APA persamaan antara Jepun dan Korea?
Di samping menjadi hub teknologi global, negara-negara itu, menurut Seattle Cancer Care Alliance (SCCA), berkongsi ciri sama iaitu mempunyai jumlah pesakit kanser usus yang ketara.
Menurut laporan SCCA berjudul What is Stomach Cancer, di kedua-dua negara itu – selain Eropah Timur serta Amerika Latin – rakyatnya mengamalkan budaya suka menjeruk, menggaram dan menyalai makanan, yang mana itu punca serangan kanser usus.

LATAR BELAKANG
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Azmawati Mohammed Nawi, kadar serangan kanser usus berkait rapat dengan tahap sosioekonomi dan gaya hidup tidak sihat seseorang.
“Kanser usus adalah kanser ketiga yang kerap berlaku di dunia. Kanser ini telah mendadak peningkatan di negara maju dan negara sedang membangun.
“Kanser usus ini dijangka meningkat sebanyak 70 peratus pada 2040. Ia adalah kanser kedua penyebab kematian akibat kanser, yang mana negara di Asia merupakan negara penyumbang kepada kes-kes kematian akibat kanser usus ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
DAGING PROSES PENDORONG UTAMA KANSER USUS
Kanser usus sering terjadi akibat faktor genetik dan gaya hidup yang tidak sihat.
“Namun, peratusan akibat faktor genetik adalah terlalu kecil berbanding peratusan akibat amalan dan gaya hidup yang tidak sihat, iaitu lebih 70 peratus punca diserang disebabkan faktor pemakanan.
“Jenis pemakanan adalah berkait rapat dengan kanser usus ini. Kaitan ini turut dibuktikan oleh kajian saintifik yang mana pengambilan daging merah berlebihan dan daging yang telah diproses boleh meningkat risiko mendapat kanser usus,” katanya.
Menurutnya, daging yang telah diproses seperti daging burger dan daging nyahbeku, adalah pendorong risiko tertinggi untuk mendapat kanser usus.
RAWATAN
Azmawati berkata, rawatan utama kanser usus adalah pembedahan tetapi ada juga kimoterapi, radioterapi atau rawatan paliatif bergantung pada tahap kanser juga.
“Kebanyakan pesakit kanser usus di Malaysia menjalani pembedahan iaitu sebanyak 70.8 peratus dan 35.9 peratus pula menerima kimoterapi.
“Pembedahan juga bergantung kepada umur, saiz ketumbuhan serta perebakan sel kanser. Doktor pakar bedah akan menilai sebelum pembedahan dilakukan dan ada pesakit hanya diberikan rawatan kimoterapi atau rawatan paliatif sahaja,” jelasnya.
GEJALA
Menurut Kementerian Kesihatan dalam rencana Kanser Usus dan Dubur, berikut adalah gejala seseorang mungkin diserang penyakit ini:
• Abdomen tidak selesa, termasuk kerap kembung, sebu dan kejang.
• Turun berat badan tanpa sebab
• Kerap penat atau letih lesu
• Perubahan habitat pembuangan najis.
• Cirit-birit, sembelit atau perasaan usus tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.
• Najis berwarna merah atau terlalu gelap.
• Najis kelihatan bersaiz kecil atau leper daripada biasa.
TIPS
Menurut portal Healthline.com dalam rencana bertajuk 13 Foods That Could Lower Your Risk of Cancer, berikut beberapa makanan semula jadi yang baik untuk mencegah penyakit ini:
Brokoli
Brokoli mengandungi sulforaphane, sebatian tumbuhan yang terdapat dalam sayur-sayuran. Ia mempunyai sifat antikanser yang kuat. Satu kajian tabung uji menunjukkan bahawa sulforaphane mengurangkan ukuran dan bilangan sel barah payudara hingga 75 peratus.
Lobak
Beberapa kajian mendapati bahawa makan lebih banyak lobak berpotensi menurunkan kadar risiko serangan kanser. Sebagai contoh, analisis melihat hasil lima kajian dan menyimpulkan bahawa makan lobak dapat mengurangkan risiko kanser usus sehingga 26 peratus.
Kekacang, terutama kacang hitam
Kacang mengandung serat tinggi, yang mana menurut beberapa kajian dapat membantu melindungi daripada barah kolorektal. Satu kajian terhadap 1,905 orang dengan sejarah kanser usus kolorektal, mendapati bahawa mereka yang memakan lebih banyak kacang kering dan dimasak cenderung mempunyai risiko penurunan sel kanser. Malah, kajian ke atas haiwan juga mendapati memberi makan tikus dengan kacang hitam atau kacang navy didapati menyekat perkembangan sel kanser usus haiwan itu sehingga 75 peratus.
Kulit kayu manis
Kayu manis terkenal dengan manfaat kesihatannya, termasuk mengurangkan gula darah dan meredakan keradangan. Beberapa kajian tabung uji dan haiwan mendapati kayu manis dapat membantu menyekat penyebaran sel kanser.










