Kaedah Tafsir Tematik al-Ghazali - Utusan Malaysia

Kaedah Tafsir Tematik al-Ghazali

Sheikh Muhammad al-Ghazali yang digelar 'adib al-dakwah' oleh Imam Hasan al-Bana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang tokoh pemikir Islam yang banyak memberi pandangan yang kritis terhadap pemikiran ialah Sheikh Muhammad al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada 9 Mac 1917 di daerah Buhairah, Mesir.

Al-Quran dalam kamus kehidupannya amat rapat. Menghafaznya pada usia kanak-kanak dan selalu membacanya sama ada di rumah atau dalam perjalanan.

Kebiasaannya beliau khatam hafazan al-Quran dalam solat sebelum melelapkan mata ketika bersendirian. Beliau pernah berkata: “Aku pernah khatam al-Quran ketika dalam penjara dan sesungguhnya al-Quran adalah penghibur dalam saat menakutkan sebegitu”.

Pada tahun 1937, Sheikh al-Ghazali menamatkan pengajian peringkat menengah. Kemudian melanjutkan pengajian dalam kuliah usuluddin di Universiti al-Azhar sehingga berjaya pada tahun 1941. Meneruskan lagi pengajian di peringkat alamiyyah menyamai ijazah doktor falsafah (PhD) pada masa ini dan berjaya pada tahun 1943.

Sheikh al-Ghazali mempunyai hubungan yang rapat dengan Sheikh Hasan al-Bana. Beliau menceritakan semasa pengajian menengah di Iskandariah sudah menjadi kebiasaannya mengulangkaji pelajaran di Masjid Abdulrahman Ibn Hurmuz.

Katanya, pada satu petang ada seorang pemuda yang aku tidak mengenalinya memberi tazkirah pendek berkenaan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Takutlah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan kerana ia akan menghapuskannya. Dan berakhlaklah kamu dengan akhlak yang baik.

Ucapan tersebut amat berbekas di hatinya dan bermula saat itu hubungannya dengan Imam Hasan al-Bana amat kuat sehinggalah Hasan al-Bana syahid pada 1949.

Dalam penulisan, Sheikh al-Ghazali amat aktif menghasilkan artikel yang berilmu dan memberi kesedaran kepada ummah.

Pada tahun 1945, Hasan al-Bana mengutus surat kepadanya memuji artikel yang ditulis dalam majalah al-Ikhwan dari sudut susunan ayat, makna yang tersurat dan tersirat serta gaya bahasanya yang kemas dan kukuh sambil menyatakan, “beginilah sepatutnya cara kamu menulis wahai ikhwan al-muslimun”.

Bermula tarikh tersebut, Hasan al-Bana memberi gelaran adib al-dakwah (sasterawan dakwah) kepada Sheikh al-Ghazali.

OBJEKTIF AL-QURAN

Mengikut Sheikh al-Ghazali dalam kitabnya Feqh Sirah, Allah SWT mengajar Nabi SAW dan baginda menerima ilmu pengetahuan yang hidup ini, mencernakanya dalam diri sendiri, mengajarnya kepada manusia dan mewajibkan mereka mengamalkanya.

Penurunan al-Quran adalah ketentuan Allah untuk merawat jiwa, memimpin umat dan menetapkan hukum-hakam dan undang-undang.

Penurunan al-Quran dalam tempoh 23 tahun sehingga terhimpun lengkap, keserasian objektif dan keterangannya adalah satu kemukjizatan al-Quran. Ini kerana ayat-ayat yang turun di penghujung tempoh itu tetap selari, sejajar dan sama dengan ayat-ayat yang turun di peringkat awalnya.

Sebahagian ayatnya mengesahkan sebahagian yang lain tanpa percanggahan seolah-olah semuanya diturunkan sekali gus dalam satu nafas.

Seperkara yang menarik juga ulasan Sheikh al-Ghazali berkaitan al-Quran ialah ia mula diturunkan dalam masyarakat jahiliah yang penuh dengan kekufuran dan jiwa bercabang. Lidah mereka pula amat pandai berdebat.

Satu pilihan yang tepat di mana semua keraguan, cabaran dan kebatilan wujud dalam masyarakat tersebut. Apabila Islam berjaya mengubah semua keraguan dan mengatasi semua halangan maka sudah pasti Islam amat berkemampuan untuk mengatasi semua keraguan dan halangan yang kurang dari itu.

KAEDAH TAFSIR TEMATIK

Istilah tafsir tematik atau maudhui ini mula popular pada kurun 14 hijrah selepas Kuliah Usuludin di Universiti al-Azhar menetapkan subjek ini sebagai sukatan pengajian.

Namun begitu, dalam pengajian tafsir kaedah tradisional sudah ada unsur tematik seperti tafsir al-Quran dengan al-Quran. Tafsir al-Quran dengan al-Quran ini adalah isi kepada tafsir tematik. Semua ayat al-Quran dikumpulkan dalam satu tajuk.

Dalam memberi pengajaran kepada para sahabat r.a, Nabi SAW menggunakan uslub ini. Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis bahawa Nabi SAW mentafsir ayat 59, surah al-An’am: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahui melainkan Dia-lah sahaja.

Lalu Nabi SAW bersabda: Perbendaharaan ghaib ada lima. Nabi SAW membaca ayat terakhir surah Luqman yang bermaksud: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, yang mengetahui dengan sebenarnya tentang apa yang ada dalam rahim ibu mengandung, tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya. (Luqman: 34)

Begitu juga dengan tafsir ayat ahkam yang dibuat oleh para ulama fikah. Mereka mengumpul semua ayat berkaitan solat sebagai contoh dan menafsirkan serta membuat kesimpulan hukum. Ia juga sebenarnya tafsir tematik.

Tafsir tematik mempunyai dua bahagian.

Pertama: kajian terhadap satu kalimah kemudian mengumpulkan keseluruhan ayat al-Quran yang ada kaitan dengan kalimah yang dikaji tersebut. Selepas dikumpul, dilakukan tafsiran dan istinbat mengikut bentuk yang digunakan dalam al-Quran.

Kedua: meletak satu tajuk tertentu dan mengkaji ayat-ayat yang berkaitan tajuk tersebut. Amat mengagumkan kerana tajuk atau isu yang dikaji dan dianalisa mendapati bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup dan keterangannya amat sempurna.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Tafsir Maudhui untuk surah al-Quran menyatakan, kaedah yang digunapakai dalam kitabnya ini belum pernah diterokai oleh ulama sebelumnya.

Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kesatuan tajuk dalam setiap surah walaupun banyak isu dalam sesuatu surah.

Dalam hal ini, Sheikh al-Ghazali mengikut model yang dibuat oleh Sheikh Abdullah Darraz ketika mana beliau menjadikan surah al-Baqarah iaitu surah yang terpanjang dalam al-Quran dan banyak bab yang dibincangkan, seolah-olah kesemua tajuk yang dibincang berada dalam satu bakul dengan jalinan yang kukuh.

Beliau berkata, umat Islam amat memerlukan tafsir dalam bentuk ini. Ini kerana menurut beliau: “Aku sudah bersahabat dengan al-Quran sejak kecil lagi, menghafal al-Quran ketika usia 10 tahun dan aku masih membacanya sedangkan usiaku sudah masuk ke angka 80. Maka wajib kepadaku menyelami makna setiap ayat untuk mendapatkan hubungan dengan ayat sebelum dan selepas. Seterusnya memperkenalkan bahawa semua ayat dalam sesuatu surah mempunyai ikatan yang sangat kukuh dan padu.

Pada 9 Mac 1996, ketika menghadiri seminar Islam dan cabaran semasa di Riyadh, Arab Saudi, Sheikh Muhammad al-Ghazali meninggal dunia. Jenazahnya dibawa ke Madinah al-Munawarah dan dikebumikan di perkuburan Baqi’.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×