SEKIRANYA langkah pertama diambil tanpa rasa ragu, tujuh tahun lalu barangkali Iman Ikhtiman sudah berupaya mencipta kemilau bintang sebaris dengan temannya, Hael Husaini, Nabila Razali, Indah Ruhaila, Amira Othman dan Aisyah Aziz.
Pernah sama-sama bersaing dalam program Akademi Fantasia (AF) 2013, Iman bagaimanapun terkandas dalam perjudian nasib. Ini apabila usahanya untuk mencari ruang dalam industri seni tanah air seakan tidak nampak jalan.
Isunya di sini bukan dia tidak mencuba, tetapi setiap kali mengutarakan hasrat untuk menghasilkan lagu, entah mengapa Iman sering sahaja bertemu dengan pihak yang salah.
“Bila kita masih muda, ada sahaja orang yang mahu mengambil kesempatan. Senang cerita, saya ini kira bodoh lagi lah pada waktu itu.
“Keadaan itu membuatkan saya sering keliru untuk memilih yang mana. Ada banyak demo yang saya dapat, berpuluh jugalah termasuk ada antaranya daripada komposer dari Indonesia.
“Tapi itulah, banyak kali saya kena ‘main’. Janji macam-macam, lepas itu tak ada apa pun. Macam mana saya tak trauma?” kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.
Meski bagi individu yang berada, kerugian sebanyak RM20,000 mungkin tidaklah seberapa.
Namun bagi Iman, ia satu jumlah yang banyak terutama apabila mengenangkan semua itu adalah hasil titik peluhnya meraih kerja-kerja sambilan demi memastikan impiannya untuk bergelar penyanyi dapat diteruskan.
“Jujurnya, saya tak pernah rasa serik atau menyesal. Tetapi ada rasa takut dalam diri ketika nak memilih pihak yang betul untuk bekerjasama.
“Sebelum ada pengurusan sekarang, maaf cakap, ada yang cuba nak tipu saya dengan individu yang kononnya komposer, tetapi bila diselidik, orang dalam industri pun tak kenal.
“Saya tak menghina kerja orang. Tetapi bukan mudah juga untuk saya mengumpul duit untuk buat single. Tentulah tak mahu kena tipu lagi,” katanya.
Delusi bawa sinar
Baru kini melangkah yakin menerima pelawaan Mega Empire Music, meski 2020 bakal melabuh tirai, Iman optimis perjalanannya sudah diatur dengan cantik oleh Yang Maha Esa.
Baginya, lambat atau cepat bukan pokoknya kerana apa yang penting, dia tidak putus asa untuk meneruskan cita-cita.
“Saya tak adalah menyasarkan untuk menjadi seperti Hael, Nabila atau Amira kerana kalau nak dibandingkan, langkah saya masih jauh lagi.
“Cuma, sekurang-kurangnya jika selepas ini tidaklah saya cuma membawakan lagu cover sahaja apabila ada peluang untuk menyanyi.
“Kalau ikutkan, sebelum ini ketika menyertai band untuk acara-acara gig dalam selang waktu, saya asyik bawa lagu cover. Adakala bosan juga,” katanya.
Berkongsi cerita mengenai single berjudul Delusi, penyanyi berusia 30 tahun ini mengakui bersyukur dan gembira apabila bertemu ‘jodoh’ dengan komposer Ikhwan Fattana dan Wan Salleh yang disifatkannya sangat berbakat dan disegani.
Menerusi naskah lagu berjudul Delusi, Iman memasang langkah berani untuk membuat kemunculan pertamanya pada tahun hadapan.
“Bermula sebagai seorang peserta AF, kemudian sekadar suka-suka memuat naik aplikasi Smule di telefon pintar, saya sendiri pun tak sangka bakat yang ada ini akhirnya dilihat oleh pihak yang tepat.
“InsyaAllah, kalau tiada aral, tahun depan saya harap akan ada sinar baharu buat saya menerusi single ini. “Terima kasih buat semua pihak yang mendoakan dan menaruh kepercayaan terhadap bakat ini,” katanya.










