Islam rai perbezaan pandangan fikah - Utusan Malaysia

Islam rai perbezaan pandangan fikah

SEGALA aspek dalam kehidupan perlu bersandarkan kepada kehendak Allah dan Rasul. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILMU fikah adalah ilmu mengajar kita untuk hidup di dunia ini dengan menjadikan segala kemahuan dan perilaku sama dari sudut ibadah, ekonomi, perkahwinan, perundangan dan kenegaraan adalah tunduk kepada kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak akan beriman seorang pun daripada kalian (secara sempurna) sehinggalah hawa nafsunya adalah pengikut kepada apa yang daku telah datang membawanya”.

Ilmu fikah secara mudahnya adalah ilmu membahaskan hukum halal dan haram bagi segala perbuatan para mukallaf (orang yang baligh dan berakal). Ilmu ini adalah bersumberkan dalil-dalil syarak muktabar iaitu al-Quran, hadis, ijmak, qiyas dan dalil lain.

Oleh kerana bukan semua individu mempunyai kepakaran memahami dalil-dalil syarak secara halus dan terperinci, maka bagi memastikan manusia mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam segala tindak-tanduk mereka, para fuqaha selaku pakar ilmu fikah bertungkus-lumus memudahkan manusia dengan cara mengkaji secara langsung ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW, ijmak, qiyas dan pelbagai dalil syarak lain bagi mencari apakah sebenarnya hukum bagi sebarang perbuatan dilakukan oleh manusia.

Hasil kajian mereka atau juga disebut sebagai ijtihad direkodkan, dibukukan dan diajarkan kepada murid mereka dan terus diwarisi sehingga ke saat ini.

Oleh kerana kefahaman seseorang fuqaha terhadap dalil syarak tidak sama dengan kefahaman fuqaha lain, maka kita sering dapati berlaku perbezaan pandangan dalam dunia fikah. Sebagai contoh, al-Imam al-Syafie berpandangan sentuhan kulit antara suami isteri tanpa lapik, membatalkan wuduk sekalipun tanpa syahwat.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma-idah ayat ke-6 antara lain menyebut bahawa bersentuhan antara lelaki dan wanita akan membatalkan wuduk. Namun al-Imam Malik pula selaku guru al-Imam al-Syafie berpandangan, maksud ‘bersentuhan’ yang diinginkan oleh ayat ke-6 itu adalah bersentuhan secara bersyahwat. Ada pun bersentuhan kulit tanpa syahwat, ia tidak membatalkan wuduk.

Al-Imam Malik berhujahkan hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim menunjukkan bahawa Rasulullah SAW ketika sedang solat malam di rumah Saidatina Aisyah pernah menyentuh beliau agar Saidatina Aisyah membengkokkan kakinya yang dilunjurkan di tempat sujud baginda. Ini kerana bilik Saidatina Aisyah adalah sempit sehingga beliau sewaktu tidur terpaksa melunjurkan kaki beliau di tempat sujud baginda.

Walau bagaimanapun bagi al-Imam al-Syafie, beliau memahami bahawa sentuhan berlaku semasa Rasulullah SAW sedang solat malam adalah secara berlapik. Bukannya bersentuhan kulit secara langsung supaya tidak berlaku pertentangan antara ayat al-Quran dan hadis.

Contoh ini menunjukkan sekalipun wujud perbezaan pandangan sesama para fuqaha semasa mereka menafsirkan dalil syarak dalam keadaan masing-masing berperasaan pandangan merekalah sebenarnya menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya. Ini sama sekali tidak mengundang masalah dari sudut syariat.

Ini kerana perbezaan pandangan fikah adalah dibenarkan dan diakui sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana berlaku dalam kisah peperangan Bani Quroyzoh. Semasa peperangan tersebut, Rasulullah SAW meminta para sahabat mara ke perkampungan Yahudi Bani Quroizah yang belot.

Baginda meminta para sahabat mendirikan solat fardu Asar selepas mereka sampai di kampung tersebut. Namun sewaktu solat masuk sebelum para sahabat sempat tiba di perkampungan Yahudi Bani Quroizah. Akhirnya para sahabat Rasulullah SAW berbeza pandangan.

Ada terus solat fardu Asar di perjalanan dengan berhujah bahawa mendirikan solat di awal waktu adalah tuntutan Islam manakala para sahabat yang lain pula melambatkan solat Asar. Mereka hanya mendirikannya setelah mereka tiba di perkampungan tersebut kerana berhujahkan arahan Nabi SAW meminta mereka mendirikan solat Asar di perkampungan tersebut.

Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, baginda sama sekali tidak menyalahkan kedua-dua kumpulan tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa kepelbagaian pandangan para fuqaha dalam memahami dalil syarak bukanlah kesalahan.

Fakta ini digurindamkan al-Imam Ahmad bin al-Husayn bin al-Hasan atau lebih dikenali dengan panggilan Ibnu Ruslan dalam kitab beliau, al-Zubad menerusi kalam indah yang bermaksud: “Al-Shafi‘iyy, Malik dan Nu’man. (Juga) Ahmad bin Hanbal dan Sufyân. (Begitu juga) selain mereka daripada seluruh para ulama (umat. Seluruh mereka berada) di atas hidayah dalam keadaan perbezaan (pandangan sesama mereka) adalah rahmat”

Sekalipun para fuqaha berbeza pandangan dari sudut fikah, namun pandangan tersebut tetap bersumberkan dalil syarak. Oleh itu ucapan seseorang yang mengatakan bahawa pandangan al-Imam al-Shafie contohnya dalam isu begian-begian telah menyanggah hadis Rasulullah SAW sebenarnya adalah tidak tepat. Ini kerana para fuqaha sebenarnya tidak menganggahi hadis baginda.

Namun kerap kali berlaku perbezaan pandangan mereka dalam memahami sabdaan baginda yang akhirnya melahirkan pandangan fikah yang beraneka ragam disebabkan perbezaan kefahaman tersebut.

Maka tidak hairanlah apabila guru kami Fadhilat al-Shaykh Sayyid Syaltut al-Shafi’iyy menyatakan bahawa kitab yang menghuraikan hadis-hadis Rasulullah SAW yang berkait dengan hukum-hakam fikah adalah kitab-kitab fikah.

Antara kesilapan lain sering berlaku pada zaman ini adalah pemikiran bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui terjemahan al-Quran dan hadis sudah layak terus mencari hukum-hakam fikah secara langsung daripada dua sumber ini. Akhirnya mereka sewenang-wenangnya berkata: “Ini halal dan itu pula haram kerana Allah telah berfirman ‘begini-begini’ dan Rasulullah SAW bersabda ‘sekian-sekian’.

Secara tidak langsung mereka telah mengangkat diri mereka berada pada tahap kepakaran seorang fuqaha seperti al-Imam al-Shafie sedangkan mereka sama sekali sangat jauh daripada tahap tersebut. Oleh itu penjelasan kepada masyarakat bahawa orang yang layak mencari hukum-hakam fikah secara langsung daripada al-Quran dan hadis hanyalah golongan fuqaha adalah sangat penting. Ada pun kita tidak memiliki keahlian tersebut, wajib berpegang dengan apa dinyatakan oleh golongan fuqaha.
————————–
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN