Kehebatan Abdullah Ibn Abbas dalam ilmu tafsir al-Quran - Utusan Malaysia

Kehebatan Abdullah Ibn Abbas dalam ilmu tafsir al-Quran

Selain membca al-Quran, umat Islam disaran menghayati tafsirannya sebagai pedoman hidup di atas muka bumi ini. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sahabat r.a adalah orang yang beriman dengan Rasulullah SAW dan hidup di kurun yang terbaik kerana bersahabat dengan Nabi SAW. Mereka mempunyai iman yang kuat dan kental dalam berjuang menyebarkan Islam. Berdakwah dengan gigih di bawah tunjuk ajar Nabi SAW.

Antara kelebihan mereka adalah dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW menerima wahyu. Dikatakan iman yang ada pada sahabat ini ialah iman yang paling tinggi dan hati yang paling benar.

Dalam ilmu tafsir ramai sahabat r.a yang dijadikan sumber rujukan. Salah seorang yang mendapat anugerah ini ialah Abdullah Ibn Abbas r.a. Beliau dilahirkan di Mekah, tiga tahun sebelum peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah al-Munawarah. Seorang sahabat yang mempunyai banyak ilmu dan luas pengetahuan dalam banyak disiplin ilmu seperti fikah, hadis dan tafsir.

Abbas ialah bapa saudara Nabi SAW. Dalam sirah, beberapa kali Nabi SAW berdoa kepada Ibn Abbas. Selepas dilahirkan, Ibn Abbas dibawa kepada Nabi SAW untuk ditahnik dan mendoakan kepadanya: “Wahai Allah, kurniakan kepadanya kefaqihan dalam agama dan alimkannya dalam ilmu tafsir”.

Berkat doa tersebut, Ibn Abbas menguasai ilmu tafsir dan ilmu-ilmu lain sehingga digelar pentafsir al-Quran.

Beliau selalu dilihat bersama Rasulullah SAW. Malah jika Nabi SAW mahu berwuduk, Ibn Abbas akan mengambilkan air kepada baginda. Satu malam ketika Rasulullah SAW di rumah isterinya Maimunah bint al-Harith r.ha, baginda bangun untuk tahajud.

Baginda mendapati telah tersedia bekas air untuk berwuduk. Maimunah berkata: Abdullah Ibn Abbas menyediakan bagi mu wahai Rasulullah air wuduk ini. Lantas Nabi SAW berdoa: Wahai Allah faqihkan dia dalam urusan agama dan alimkanya dalam ilmu tafsir.(Riwayat al-Hakim).

Satu ketika Nabi SAW menunggang unta dan di belakangnya Ibn Abbas. Nabi bersabda kepadanya: Wahai budak aku ajar kepada kamu beberapa perkara. Jagalah Allah maka Allah akan menjaga kamu, jagalah Allah maka kamu dapati Allah bersama kamu. Apabila kamu meminta maka mintalah kepada Allah. Apabila kamu mahukan pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah jika semua umat berkumpul untuk memberi manfaat kepada kamu nescaya tidak akan berlaku begitu kecuali apa yang telah ditulis oleh Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memberi mudarat kepada kamu nescaya mereka tidak akan mampu melakukan demikian kecuali apa yang Allah telah tentukan kepada kamu. Kalam telah diangkat dan suhuf telah kering. (Riwayat Tirmidzi)

Dalam hadis di atas, makna jagalah Allah ialah peliharalah ajaran Islam yang Allah sampaikan kepada manusia dengan mengikut arahan dan meninggalkan larangan.

Dalam ilmu hadis, Ibn Abbas telah meriwayat 1,660 hadis dengan pecahan 75 hadis diriwayatkan secara ittifaq, 110 hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan 49 hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Semasa baginda SAW wafat, Ibn Abbas berumur 13 tahun. Namun berkat usaha dalam menuntut ilmu dan berkat doa Nabi SAW, Ibn Abbas menjadi seorang yang selalu dirujuk dalam permasalahan yang timbul. Khalifah Umar Ibn Khattab telah mengambilnya sebagai penasihat dalam pemerintahannya.

FITNAH BESAR

Dalam sejarah Islam, fitnah besar dalam kalangan umat Islam berlaku semasa pemerintahan Ali Ibn Abi Talib dengan Muawiyah Ibn Abi Sufian. Sekumpulan manusia tidak bersetuju dengan keputusan perdamaian yang dibuat oleh Ali Ibn Abi Talib dan Muawiyah Ibn Abi Sufian. Mereka melaungkan slogan tidak ada hukum kecuali Allah. Ali Ibn Abi Talib menolak slogan tersebut dengan berkata kalimah yang benar tetapi mahukan kebatilan.

Bagi mengatasi masalah kumpulan khawarij yang tidak faham maslahat keputusan yang diambil dan salah faham mereka terhadap nas, Ali Ibn Abi Talib menerima permintaan Ibn Abbas untuk berdialog dengan kumpulan khawarij ini.

Dalam dialog itu, kumpulan khawarij mengemukakan tiga hujah kenapa mereka menolak keputusan Ali Ibn Abi Talib. Pertama, tidak ada hukum yang boleh diterima kecuali hukum yang telah diputuskan Allah, tetapi kenapa isu peperangan diserah kepada beberapa lelaki untuk diputuskan.

Kedua, berperang tetapi tidak ada tawanan dan rampasan peperangan sedangkan jika pihak lawan kafir sesungguhnya perlulah mereka ditawan dan jika pihak lawan beriman tidak harus menawan mereka atau memerangi mereka.

Ketiga, Ali Ibn Abi Talib telah memadam gelarannya sebagai Amirul mukminin. Dan jika dia bukan Amirul mukminin maka dia adalah Amirul kafirin.
Ibn Abbas mendengar dengan teliti dan menjawab satu persatu hujah yang dikemukakan yang berpunca daripada salah faham dan tidak faham dengan nas dan situasi yang berlaku.

Pada awalnya, Ibn Abbas menyatakan jika aku bacakan kepada kamu al-Quran dan jawab dengan mengguna sunnah nabi menolak semua hujah kamu, apakah kamu akan kembali kepada kebenaran? Mereka menjawab: “Ya”.

Kamu berkata tidak diputuskan hukum kecuali Allah dan kenapakah diserahkan hukuman diputuskan oleh lelaki dalam urusan agama. Sesungguhnya Allah telah memberikan hukum untuk diputuskan oleh lelaki dalam urusan seperempat dirham.

Allah menyuruh manusia putuskan hukum tersebut dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang yang beriman janganlah kamu membunuh binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja maka dendanya dengan binatang ternakan yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu. yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu. (al-Maidah: 95)

Itu adalah hukum Allah yang diberikan kepada beberapa lelaki untuk diputuskan. Secara jujurnya aku bertanya kepada kamu adakah lebih berhak memberi hukum dalam urusan menjaga darah umat Islam lebih afdal atau urusan menjaga arnab? Mereka menjawab: bahkan urusan ini lebih afdal.

Ibn Abbas turut membaca ayat 35 surah al-Nisa’ yang menyatakan tentang isu memperbaiki hubungan baik antara suami isteri yang mengutuskan wakil setiap orang berbincang untuk kebaikan.

Hujah tidak menawan yang kalah sebagai tawanan dan tidak merampas harta, dijawab oleh Ibn abbas dengan membaca ayat 6 surah al-Ahzab. Di mana dalam ayat tersebut menyatakan bahawa isteri nabi adalah ibu kepada umat Islam. Adakah kamu hendak menawan ibu kamu sendiri? Semua hujah Ibn Abbas diterima dengan baik dan 2,000 daripada 6,000 kumpulan khawarij tersebut kembali ke pangkal jalan.

Ilmu tafsir yang ditinggalkan oleh Ibn Abbas menjadi rujukan para ulama dan masyarakat Islam. Fahamilah tafsir dengan metod yang betul dan jauhilah sikap ekstrem dalam memahami nas al-Quran.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN