialah negara pelbagai bangsa dan terkenal dengan variasi makanannya.

Makanan mudah didapati sepanjang waktu, dengan tersedianya restoran-restoran 24 jam di seluruh negara.
Dr. Shentil berkata, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, pengambilan kalori masyarakat Malaysia telah bertambah. Budaya makanan segera atau fast food juga agak meluas dalam kalangan masyarakat kita.
“Kesedaran mengenai budaya pemakanan yang sihat masih di tahap yang rendah. Selain faktor makanan, budaya senaman atau aktiviti luaran bersama keluarga di masyarakat kita masih rendah,” katanya.
Komplikasi kesihatan
Dr. Shentil memberitahu, kanak-kanak berlebihan berat terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan termasuk diabetes jenis 2 dan ini boleh berlaku pada kanak-kanak berusia seawal lapan tahun.
Malah mereka turut berdepan risiko mengalami tekanan darah tinggi, masalah hati berlemak dan kekurangan oksigen semasa tidur disebabkan rongga pernafasan tersekat.
“Kanak-kanak dengan masalah ini, mempunyai tidur tidak sempurna dan sering mengalami gangguan pernafasan berulang-ulang sepanjang waktu tidur. Mereka juga sering berdengkur semasa tidur.
Keadaan ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tahap kekurangan oksigen semakin merosot.
“Kanak-kanak montel turut berisiko menghidap batu karang pada pundi hempedu, kerosakan sendi, sindrom metabolik dan risiko penyakit jantung,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa memastikan anak-anak melakukan kegiatan fizikal setiap hari sekurang-kurangnya selama satu jam.
Ia berkesan mengawal berat badan dan mengurangkan risiko penyakit, di samping meningkatkan kekuatan otot.
Selain itu, kanak-kanak patut terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal menyenorokkan, seperti senaman berpasukan, berenang, yoga, berbasikal, menari atau berjalan-jalan pada waktu petang selepas makan malam.
“Senaman tidak semestinya terlalu berat atau terlalu memenatkan.
“Senaman yang baik sepatutnya melibatkan pergerakan sendi dan penggunaan otot untuk menggalakkan pembinaan otot.
“Untuk kanak-kanak pra sekolah, permainan di taman permainan atau aktiviti diluar rumah perlu digalakkan,” ujarnya.
Rawatan spesifik
Dr. Senthil memberitahu, penggunaan ubat langsing badan terhadap kanak-kanak obes adalah sangat terhad disebabkan oleh kesan sampingan ubat kepada kanak-kanak yang sedang membesar.
Walau bagaimanapun, penggunaan ubat kadang-kala boleh dipertimbangkan untuk jangka pendek bagi pesakit tertentu.
“Sebaiknya kanak-kanak obes perlu dipantau oleh pakar pediatrik. Sekiranya perlu, pakar pediatrik anda akan melakukan rujukan kepada kepakaran lain sesuai dengan masalah dialami kanak-kanak ini.
“Mereka perlu dirujuk kepada Pakar Pediatrik Endokrin apabila terdapat kemungkinan obesiti dialami adalah berkaitan dengan penyakit hormon. Contohnya penyakit tiroid, sindrom cushing atau kekurangan growth hormon. Mereka turut perlu dirujuk apabila mengalami komplikasi obesiti, seperti diabetes,” jelasnya.
Tambah beliau, ada kalanya kanak-kanak obes memerlukan perhatian pakar psikiatri atau psikologi, kerana kemurungan atau menjadi mangsa buli adalah perkara yang sering dijumpai dalam kalangan kanak-kanak dengan masalah obesiti.










