SELARI dengan peredaran masa, bukan wanita sahaja mementingkan gaya dan ketrampilan, kaum lelaki juga sudah mula menitikberatkannya.
Lelaki kontemporari masa kini tidak lagi mengenakan pakaian asas seperti sehelai kemeja dan seluar polos sebaliknya gemar mengenakan aksesori seperti beg, bertopi, berskaf lilit di leher dipadankan dengan kaca mata yang melengkapkan gaya.
Namun, untuk kekal bergaya dan berketrampilan mesti disertai dengan pengetahuan agar setiap gaya yang dikenakan kelihatan segar dan tidak berlebihan.
Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faizal Hamid berkata, setiap lelaki mempunyai cita rasa berbeza namun perubahan dalam berfesyen perlu dilakukan dari semasa ke semasa untuk lebih kelihatan menarik.

Berikut beliau kongsikan pendapatnya mengenai fesyen yang sederhana tetapi bergaya sesuai untuk meningkatkan keyakinan setiap pria yang gemar berekspresi dengan gaya terkini. Panduan untuk lebih berketrampilan buat lelaki:
* Cita rasa: Untuk miliki ketrampilan hebat tidak semestinya anda perlu sentiasa bergaya mewah dengan pakaian mahal dan berjenama, kerana paling mustahak cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian. Utamakan mutu, pilihan potongan ringkas dan elemen perincian berseni dan klasik.

* Sekarang: Mahal atau murah itu subjektif. Isi almari anda dengan pakaian asas dan klasik (dari segi potongan dan warna). Tidak perlu tergesa-gesa, mulakan sedikit demi sedikit mulai sekarang.
* Jimat: Pastikan setiap kali anda membeli pakaian baru, ia padan dengan apa yang ada dalam almari anda kerana ia lebih jimat pada masa sama mengelakkan pembaziran. Susun atur pakaian dan perhiasan untuk acara rasmi atau santai.

* Selesa: Gaya pakaian menarik dan nampak selesa digayakan model, mungkin sebaliknya bagi anda. Justeru, sesuai dan selesa dalam berpakaian perlu anda ambil kira dalam berfesyen.
* Ekspresi: Gaya lelaki kontemporari bukan hanya dari hujung rambut hingga hujung kaki dengan fesyen berjenama tetapi lebih penting lagi cara mengekspresi diri dan menyuai padan pakaian dan aksesori dengan cara sofistikated.

* Diri Sendiri: Jangan terlalu mencuba. Perlu diingat yang paling utama bergaya adalah untuk kepuasan diri sendiri.
* Yakin: Menjadikan seseorang lelaki itu itu seksi adalah keyakinannya terhadap diri sendiri. Seksi juga bukan bergantung kepada umur seseorang tetapi bergantung kepada pembawaan diri.










