MALAYA GRILL menawarkan diskaun 15 peratus kepada 30 pembaca Utusan Malaysia terawal dengan membawa keratan kupon dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini. Terbuka kepada semua warga Malaysia. Promosi berlangsung pada hari ini esok (30 & 31 Januari). Malaya Grill terletak di 107, Jalan Nautika A U20/A, Pusat Komersial TSB, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.
Padu! Itu yang boleh saya gambarkan apabila mencuba sendiri hidangan nasi arab kambing Malaya Grill yang pernah tular suatu ketika dahulu.
Nasinya lembut, berperisa, malah aroma kambing panggangnya wangi hingga membuka selera.
Ditambah dengan dua jenis kuah, kari dan lada hitam serta salatah sebagai pelengkap rasa.
Pemiliknya, Norhasyimah Mohamed Arip berkata, aroma kambing panggang, sememangnya merupakan sajian signature, apabila rata-rata pelanggan mengatakan mereka dapat mengecam aroma kambing Malaya Grill.

Berkongsikan keistimewaan resipi, Pengarah Operasi Syarikat, Khairol Nizafi Ajumain memberitahu, beliau dibantu isteri, mengambil masa dua tahun mengolah rempah ratus terbaik dan berkualiti bagi menghasilkan kambing panggang yang enak.
Khairol yang juga ketua cef berkata, berbekalkan pengalamannya selama 13 tahun sebagai tukang masak dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau mencipta kaedah mengadun sendiri perapan istimewa menggunakan 13 jenis rempah ratus terpilih.
“Sebanyak 13 jenis rempah ratus inilah menjadi bahan utama dalam resipi. Ia bukan sahaja menjadikan rasa daging lebih enak dan empuk tetapi dapat mengurangkan bau hamis kambing sebaliknya digantikan dengan aroma rempah.
“Malah, ada antara pelanggan kami yang tidak makan daging kambing sebelum ini, mulai sukakannya kerana mereka kata kambing kami tidak berbau kuat,” ujarnya.
PREMIUM
Jenis daging premium turut berperanan penting dalam merealisasikan keenakan hidangan.
Restoran beroperasi sejak 2017 itu menggunakan daging kambing New Zealand. Kelebihan kambing import itu kerana ia memiliki daging lebih lembut dan sedap. Barangkali supaya dapat selari dengan tagline restoran, King of Lamb.
Perapan turut menjadi aspek penting dalam menentukan keenakan rasa. Lebih lama daging diperap, lebih sedap rasanya. Rempah ratus itu akan sebati dalam daging, sekali gus membuatkan daging menjadi lebih empuk dan beraroma.
Selain Nasi Arab Kambing dan Ayam, Shoulder Lamb dan Kambing Sell Out, Crispy Lamb turut digemari ramai.
Daging kambing rangup itu dihidang bersama sos dan sayur.
Kesemua resipi diolah menepati selera masyarakat tempatan antaranya Kambing Sell Out. Ia menggunakan daging bahagian bahu. Daging dipotong kecil sebelum dipanggang bersama sos barbeku istimewa. Sambal kicap sebagai pencicah, adalah pelengkap juadah.










