Pradiabetes boleh dilengahkan, elak komplikasi lebih teruk - Utusan Malaysia

Pradiabetes boleh dilengahkan, elak komplikasi lebih teruk

PENCEGAHAN awal elak diabetes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POPULAR dengan jolokan si pembunuh senyap, penyakit diabetes atau kencing manis tentunya tidak harus dipandang remeh.

Namun, tidak ramai tahu, keadaan awal sebelum penyakit itu berada di tahap serius, fasa pra-diabetes juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

Presiden Persatuan Diabetes Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ikram Shah Ismail (gambar) berkata, sekitar rantau Asia, Malaysia menduduki antara tempat tertinggi dari segi bilangan pesakit yang menghidap penyakit ini.

DR. Ikram Shah Ismail.

Katanya, bagi mengelakkan ia terus berlaku, individu berisiko boleh menangani penyakit itu sejak di peringkat pradiabetes.

“Pradiabetes dikenal pasti pada keadaan di mana paras gula darah adalah tinggi, namun tidak keterlaluan sehingga boleh dikategorikan sebagai diabetes.

“Ia boleh dikesan apabila bacaan gula darah berada di paras tinggi di julat normal bacaan gula dalam darah individu,” katanya dalam kempen ‘Jom Kita Ubah’ baru-baru ini.

Turut serta Pakar Perunding Endokrinologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Alexander Tan dan Presiden dan Pengarah Urusan Merck Malaysia, Christoph Hamann.

Kempen bertujuan memberi kesedaran pengesanan awal diabetes, dianjurkan bersama Merck Malaysia dan Persatuan Diabetes Malaysia.

Dr. Ikram berkata, pengesanan agak sukar pada awalnya, kerana individu yang menghidapinya mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.

Katanya, rawatan pradiabetes boleh dilakukan di mana ia memberi peluang untuk sekurang-kurangnya melengahkan ia daripada menjadi lebih kronik.

“Umumnya, pradiabetes tidak memperlihatkan gejala jelas seperti kerap berasa haus, terlalu kerap kencing dan penglihatan kabur.
Sebaliknya ia boleh disahkan menerusi ujian darah.

“Pun begitu, apa yang bahayanya, risiko mendapat diabetes boleh mencapai antara 10 hingga 20 kali ganda lebih tinggi berbanding individu tidak mengalami pradiabetes,” katanya.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, mendedahkan penyakit tidak berjangkit (NCD) amat berleluasa di Malaysia, termasuk diabetes yang dialami kira-kira 3.9 juta dewasa berusia 18 tahun ke atas atau nisbah satu daripada lima rakyat di Malaysia.
Dr. Ikram berkata, kebanyakan penghidap diabetes mengalami diabetes jenis 2.

“Selain daripada meningkatkan risiko menghidap diabetes, apa yang membimbangkan pradiabetes juga boleh menyebabkan masalah kesihatan lain seperti komplikasi jantung, mata dan buah pinggang.

Data terbaharu menunjukkan kelaziman masalah toleransi gluokasi terjejas (IGT), satu ukuran yang digunakan untuk mengenal pasti pradiabetes, adalah pada kadar 15.5 peratus dengan 3,398.9 juta dewasa berusia 20-79 tahun yang mengalaminya.

Jangan berlengah
Kebanyakan pesakit ditemui terutama yang menghidap diabetes, melakukan sesuatu selepas disahkan menghidap penyakit tersebut.

PESAKIT diabetes perlu bergantung kepada ubat sepanjang hayat.
– Gambar Hiasan

Sementara itu, Dr. Alexander Tan berkata, situasi itu berlaku disebabkan pesakit berkemungkinan tidak sedar mengalami pradiabetes atau memang tidak tahu betapa serius keadaan mereka.

Menyifatkan pesakit sudah terlambat di mana mereka terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayat, Dr. Alexander menyarankan individu berisiko, menjalani pemeriksaan segera.

“Jika mereka mengalami pradiabetes, mereka perlu berbincang dengan doktor mengenai apa yang boleh dilakukan dalam menguruskan situasi diabetes dihadapi,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan Hamann. Katanya, Jom Ubah antara lain bertujuan mendidik masyarakat mengenai penyakit itu dan menerangkan bagaimana tindakan awal boleh melengahkan atau mencegah daripada mendapat diabetes.

“Masyarakat perlu sedar diabetes boleh dicegah dengan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

“Memandangkan pradiabetes tiada gejala jelas, kami mahu memberi peluang masyarakat memperoleh maklumat daripada laman web khusus,” katanya.

Ia boleh dilayari di www.letsmakeachange.my yang membantu menyediakan semakan risiko dan gejala diabetes buat individu selain membantu menyediakan maklumat untuk kefahaman setiap pelayarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN