UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) berkolaborasi dengan tiga syarikat bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tersebut.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya menyasarkan pelajar terkesan akibat Covid-19 untuk menjadi usahawan sama ada secara dalam talian, dropship dan membuka kiosk.
“Tiga kaedah ini digarap berupaya mendatangkan hasil. Projek ini dianggap perintis dan seandainya berjaya kita akan sebarkan seluruh kampus UiTM.
“Projek perintis dropship ini contohnya kita akan mulakan di UiTM Dungun, Machang dan juga Raub melibatkan 200 pelajar dengan produk Simplysiti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Simply SS Trading Sdn.Bhd. (Simplysiti), Shopee Mobile Malaysia Sdn.Bhd. (Shopee) dan Xinn Global Sdn.Bhd.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Prof.Emeritus Datuk Dr. Mohd.Azraai Kassim, Presiden Simplysiti, Datuk Sri Siti Nurhaliza Tarudin, Ketua Dasar Awam dan Hubungan Kerajaan Shopee, Leeroy Tin Kah Sing dan wakil Bahagian Pembangunan Xinn Global Sdn.Bhd., Zohriyyah Mokhtar.
Syed Zainal Abidin berkata, kerjasama dengan pihak Shopee melibatkan mana-mana pelajar atau fakulti yang mempunyai produk untuk dipasarkan di dalam laman sesawang perniagaan syarikat tersebut.
“Bagi kerjasama dengan Shopee ia melibatkan seramai 1,200 pelajar. Mereka akan membina laman mikro di dalam Shopee.
“Kerjasama dengan Xinn Global melibatkan enam pelajar UiTM untuk perniagaan kiosk,” katanya.
Pelajar terlibat akan diberi latihan oleh Xinn Global dan pihak UiTM bagi memastikan mereka mampu menjadi usahawan kiosk yang berjaya.
Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, pemilihan UiTM di kawasan berkenaan, berikutan kebanyakan wanita pantai timur, khususnya Dungun dan Machang sememangnya gemar melibatkan diri dalam bidang perniagaan.










