Muhd. Noh si usahawan ubi kayu - Utusan Malaysia

Muhd. Noh si usahawan ubi kayu

KEREPEK ubi yang siap ditimbang sedia untuk diambil oleh pembeli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT pepatah Melayu, diam-diam ubi atau diam-diam berisi begitulah gambaran tepat kejayaan seorang anak muda dalam mengusahakan tanaman ubi kayu di Kampung Sungai Kelambu di daerah ini.

Pemuda yang merupakan seorang bapa kepada dua orang putera, Muhd.Noh Norngaini, 30, mula menanam ubi kayu secara aktif sejak enam tahun lalu selepas meletak jawatan di sebuah syarikat berkaitan produk aviasi di Subang.

“Semasa bekerja di dalam syarikat korporat tersebut saya sudah mula berjinak-jinak menanam ubi kayu di tanah milik keluarga.

“Sebelum itu, saya memohon restu bapa menggunakan tanah tersebut untuk menanam ubi kayu di atas tanah seluas 0.8 hektar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kelambu, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

PROSES mencabut ubi kayu yang telah cukup masa dituai.

Muhd. Noh berkata, setelah yakin bidang pertanian mampu menjana ekonomi diri dan keluarga, beliau nekad meninggalkan kerjaya makan gaji sepenuhnya.

Katanya, permintaan yang tinggi dalam industri kerepek ubi memberi keyakinan kepada dirinya untuk meluaskan lagi sektor penanaman ubi kayu di kampungnya.

“Ibarat kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya tidak menoleh ke belakang lagi untuk menghasilkan lebih banyak ubi kayu. Kini saya mengeluarkan 100 tan ubi kayu sebulan.

“Saya mula bekerjasama dengan syarikat Ros Kerepek di Sungai Lang dan berbincang dengan Pengarah Urusannya, Muhammad Fauzi Roslan untuk menjadi pembekal ubi kayu,” katanya.

Muhd. Noh memberitahu, setelah kedua-dua pihak bersetuju beliau segera menyewa tanah milik syarikat korporat di sekitar daerah Kuala Langat bagi memastikan kuantiti bahan mentah untuk dibekalkan tidak putus.

Luaskan wilayah ubi kayu
Jelasnya lagi, sedikit demi sedikit setelah beberapa tahun berlalu kini beliau memiliki kira-kira 64.7 hektar ‘wilayah’ penanaman ubi kayu yang membekalkan bahan mentah untuk Ros Kerepek dan lain lain pengusaha di daerah Kuala Langat.

“Hasil ubi kayu yang saya keluarkan, sememangnya cukup untuk Ros Kerepek pada saat ini dan keperluannya semakin bertambah dari masa ke semasa.

“Keadaan ini menyebabkan saya tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi daripada pengilang yang memerlukan berpuluh tan ubi kayu setiap setiap bulan,” katanya.

Muhd. Noh menjelaskan, beliau mempunyai impian untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memperbanyakkan tanaman ubi kayu.

Bagi mencapai impian tersebut beliau berhasrat untuk menghimpunkan anak-anak muda mahupun yang berusia bagi memberi mereka latihan dan kursus untuk menjadi usahawan tani sebagaimana dirinya.

“Sudah sampai masanya saya berkongsi ilmu dan peluang perniagaan kepada pihak yang berminat pada bila-bila masa. Generasi muda perlu memandang ke depan untuk berjaya dalam masa sama jangan leka dengan keseronokan dunia tanpa batas,” katanya.


Sementara itu menurut Muhammad Fauzi, pihaknya komited bekerjasama dengan Muhd.Noh setelah melihat kemampuannya menghasilkan bahan mentah yang diperlukan untuk syarikat beliau.

Ujarnya, Syarikat Ros Kerepek sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha menghasilkan kerepek ubi kayu dan lain-lain produk yang digemari rakyat negara ini.

“Di sini kami memasarkan kerepek-kerepek yang terbaik dengan pelbagai perisa kerepek ubi kayu termasuk yang biasa dan pedas.

“Pasaran semakin menggalakkan dan kita mengalu-alukan kerjasama dengan usahawan tani seperti Muhd.Noh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×