Usop gementar kerana Lenyap - Utusan Malaysia

Usop gementar kerana Lenyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIANYA dalam dunia hiburan bukanlah baharu sehari dua. Malah, setelah lima tahun serius berkecimpung dalam industri seni tanah air, Usop yang mula mencipta nama menerusi program televisyen Mentor dianggap sepatutnya sudah mampu untuk melayan liku-liku dalam bidang ini.

Iyalah, sudah namanya dunia seni, tentunya ia disertakan bersama dengan pakej kritikan yang datangnya bukan cuma dari satu, tetapi merata penjuru.

Namun, entah mengapa, sifat gemuruh dan kebimbangan yang ada pada dirinya seakan sukar dibuang jauh-jauh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekurang-kurangnya itulah yang diakui sendiri oleh si empunya diri.

Kata anak kelahiran Kulim, Kedah ini, dia sedar sebagai seorang penyanyi dan kini mengorak pula langkah dalam dunia lakonan, perasaan seperti itu tidak patut ada pada dirinya.

“Saya sendiri pun tak tahu macam mana nak buang rasa gugup ini. Memang saya akui, sepanjang bergelar anak seni, paling dibimbangi adalah penerimaan orang terhadap diri atau lagu-lagu yang dibawakan.

LIMA SINGLE
“Setakat ini, saya sudah ada lima single, tetapi meski pun begitu, ketika hadir dengan single keenam ini pun, ternyata saya masih gugup dengan penerimaan orang ramai.

“Agaknya saya memang begitu, selalu gugup dengan sesebuah perkara yang baru atau setiap kali hadir dengan naskah baru,” katanya.

Berkongsi lanjut, kata Usop, single berjudul Lenyap ciptaan Jaa, Romal, Karim Karam dan Mike Chan itu merupakan kesinambungan kepada lagu Pencinta Setiamu yang dihasilkan pada tahun lepas.

“Lagu dan jalan cerita dalam video muzik yang dihasilkan sengaja dibuat seakan-akan ada kaitan. Tujuannya adalah supaya ada elemen tarikan dan bagi saya, ia satu idea yang bagus.

“Kalau ada yang kecam kata balik-balik nak hasilkan karya yang ada kesinambungan, saya okey sahaja. Jangan risau, video muzik ini adalah penamat buat lagu sebelumnya. Lepas ini, kita cuba hasilkan yang berbeza pula,” katanya.

Ditanya pula sama ada dia pernah punya hasrat untuk menjadikan teman wanita yang sebelum ini pernah tular sebagai kekasihnya untuk tampil dalam video muzik Lenyap, Usop bagaimanapun mengaku tidak mahu ia berlaku.

“Tak mahulah. Bukan apa, kalau boleh saya tidak mahu mencampur-adukkan soal hubungan cinta dengan kerjaya.

“Ya, sebelum ini ada sahaja cadangan begitu, tambahan pula dia pun ada rupa. Tetapi bagi saya, biarlah dia selesa menjalankan kerjanya sebagai seorang model manakala saya pula sebagai penyanyi,” katanya.

Mengalih perhatiannya mengenai perkembangan kerjaya, menurut lelaki berusia 23 tahun ini, dia bersyukur kerana walaupun momentumnya perlahan, tetapi sedikit demi sedikit dia berupaya membuktikan pada semua bahawa ada sesuatu yang istimewa pada dirinya sebagai seorang penghibur.

Mengetahui, bahawa bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, Usop bagaimanapun enggan terlalu mudah mengalah dan mahu terus berjuang dalam bidang seni.

“Dulu saya tidak ada pengurusan, sekarang apabila sudah bernaug di bawah Rocketfuel, nampaklah ada perubahan yang lebih baik daripada banyak aspek.

“Macam istilah bahasa Inggeris From zero to hero. Masih ingat lagi, sebelum ini orang kata saya ini tidak ada apa-apa. Tetapi, selepas bersama Rocketfuel, saya mula meneroka industri dengan lebih meluas.

“Terima kasih buat semua yang membantu tanpa lelah untuk progres yang positif ini, kalau tidak mungkin saya pun tidak mampu berada di tempat sekarang walaupun tidaklah gah mana,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang pernah muncul sebagai pelakon menerusi sebuah telefilem berjudul Matilah Nak Pontianak, Usop bagaimanapun mengaku lebih selesa untuk bergelar penyanyi berbanding pelakon.

Jelasnya, meski nampak mudah, lakonan sebenarnya memberi cabaran yang berbeza sementelah perlu bermain dengan emosi dan mimik wajah di hadapan kamera.

“Betul, menyanyi pun kena hafal lirik, sama macam lakonan yang memerlukan pemainnya untuk menghafal dialog. Tetapi bagi saya susah untuk memastikan diri mampu memegang sesebuah karakter dengan baik.

“Emosi kita kadangkala pun berubah, kalau berlakon pula kena ikut emosi yang diminta sebagaimana yang ada dalam skrip. Ish, saya rasa lebih selesa menyanyilah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini