Pernah mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan dia diganggu peminat fanatik, jelas Fieya, sehingga kini perasaan trauma masih menyelubungi diri. Malah, dia juga lebih berhati-hati apabila berkongsi soal hidup di media sosial.
Mengakui masih ada segelintir individu yang mengganggu dirinya, namun jelas Fieya, dia tidak mahu ambil pusing serta mengambil pendekatan itu lebih menitik beratkan soal keselamatan apabila keluar rumah.
“Saya rasa semua artis pernah melalui pengalaman dikacau peminat di media sosial. Saya sendiri pernah menerima pesanan yang pelik dan lucah. Cuma saya buat tak tahu sahaja.
“Mungkin ada yang fikir, normallah jika seorang lelaki mengacau wanita namun jika ‘gurauan’ itu keterlaluan, itu bukan sekadar mengusik. Saya tidak mahu normalisasikan perkara itu,” katanya.
Berbicara soal kerjaya, mengakui timbul kerisauan apabila pandemik Covid-19 semakin membimbangkan, Fieya bagaimanapun menyerahkan soal rezeki kepada Tuhan. Dia percaya percaturan-Nya lebih hebat daripada perancangan manusia.
Namun, berfikir di luar kotak, Fieya mula mencari jalan lain untuk menambah pendapatannya. Mula bermain permainan PUBG secara streaming di Facebook, sedikit sebanyak dia dapat mempromosikan diri dan menambah kelompok peminat.
“Saya risau juga takut orang lupa siapa Fieya Julia bila jarang keluar televisyen dan buat persembahan. Jadi salah satu cara saya adalah bermain permainan PUBG secara langsung di streaming Facebook.
“Di situ saya memperkenalkan diri dan dalam masa sama, dapat mengisi masa terluang kerana terpaksa duduk di rumah. Saya juga dapat mencari rezeki menerusi cara itu. Bolehlah tampung kehidupan sedikit sebanyak.
“Mula-mula ada yang tidak kenal saya, tetapi lepas nyanyi lagu Perasaanku, baru mereka ingat. Seronok juga bertemu peminat di ruangan permainan streaming seperti itu,” jelasnya yang mahu mencuba dunia lakonan.
Atur langkah
Bergelar anak seni bukan tiket mudah untuk bergelar jutawan. Kalau tidak, masakan hanya 10 peratus sahaja anak seni yang mampu hidup mewah, namun selebihnya masih perlu kerja keras. Itu kenyataan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Namun langkah atur seorang anak seni itu harus selari dengan niat. Andai tersadung, pasti buruk padahnya. Besar kemungkinan, boleh terus hilang meninggalkan samar-samar bayangan populariti.
Menolak keras kehidupan mewah namun penuh noda, bagi Fieya Julia, kanvas anak seni tidak boleh dicemari dengan lumpur. Sebaliknya perlu diwarnai dengan corak penuh kejayaan dan kehebatan.
Sedar diri masih jauh untuk bergelar hebat, perjalanan Fieya sedikit tergendala dek pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Tiada tawaran pentas mahupun kerja seni sedikit menyusutkan simpanan.
Namun dia tidak mahu mengalah. Hadir dengan single baharu, penantian, langkah semula penyanyi berusia 21 tahun ini mengharapkan peminat terus memberi sokongan padu terhadapnya.
“Saya tidak meletak harapan tinggi namun sebagai penyanyi, pastinya kita mahu peminat sokong dan suka single baharu. Apatah lagi jika stesen radio sudi memainkan lagu tersebut dan ada penerbit drama mahu jadikannya sebagai runut bunyi.
Memang sukar untuk kami ‘bernafas’ dalam keadaan pandemik ini. Namun, saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini. Saya juga mula mencari pendapatan dengan medium berbeza.
“Apa yang penting, saya masih mengeluarkan produk seni sebagai jaminan untuk terus relevan. Saya juga masih muda, jauh lagu perjalanan dalam dunia seni,” jelas anak kelahiran Sarawak ini.
Mula menerjah masuk ke dalam industri dengan lagu Perasaanku, ramai peminat yang tahu kewujudan single pertamanya berbanding nama Fieya Julia. Mengakui benar perkara itu, namun Fieya sedikit pun tidak berkecil hati.
Menganggap itu sebagai cabaran untuk dia terus mempromosikan namanya, Fieya tetap bersyukur kehidupannya kini sedikit berubah dengan hasil mencari rezeki sebagai anak seni.
Diaju soalan tidakkah dia khuatir andai satu masa nanti, dia bakal kehilangan populariti apabila berumah tangga, gadis ini hanya melirik senyuman manis seraya menggelengkan kepala.
“Apa yang saya dambakan dalam kehidupan adalah kebahagian. Andai perkahwinan itu lebih membahagiakan, tidak mengapa andai tidak popular. Tetapi peminat sekarang bukan begitu lagi.
“Saya rasa mereka tetap memberi sokongan walaupun penyanyi atau pelakon kesukaan mereka sudah mendirikan rumah tangga. Itu kualiti peminat yang kita mahu,” jelas bekas peserta Big Stage musim kedua ini.










