Sederhana sambut Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Sederhana sambut Tahun Baharu Cina

Amber memilih cheongsam moden rekaan Brian Khoo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana masyarakat perlu menyambutnya dengan norma baharu dan sederhana berikutan penularan pandemik Covd-19.

Namun bagi supermodel, Amber Chia, dia bersyukur kerana tahun ini dia masih dapat meraikan perayaan ini bersama keluarga memandangkan ibu bapanya kebetulan berada di rumahnya di Kuala Lumpur sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Walaupun Tahun Baharu Cina tahun ini disambut dalam norma baharu, bukan bermakna saya akan melupakan amalan tradisi masyarakat Cina. Justeru, sambutan asas itu tetap ada seperti makan malam bersama keluarga, berbaju baharu dan pemberian ang pau tetapi secara bersederhana.

“Mungkin kali ini tiada lagi kunjung-mengunjung seperti tahun-tahun sebelum ini. Yang penting, saya dapat meraikannya bersama keluarga tersayang,” katanya yang memilih rekaan cheongsam moden rekaan Brian Khoo tahun ini.

TUAH NAMA
Amber atau nama sebenarnya Chia Lee Peng, 39 memulakan karier selepas menang pertandingan Pencarian Model Guess Antarabangsa pada 2004. Beliau selepas itu melebarkan sayap kerjaya ke serata Asia terutamanya Taiwan, Singapura dan Indonesia.

Busana Brian Khoo menepati selera Amber.

Di sebalik keunikan namanya, ia mempunyai kisah yang tidak dapat dilupakan Amber.

Kali pertama dia membuat peragaan, dia mengenakan loket daripada batu ambar yang besar.

Ketika itu seseorang bertanyakan namanya yang mudah diingati dan tanpa berlengah, dia menyebut Amber Chia Lee Peng.

Ternyata nama itu memberi kesan besar dan menyinari hidupnya hingga ke hari ini.

Begitupun usaha ke arah itu bukan diperoleh sekelip mata. Beliau melalui kehidupan sukar bersama keluarganya sejak usianya masih kecil.

Amber memberitahu, beliau pernah menetap bersama keluarga angkat bagi membantu dia membiayai perbelanjaan bersekolah sebaik sahaja dia berpindah ke Tawau, Sabah.

Pada masa sama, dia terpaksa membuat kerja sambilan sebagai juru wang di sebuah pasar raya di sana.

Itu kisah kanak-kanak dan remajanya tetapi kini dia berjaya membuktikan dia mampu mengubah masa depan dan keluarganya.

Amber pernah tidak punya wang untuk sesuap nasi
Kini siapa sangka, gadis kampung ini sudah mulai menyulam mimpi sejak berusia tujuh tahun. Dari seorang gadis yang hanya membantu bapanya menjual ikan, kini Amber Chia menjadi idola ramai anak muda.

Bermula pada usia 17 tahun dengan hanya berbekalkan impian mahu menjadi seorang model, Amber ke Kuala Lumpur seorang diri. Berbekalkan wang poket RM400, dia membeli tiket penerbangan dari Tawau, Sabah ke Lapangan Terbang Subang semata-mata mahu menghadiri satu sesi ujibakat.

Menyewa bilik bersama rakannya, ada ketikanya dia tidak punya wang untuk sesuap nasi pun. Setiap kali mahu berputus asa, dia melawan sikap negatif itu dan terus berjuang demi minat yang selama ini dipendam.

DESAKAN HIDUP JADI KUAT
Situasi mendesaknya menjadi lebih kuat dan berdikari.

“Jika anda tidak mempunyai minat dan semangat yang jitu pada sesuatu, anda tidak akan dapat mencapai impian yang anda idam-idamkan,” kata anak ketiga daripada enam beradik ini. Malah ibunya sering menasihati untuk tidak berputus asa dan terus berjuang.

Amber bersama anak kesayangan, Ashton Wong dan ibu, Chua Moi Ku.

Menurut Amber, dia sangat ghairah atau ekstrem tentang apa yang dilakukan terutama perkara yang sangat digemarinya. Beliau juga kini berjinak-jinak dengan kerja kebajikan.

“Sedikit rahsia yang ingin saya kongsi ialah keyakinan diri adalah penting untuk anda melangkah ke hadapan. Kalau anda berasa yakin, teruskan langkah yang ingin dilakukan,” ujarnya.

Ditanya tentang prinsip sebagai seorang model, Amber mengakui bidang ini banyak terikat dengan stereotaip tetapi dia tidak boleh bergantung kepada keadaan tersebut.

“Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa saya dibesarkan dan didik dengan budaya ketimuran.

“Saya jenis suka duduk di rumah bersama keluarga, malah saya juga seorang pemalu dan cuba mengelakkan majlis keramaian,” katanya.

Menyentuh rahsia dia bertahan dalam bidang model dan peragaan, katanya minat mendalam.

“Passion! Bidang peragaan umpama nadi. Ia menuntut azam yang kuat namun kerja kuat perlu di lakukan untuk mengekalkannya.

“Permintaan dalam bidang ini sudah berubah, saya akan memastikan diri saya dalam keadaan baik dan bersedia untuk berubah menjadi lebih baik.

“Keghairahan dalam bidang ini membuatkan saya tidak akan bersara dalam bidang ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN