PELAJAR Sekolah Menengah (SM) Sains Batu Pahat Johor dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol Negeri Sembilan masing-masing menjuarai pertandingan qasidah dan bercerita Mawlid Fiesta anjuran Inasis Malten Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pelajar tingkatan tiga SM Sains Batu Pahat Johor, Nur Arief Haryz Zaharuddin berkata, keputusan menyertai pertandingan itu dibuat selepas berbincang dengan 13 ahli kumpulan dan ustazah Ruseedah Abu Bakar.
Katanya, mereka mengambil masa tiga hari menyiapkan video sebelum dihantar kepada penganjur.
“Kata sepakat diambil memandangkan pandemik Covid-19 membataskan kami menyertai pertandingan secara bersemuka sekali gus merumitkan untuk mengumpul sijil sebagai pengesahan menyertai aktiviti di peringkat sekolah,” katanya.
Rezeki menjadi milik kumpulan Nahawand Uviicy SM Sains Batu Pahat apabila diumumkan pemenang pertama pertandingan Qasidah Cinta sempena Mawlid Fiesta 2020 itu.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan An-Niqmah dari Masjid Bukit Piatu Melaka dan ketiga dimenangi oleh Nur Qasidah dari SBPI Jempol.
Sementara itu, pelajar tingkatan dua SBPI Jempol, Negeri Sembilan, Nurul Hazirah Mad Zain diumumkan sebagai johan pertandingan bercerita Orasi Jiwa.
Kata Nurul Hazirah, dia mengambil masa dua hari menyiapkan skrip mengenai peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sebelum merakamnya dalam video.
“Saya terkejut diumumkan sebagai pemenang pertama kerana tidak sangka percubaan untuk mendapatkan sijil penyertaan membuahkan hasil.
“Terima kasih kepada Inasis Malten UUM yang menganjurkan pertandingan ini,” katanya.
Pertandingan secara dalam talian itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Antara pertandingan yang diadakan ialah qasidah, nasyid, deklamasi sajak, penulisan sajak dan bercerita.
Majlis penutupan dilakukan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin.










