PANDEMIK Covid-19 melanda dunia bukan alasan untuk tidak menyambut Maulidur Rasul kerana sebaliknya ia boleh dilakukan menerusi dalam talian.
Ia seperti dijayakan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Program Semarak Maulidur Rasul baru-baru ini.
Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Prof. Madya Dr. Che Ghani Che Kob berkata, program diatur tidak hanya memberi peluang kepada mahasiswa mengingati sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya mendedahkan pelajar menghayati sirah hidup baginda.
“Kita mahu memberi ruang kepada pelajar mencontohi akhlak dan budi pekerti mulia dimiliki oleh Rasulullah menerusi seminar dan program yang kita anjurkan,” katanya.
Program anjuran MMKLK itu berlangsung dari 29 Oktober sehingga 6 Disember lalu.
Antara pengisiannya ialah pertandingan melukis poster, syarahan dan nasyid secara solo.
Pertandingan syarahan, dimenangi pelajar Evilin Faisal dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, manakala nasyid solo dimenangi pelajar dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Zaid Zarith Sohaimi.
Sementara itu, pertandingan melukis poster dimenangi oleh Halid Walid dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK).
Pemenang diumumkan Ahad lalu menerusi medium Facebook rasmi UKLK.
Acara dirasmikan penasihat program merangkap felo Exco Kebajikan dan Kerohanian, Najah Saghirah Haroman.
Najah berkata, program itu adalah salah satu usaha murni meneruskan menyantuni mahasiswa dalam memperingati detik kelahiran Rasulullah SAW.
“Oleh itu, ia perlu diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.










