Pensyarah muda lulus ijazah doktor falsafah kurang tiga tahun - Utusan Malaysia

Pensyarah muda lulus ijazah doktor falsafah kurang tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasulullah SAW yang bermaksud “Dari Anas r.a, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali”. (Riwayat Tirmidzi)

Besarnya erti ilmu, justeru apabila dua pensyarah kanan Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad dan Dr. Nor Atikah Shafai berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh dua tahun, ia perlu dirai dan dijadikan contoh.

Saidatul dalam reaksinya, mengakui kesukaran itu, namun beliau meletakkan keutamaan menuntut ilmu paling atas, sekaligus kesukaran dan keperitan jatuh ke tangga kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya teruja apabila berjaya menghabiskan pengajian dengan pantas. Ia rezeki yang tidak disangka-sangka dan saya amat bersyukur. Pengalaman mahal melalui jerih payah mendapatkan sebuah Phd ini saya anggap sebagai perjalanan yang amat mematangkan diri.

“Saya turut memperoleh biasiswa Skim Latihan Akademik Bumiputera dan diberi cuti belajar bergaji penuh untuk pengajian Sarjana dan PhD oleh UUM, maka saya perlu bertanggunjawab atas kepercayaan diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pencapaian Saidatul dan Nor Atikah itu melayakkan mereka memperoleh Hadiah Kecemerlangan (GOT) bernilai RM10,000. Hadiah disampaikan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani. Ia adalah insentif untuk staf akademik UUM berjaya menghabiskan PhD dan mendapat surat senat untuk bergraduat dalam masa 36 bulan.

Mereka berdua turut mendapat penyelia sama iaitu Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Azlan Amran.

Mengenai tips kejayaan, katanya tiga perkara utama ialah persediaan, penyelia komited dan sokongan dari semua pihak di sepanjang pengajian.

Pada masa sama, katanya, individu perlu cari cara dan masa produktif.

“Saya tidak terperuk di depan komputer, sebaliknya fokus dua jam selepas solat Subuh dan dua jam selepas solat Isyak. Dalam tempoh berkenaan, saya ketepikan gangguan termasuk telefon bimbit,” katanya.

Tegas beliau, setiap daripada kita mempunyai cara yang berlainan, maka kenali apa yang berkesan untuk individu dan lakukannya secara istiqamah.

Beliau juga tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana mempermudahkan perjalanannya mengejar ilmu memberitahu, pesan keluarga untuk tidak berputus asa bagaikan tangkal azimat buat dirinya menuntut ilmu.

“Kalau ada niat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, teruskan dan jika sedang melanjutkan pengajian, jangan bertangguh.

“Cuba habiskan pengajian secepat mungkin, kerana masa tidak menunggu kita. Lebih penting lagi, jangan putus berdoa agar segalanya dipermudahkan,” katanya.

Jika dipanjangkan umur, beliau ingin berkhidmat sekurang-kurangnya 30 tahun lagi untuk UUM dan sedia berkhidmat menyumbang bakti untuk melonjakkan nama institusi itu ke persada lebih tinggi.

Ketakutan senjata jadi berani
Ketakutan itu kadangkala mengajar kita untuk menjadi lebih berani. Itu pandangan dikongsi Nor Atikah. Beliau berkata sebenarnya, dirinya sangat takut melalui kegagalan dan kekecewaan.
Malah itulah yang menjadi motivasi dirinya berdisiplin dan mematuhi jadual.

“Saya akan membuat yang terbaik dalam apa juga bidang saya terokai. Walaupun saya takut gagal, bukan bermakna saya mesti selalu berjaya. Itu mustahil.

“Oleh itu saya akan membuat yang terbaik, kalau gagal, saya tidak mengalah sebaliknya terus bangkit. Gagal itu normal, yang penting kita mesti terus bangkit dan mencuba melakukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Berharap menjadi pensyarah yang berupaya mengembangkan karier pada masa hadapan demi mendidik anak bangsa dan negara, Nor Atikah menyifatkan pencapaian menggenggam ijazah sarjana adalah anugerah tertinggi buat dirinya dan keluarga.

Berkongsi cerita, beliau tikah berkata, perjalanan sepanjang tempoh PhD meninggalkan pengalaman berharga dan manis untuk dikenang.

“Semua cabaran saya tempuhi itu saya anggap asam garam menuntut ilmu. Ia membantu saya memperluaskan jaringan dan berjumpa dengan pakar dalam pelbagai bidang,” katanya.

Nor Atikah berkata, impian hidup didambakan akhirnya tercapai. Kegembiraan berganda apabila hadiah GOT disampaikan oleh Naib Canselor UUM.

Mengulas mengenai pesanan kepada anak muda lain, Nor Atikah berkata, mereka perlu konsisten dalam meneruskan pengajian, selain bijak memilih penyelia.

Kerana mereka kelak akan banyak membantu menunjuk jalan sepanjang tempoh pengajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini