Laut mana yang tidak dipukul ombak. Itu perumpaaan mudah apabila kita berbicara soal hubungan cinta. Ya, tiada yang manis sentiasa. Pasti akan hadir ujian yang mematangkan kita.
Mendedahkan hubungannya dengan pendakwah, Haris Ismail sudah pulih, Neelofa bagaimana pun enggan memberitahu bila mereka akan disatukan. Itu cukup peribadi untuk dikongsi.
“Alhamdulillah, hubungan saya dan Haris baik-baik. Banyak salah faham dan cerita yang tidak berasas. Tapi sebenarnya ketika isu itu panas pun kami baik-baik sahaja.
“Tetapi untuk berkongsi lebih terutama soal tarikh perkahwinan, bukan sekarang. Saya mungkin akan beritahu dalam masa terdekat namun semuanya bergantung kepada keadaan pandemik ini,” katanya.
Malah jelas pengacara dan pelakon popular ini, hubungan Haris dan keluarganya yang sebelum ini dikatakan retak juga baik selepas isu yang berlaku diselesaikan secara baik dan tenang.
“Hubungan mana yang tidak dilanda badai kan? Pasti akan pahit manis dan turun naiknya. Tetapi kami belajar daripada apa yang berlaku.
“Malah selepas kami berbincang dan menjelaskan apa yang berlaku, hubungan Haris dan keluarga perlahan-lahan pulih. Perlu bagi masa untuk semua faham dan terima,” katanya.
Ditanya adakah dia sekarang sibuk merancang untuk majlis wedding of the year, Neelofa tergelak kecil. Dek pandemik yang kini sedang melanda dunia, impian kahwinnya sedikit berbeza berbanding sebelum ini.
“Pastinya banyak perkara yang kami harus korbankan dan pertimbangkan. Malah, dengan keadaan tidak menentu ditambah pula kes yang semakin meningkat, saya perlu rancang sebaiknya,” katanya.
Ustazah? Belum lagi
Pernah meletakkan impian mengembara ke Turki untuk mendalami ilmu agama, Neelofa tidak menyangka perancangan Tuhan itu lebih indah. Di usia 32 tahun, dia berpeluang mendalami ilmu tafsir dan agama.
“Sebelum ini memang sudah pasang hajat untuk belajar agama bila cecah usia 40 tahun, tetapi sekarang ini saya sudah mula kelas ilmu tafsir al-Quran dan dipermudahkan untuk mendekatkan diri dengan agama.
“Saya juga hendak belajar bahara arab, fahami hadis. Kalau dipermudahkan, saya mahu kongsi ilmu ini. Bukan untuk jadi ustazah atau bagi ceramah, tetapi sedaya upaya saya cuba berkongsi,” katanya.
Berbicara soal kerjaya seni, Neelofa berkata, dia pernah ditawarkan untuk mengelola beberapa program namun buat masa sekarang, dia cuma mahu fokus perniagaan dan kehidupan peribadinya.
“Terkejut juga bila ada pihak hendak letak wanita berniqab dan berpurdah untuk mengendali program pada waktu perdana. Tetapi, saya mohon masa untuk fikirkan dahulu.
“Buat masa sekarang, keadaan tidak mengizinkan. Bukan hendak percepat majlis kahwin ya, siapa buat cerita tu!” selorohnya.
The Noor, jihad kecil
TIDAK mudah berdiri sebagai seorang Neelofa. Setiap tingkah laku, butir bicara akan menjadi buah mulut. Dia seolah-olah dijadikan papan sasaran oleh pendekar papan kekunci.
Sedekad dia melukis warna di kanvas seni, pengalaman mematangkan dia. Tidak sesekali dia akan tumpas dek cercaan atau hinaan oleh segelintir mereka yang hanya tahu mencari salah.
“Saya dan kecaman sudah ‘bersahabat’ sedekad lamanya. Nak cakap apa, nak label apa pun terpulang. Sejujurnya, itu tidak memberi kesan. Saya tidak mahu beri fokus kepada kata-kata hina mereka.
“Malah, saya juga sering berkongsi nasihat dan pendapat apabila ada ahli keluarga yang turut dikecam. Masing-masing sudah besar. Hendak halang sukar jadi saya cuba yang terbaik,” katanya memulakan bicara.
Namun fokus utama perbualan kami bukanlah soal dirinya. Namun aplikasi gaya hidup Muslim, The Noor yang dilancarkan hujung minggu lalu. Satu kebanggaan dan jihad kecil Neelofa.
Enam bulan dia membangunkan aplikasi bersama tulang belakang The Noor, Mohd. Izzairi Yamin dan Ahmad Tajuddin Idris, idea asalnya bermula ketika Neelofa mengerjakan haji buat kali kedua.
“Saya ditawarkan untuk mengambil alih satu aplikasi sedia ada. Namun saya sahut cabaran untuk bermula daripada bawah. Bila jumpa pasukan, saya mahukan satu aplikasi yang kita boleh guna hari-hari.
“Istimewanya The Noor ini, kami turun menampilkan feature baharu iaitu bacaan al-Quran disertakan terjemahan dalam pelbagai bahasa. Itu kelebihan yang tidak ada pada aplikasi lain,” katanya.
Air mata jiwa
Menyumbang suara kepada terjemahan itu, berkongsi pengalaman, Neelofa berkata dia acap kali mengalirkan air mata apabila membaca kalam Allah dari sudut terdalam hatinya.
Katanya, hatinya terjentik dan tersentuh apabila memahami kalam Allah dengan lebih dalam. Menganggap itu pengalaman yang cukup bermakna, sesi rakaman suara itu membantu dia menambah keimanan diri.
“Saya dalam studio itu bersendirian berjam-jam membacaterjemahan ayat-ayat kitab suci. Hati tersentuh dan terbit satu rasa yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini.
“Kita sebut dengan jelas supaya mudah didengari dan difahami. Ada juga momen tiba-tiba sahaja air mata saya menitis kerana ada kisah dalam al-Quran yang cukup mendalam.
“Pendengar juga mungkin akan terdengar detik-detik bacaan saya dalam nada sebak. Bila kita faham dan mendalami kisah-kisah yang ada dalam kitab suci, secara automatik jiwa kita akan tersentuh,” katanya.
The Noor dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat, lokasi-lokasi masjid berdekatan ini turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa berbeza
Malah, The Noor juga bakal hadir dengan fungsi wasiat dan faraid dan akan memperkenalkan dompet digital (e-wallet) tidak lama lagi.










