Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerahkan 1,000 face shield yang dihasilkan oleh 100 pelajarnya kepada Hospital Tawau, Sabah untuk kegunaan petugas barisan hadapan menangani pandemik Covid-19.
Seramai 20 pelajar mengambil giliran menyiapkannya untuk tempoh lima hari, bermula 17 Oktober lalu dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Alif Akmal Omar berkata, MPP dan pelajar UPM berbesar hati dapat memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan dan ia adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MPP.
“Ini kali kedua pelajar menghasil dan menyerahkan face shield kepada petugas barisan hadapan.
“Kali pertama pada April lalu apabila kira-kira 5,000 face shield dihasilkan dan diedarkan untuk petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Majlis diadakan secara persidangan video. Penyerahan face shield itu dilakukan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman kepada Penolong Pengarah Hospital Tawau, Dr. Pang Chun Shong. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu; Ketua Pentadbiran (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Shahriman Hashim dan Ketua Projek dari MPP, Victoria Nacgee.
Dr. Mohd. Roslan berkata, program itu adalah inisiatif pelajar UPM untuk menyumbang kepada usaha meratakan keluk wabak dan menzahirkan sokongan kepada barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19 dan ia mendapat sokongan penuh daripada pengurusan UPM.
Sementara itu, Dr. Pang melalui sidang video berkata, pihaknya menghargai sumbangan UPM dan pelajar yang disifatkan sebagai suatu bentuk sokongan moral untuk petugas barisan hadapan.









