Baser pakar replika rumah tradisional - Utusan Malaysia

Baser pakar replika rumah tradisional

Baser menunjukkan antara replika eksklusif iaitu Istana Melaka yang ditempah khas oleh pelanggan. – GAMBAR RASUL AZLI SAMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA pelan mahupun lakaran kertas, replika rumah tradisional Malaysia sentuhan pembuat kraf replika, Baser Ali, 58, memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya.

Terperinci dan sempurna lengkap tiang, tangga, papan pemanis, ukiran pada tingkap dan atap seperti rumah asal.

Bagaikan tidak percaya, hanya menggunakan daya imaginasi, anak kelahiran Melaka ini mampu menghasilkan hampir 2,000 replika rumah tradisional sejak ia mengusahakan pekerjaan itu 10 tahun lalu.

Beliau mampu menghasilkan pelbagai replika rumah tradisional, antaranya Rumah Tradisional Melaka, Johor dan Sarawak.

REPLIKA rumah tradisional dan Istana Melaka yang disiapkan oleh Baser secara sempurna dengan perincian yang halus.

Keunikan itu menyebabkan ia sering dijadikan cenderahati dan koleksi peribadi pelanggan yang bertandang ke Melaka, negeri bersejarah.

Menyingkap pembabitannya dalam seni itu, Baser yang memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam dunia kimpalan, mengakui pada peringkat awal beliau kurang yakin, lantaran tidak mempunyai bakat dan minat dalam kerja pertukangan atau pembuatan replika.

Namun desakan dan sokongan daripada abangnya ternyata akhirnya membuahkan hasil dan tanpa sedar sudah sedekad beliau bergelumang dengan kerja tangan itu.

BASER ALI.

“Saya sempat berguru dengan arwah abang selama dua tahun sebelum dia meninggal dunia pada 2012.

“Dia bersungguh-sungguh menurunkan ilmu pembuatan replika ini kepada saya kerana melihat minat saya terhadap seni walaupun tidak mempunyai minat dalam tukangan. Pengetuk pun saya tidak pernah pegang,” katanya.

Replika sulung dihasilkan Baser ialah Rumah Tradisional Melaka, yang dihasilkan pada 2010. Mengambil masa sebulan untuk menyiapkan replika yang dijual pada harga RM1,500.
Baser ditemui di kediamannya di Kampung Morten, Melaka sempena Aktiviti Junket Journalism Industri Kraf di Negeri Melaka oleh Kraftangan Malaysia (Kraftangan) sebagai usaha membantu usahawan kraf dan mempromosikan produk keluaran kraf tempatan, baru-baru ini.

KELEBIHAN
Memegang prinsip, biar lambat asalkan dapat hasilkan yang terbaik dan boleh memasuki pasaran kerana dalam pembuatan replika atau kraf tidak boleh terburu-buru. Perlu ada nilai estetika yang tersendiri dalam menghasilkannya.

RUMAH rehat Negeri Sembilan.

Bapa kepada empat orang anak itu menghargai kelebihan yang dikurniakan yang tiada pada orang lain.

“Sukar untuk saya terangkan kepada orang luar bagaimana saya boleh hasilkan replika tanpa sebarang ukuran dan lakaran. Saya hanya melihat rumah asal negeri-negeri lain melalui internet dan terus berimaginasi sebelum menghasilkan.

“Seperti replika Istana Kesultanan Melayu Melaka, saya hanya berpandukan kepada aras bumbung pertama dan kedua untuk mendapatkan saiz yang sama. Saya sangat teliti dalam menghasilkan sesebuah replika. Kalau kita buat sambil lewa dan cincai, orang yang melihat hasilnya pasti tidak berminat untuk membeli.

“Replika istana biasanya dibuat jika ada permintaan dan memerlukan tiga minggu untuk siap,” katanya.

Beliau mampu menyiapkan sebuah rumah antara tempoh lima hari hingga tiga minggu. Namun yang rumit boleh mencecah hingga 50 hari,” katanya.

Selain pelanggan tempatan, kerja Baser turut dihargai pelanggan dari negara luar seperti Britain, Sweden dan China.

ANAK MEWARISI
Baser berkata, ilmu dimiliki itu akan diturunkan kepada anak bongsunya, Muhammad Radzi Ikram, 17, yang mula menunjukkan minat terhadap seni itu.

“Saya mahu pembuatan replika rumah tradisional ini diteruskan sebagai menyambung legasi ini. Malah saya berharap ada kelas pembuatan replika secara serius dapat dilaksanakan agar pembuatan kraf tidak terkubur begitu sahaja,” katanya serius.

Dalam pada itu, Baser berkata, setiap karya replika rumah tradisional dihasilkan semuanya tampak mahal namun dijual dengan harga berpatutan.

Walaupun menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati seperti plywood, kayu, jerami, syelek, gam dan hiasan tertentu, namun untuk menghasilkan perlu diperincikan secara halus.

Baser turut menawarkan tulisan jawi yang ditulis sendiri pada setiap rumah replika berkenaan.

Selain replika rumah tradisional, Baser turut menghasilkan replika rumah pusaka atas permintaan pelanggannya untuk dijadikan kenang-kenangan.

Baser turut menghasilkan papan pemanis, gazebo atau dikenali timba layau oleh orang Melaka dan kumbu iaitu bakul anyaman (tempat menyimpan ikan) bersaiz 18 inci (46 cm).

Ia dijual pada harga RM48 yang selalu menjadi permintaan pelancong.

“Kumbu tidak boleh digunakan tetapi dijadikan hiasan. Bahannya dari rotan. Asalnya diperbuat daripada buluh. Jika menggunakan buluh, apabila rendam dalam air masih kukuh,” katanya.

TENAGA PENGAJAR
Siapa sangka, walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, Baser tidak pernah bermimpi yang dia berpeluang menjadi seorang tenaga pengajar sambilan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (JKR) atau CREaTE.

“Alhamdulillah, saya langsung tidak menyangka dengan menceburi bidang pembuatan replika ini dapat juga menjadi tenaga pengajar secara tidak langsung, ada juga yang menghargai apa saya buat.

“Saya juga berterima kasih kepada Kraftangan, yang banyak membantu saya dalam mempromosi dan memper­kenalkan pembuatan replika rumah-rumah tradisional saya ini ke mata dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN