Rumah Budi Jombang sarat warisan tradisional Melayu

Rumah Budi Jombang sarat warisan tradisional Melayu

RUMAH Budi Jombang di Kampung Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seandainya berkesempatan ke daerah Jelebu, Negeri Sembilan, anda bolehlah berkunjung ke Kampung Gagu. Ia terletak kira-kira enam kilometer dari pekan Kuala Klawang.

Tempat kelahiran Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim itu sejak tiga tahun lalu menempatkan sebuah rumah yang cukup indah seni bina ukirannya, dikenali sebagai Rumah Budi Jombang.

Pengunjung pasti akan terpesona dengan keunikan seni bina rumah tradisional Melayu berasal dari Siak, Indonesia itu. Landskap petak sawah padi menguning dan kolam ikan menghadap rumah sarat dengan sejarah itu, sungguh memikat hati.

Menurut Rais, rumah berkenaan pada asalnya berada Gunung Pasir, Seri Menanti, Kuala Pilah sejak tahun 1875 selepas hanya tiangnya sahaja dibawa dari Siak yang dikenali sebagai ‘rasak pelancar’. Ia akhirnya dipindahkan ke Kampung Gagu sejak 2016.

“Pada mulanya rumah ini terbiar di Gunung Pasir, kemudian saya jumpa rumah yang sama berada di Siak, Riau. Memang rumah di Negeri Sembilan seperti diketahui mempunyai identiti Minangkabau dan Siak seperti ungkapan adat, Negeri Sembilan ‘beraja ke Johor, bertuan ke Minangkabau dan bertali ke Siak’.

ALIH KE KAMPUNG GAGU
“Saya menyatakan hasrat saya kepada Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kami bertemu dengan pihak keluarga pemilik rumah ini di Gunung Pasir dan mereka bersetuju untuk ia dialihkan ke Kampung Gagu,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Media di rumah tersebut baru-baru ini.

Rais yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menambah, rumah berkenaan dibina dengan landskap sawah padi dan kolam, seakan memperlihatkan suasana sama terdapat di Sumatera Barat, tanah asal kepada masyarakat Minangkabau yang turut ada di Kampung Gagu.

“Kalau kita lihat di Sumatera Barat, rumahnya sebeginilah. Kampungnya damai, mesti ada sungai, tabek (kolam) kemudian ada juga jambatan. Itu yang saya cuba bawakan menerusi rumah ini,” katanya.

Jelas beliau, Rumah Budi Jombang dibina menggunakan beberapa jenis kayu daripada pokok meranti, penaga dan kemuning. Malah atapnya dahulu diperbuat daripada ijuk.

“Semasa dibawa dari Gunung Pasir, kayunya diceraikan satu-satu sebelum dicantumkan semula. Bagaimanapun ada beberapa bahagian kayunya sudah rosak seperti di bahagian lantai, kemudian ada bahagian tambahan dibina di rumah ini dengan bercirikan seni bina moden.

TIADA PAKU
“Rumah ini juga dahulu tidak menggunakan paku, namun kini tidak lagi. Ada beberapa bahagian ukiran terutama di dinding, ada saya dapatkan khidmat pengukir dari Siak malah ada juga saya dapatkan khidmat pengukir dari Kelantan,” jelasnya.

Proses pembinaan mengambil masa kira-kira setahun untuk siap sepenuhnya sejak ia dibawa dari Gunung Pasir.

Menurut Rais lagi, di Siak, rumah-rumah seperti Rumah Budi Jombang turut memiliki artifak anismisme yang melambangkan kepercayaan masyarakat dahulu berhubung kuasa alam.
Rumah ini turut mengekalkan empat tiang, disebut sebagai ‘talian langit’.

“Mengikut kepercayaan masyarakat pada masa itu mesti dipegang, ketika berlakunya bencana seperti banjir oleh Dato’ Empat atau penghulu yang kemudian menyeru kepada kuasa alam supaya kejadian bencana dielakkan,” katanya.

Rumah Budi Jombang turut menempatkan pelbagai barangan koleksi peribadi Rais. Ia disusun rapi oleh Rais dan isteri, Puan Seri Masnah Rais. Ada gambar lama, keratan akhbar, cenderamata selain keris lama.

“Keris lama, kerambit dan beliung iaitu penarah kayu. Semuanya koleksi saya sendiri yang sebahagiannya saya pamer dan simpan di sini,” katanya.

‘Tak boleh hanya cakap’
Tujuan Rais membina dan membaik pulih rumah berkenaan ialah mahu melihat warisan, adat dan budaya Melayu terus dijaga dan pelihara.

“Minat terhadap warisan mesti praktikal dan nyata, tak boleh hanya cakap.

“Dalam masyarakat Melayu lama, orang Minangkabau, banyak rumah adat, tetapi tidak dijaga.

“Saya mahu rumah ini dijadikan simbol kepada rumah-rumah lama. Kita perlu meneliti semula apa yang diwarisi oleh bangsa Melayu, tentang kekuatannya pada masa dahulu,” katanya.

Tambah beliau, di Jelebu, Rumah Budi Jombang ini akan terus menjadi lokasi kepada segala acara adat yang turut akan melibatkan Dato Undang Luak Jelebu dan Dato Lembaga.

“Ramai datang ke mari, kita telah buat program-program adat di sini. Kenduri kampung malah saya juga telah menjemput pihak Jabatan Muzium untuk datang ke sini menjalankan program berasaskan adat.

“Orang ramai juga boleh datang ke sini, tetapi ia tidaklah dibuka hari-hari ini. Dalam keadaan sekarang ia akan dibuka secara berskala. Saya akan sediakan risalah maklumat mengenai rumah ini nanti dan ia akan jadi rujukan kepada orang ramai dan pelancong yang mahu tahu mengenai sejarah dan keunikan rumah ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×